Nuffnang

Isnin, 25 Februari 2013

BN Akan Menang Lebih 160 Kerusi


Menurut analisis terkini dan sumber-sumber tertentu, BN dijangka mampu memenangi sehingga 160 dari 222 kerusi dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13). Jangkaan ini menepati ramalan majalah Economist Intelligence Unit (EIU) berdasarkan analisis terhadap projek transformasi, rekod prestasi BN serta penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang jelas begitu kuat bekerja.

Selain itu, prestasi pembangkang yang buruk kerana banyak memungkiri janji, ditambah dengan taburan janji-janji yang tidak masuk akal jika parti itu memerintah seperti pendidikan percuma dan penurunan duti kenderaan, yang akan menelan belanja sehingga RM47.6 billion setahun, secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada sokongan terhadap BN. Itu pun belum lagi dicampur dengan janji-janji lain yang melibatkan kewangan negara seperti tol percuma, penurunan harga barang dan lain-lain.

Dalam pilihanraya yang lalu, BN telah mengalami apa yang dipanggil ‘tsunami’ politik apabila kekurangan 8 kerusi untuk kuasa 2/3. Di Semenanjung daripada 166 kerusi parlimen yang tersedia, BN menang 85 dan di Sabah dan Sarawak pula, BN menang 54 kerusi. Secara keseluruhannya BN hanya memenangi 139 dari 222 kerusi.

Tamparan itu merupakan peringatan dari rakyat yang tidak berpuas hati dengan pendekatan ‘terlalu terbuka’ kepimpinan pada waktu itu sehingga memperlihatkan seolah-olah kehilangan kawalan. Ternyata rakyat Malaysia cukup bijak menilai perkembangan semasa untuk lebih awal mengesan beberapa perkara yang tidak kena dan bakal merosakkan negara.

Kebimbangan rakyat terbukti berasas di mana dalam masa hanya sepenggal, negara yang sebelumnya pernah digelar Harimau Asia dan disegani seluruh dunia, benar-benar berada dalam keadaan lemah dan semakin lemah dari segi ekonomi dan juga perpaduan rakyat.

Suara-suara lantang rakyat ketika itu menjerit-jerit memberitahu mengingatkan kerajaan bahawa walaupun negara harus dipimpin secara berpasukan, namun pasukan yang terlalu besar juga menyumbang kepada risiko yang berbagai dari segi kerahsiaan, kesetiaan, keselamatan, kecekapan, ketelusan dan pengkhianatan.

Oleh kerana suara tersebut telah diperlekehkan, maka BN pun akhirnya menerima tamparan paling kuat dalam PRU-2008 apabila rakyat nekad melakukan apa yang perlu dilakukan iaitu ‘memberi pengajaran’ kepada kerajaan agar jangan sekali-kali merosakkan negara.

‘Kerosakan’ yang dimaksudkan bukan sahaja dari segi kelemahan kepimpinan sehingga sewenang-wenangnya mendedahkan negara kepada risiko kerugian dan hilang kedaulatan, tetapi juga dari segi keterbukaan yang keterlaluan sehingga mengancam perpaduan rakyat. Antara ‘amaran’ paling keras dari rakyat ketika itu adalah supaya kerajaan lebih bijak dalam menangani tuntutan antara suara majoriti dengan minoriti yang menjadi asas demokrasi.

Hari ini, terbukti sudah bahawa tindakan rakyat memberi pengajaran itu adalah tepat apabila kepimpinan digantikan dengan Dato’ Seri Najib.

Nampaknya, harapan yang diberikan rakyat kepada kepimpinan baru, telah tidak dipersia-siakan beliau. Dato’ Seri Najib benar-benar berusaha memahami luahan hati rakyat disamping bekerja keras menguruskan negara dan memulihkan segala kerosakan yang berlaku.

Dato’ Seri Najib membawa imej professional dengan enggan melayan karenah pembangkang yang cuba mengganggu fokus beliau dengan fitnah-fitnah mengenai rasuah, hubungan sulit sehinggakan kepada fitnah membunuh.

Di masa yang sama, beliau juga mengambil masa untuk mendekati semua golongan, majoriti dan juga minoriti. Beliau sanggup menerima jemputan Tahun Baru Cina oleh Dong Zong walaupun pertubuhan tersebut selamanya mengambil sikap memusuhi kerajaan. Walaupun tidak memberi ucapan politik yang berdegar-degar, tetapi kehadiran beliau ke majlis tersebut membawa mesej jelas iaitu kerajaan tidak pernah memusuhi sesiapa. Di bawah BN, semua pihak berhak memperjuangkan hak masing-masing, asalkan tidak menyentuh sensitiviti pihak lain, tidak mencabar perlembagaan negara dan tidak menentang arus nasionalisme.

Kita percaya, pendekatan tegas tetapi lembut Dato’ Seri Najib akan membawa kepada kemenangan besar BN dalam PRU-13. Kesungguhan dan keikhlasan beliau benar-benar menyentuh hati rakyat untuk turut membantu memastikan negara terus maju ke hadapan serta aman sejahtera di bawah kepimpinannya.

Tiada ulasan: