Nuffnang

Khamis, 29 Mei 2014

Raja Dr Nazrin Shah Diisytihar Sultan Perak Ke-35

Raja Dr Nazrin Shah diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35, menggantikan Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat semalam.

Istiadat Pelantikan Raja Pemerintah Perak yang baharu itu diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, di sini, pada jam 3.14petang tadi.

Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Orang Kaya-Kaya Seri Maharaja, Tan Sri Jen B Mohd Zahidi Zainuddin.

Raja Datuk Seri Jaafar Raja Muda Musa dilantik Raja Muda Perak yang baharu.

Raja Muda Perak yang baru pula disandang

Apabila Sultan mangkat, pemilihan Raja pemerintah baharu ditentukan menerusi mesyuarat khas Dewan Negara Perak.

Istiadat itu berlangsung sejurus sebelum jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah dibawa keluar untuk istiadat pemakaman.

Daulat Tuanku.

Sumber

Khamis, 30 Januari 2014

@barisanasional (BN) Benci @anwaribrahim? @NajibRazak @MuhyiddinYassin

Kata orang dulu-dulu; kalau kita menegur, marah, dan sentiasa menyebut-nyebut akan sesuatu perkara, itu bermaksud kita mengingati atau lebih tepat lagi kita menyayangi akan perkara tersebut. Sebaliknya, jika kita benci akan sesuatu perkara, kita tidak akan peduli malah akan memulaukan perkara tersebut.

Dewasa ini ramai yang tidak berkenan dengan tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai ADUN N25 Kajang. PP pula tidak bermaksud untuk mengulasnya.

Namun begitu, lebih ramai lagi yang tidak berkenan, atau dengan kata lain membenci tindakan Datuk Seri AnWar Ibrahim memanipulasi segala ruang dan peluang bagi mencapai hasratnya untuk menakluk Putrajaya.

Sehinggakan ada beberapa teman memuat naik kenyataan di laman sosial yang kata-katanya seperti berikut "Tak dapat jadi PM, jadi MB pun jadilah". (Dialog yang diubah dari filem Seniman Bujang Lapok).

Persoalannya, adakah pemimpin, penyokong, individu dan pihak yang mesra BN benar-benar membenci AnWar Ibrahim? Kelihatannya tidak. Ini kerana, saban hari berbicara dan mengungkit-ungkit akan AnWar Ibrahim.

Pihak media yang mesra BN juga seolah-olah terhegeh-hegeh mengejar individu yang lebih dikenali sebagai AnWar Al-Juboori bagi melariskan berita yang disiarkan. Sidang media, walkabout, siri ceramah dan program yang dihadiri individu yang dihalang memasuki Jepun ini dipenuhi dengan pelbagai latar pengamal media. Seolah-olah AnWar Al-Juboori merupakan sumber berita utama kepada mereka.

Berbalik kepada kenyataan PP di atas, ternyata bahawa pemimpin BN, penyokong BN, pihak yang mesra BN, pengamal media, individu, dan rakyat Malaysia tidak membenci Datuk Seri AnWar Ibrahim. Malah menyayanginya dan mengharapkan supaya individu ini terus hidup dan tidak mati. Ini bagi kelangsungan hidup hampir 29 juta rakyat Malaysia yang menjadikan politik sebagai sumber pendapatan.

Namun begitu, jika benar benci akan Datuk Seri AnWar Ibrahim, saya menyeru semua pihak supaya memulaukan individu ini. Maksudnya, hentikan segala bicara dan liputan. Hentikan segalanya untuk satu tempoh tertentu. Mungkin sehari, seminggu, sebulan, setahun atau selama-lamanya.

Adakah mampu dilakukan? Jika jawapannya 'YA' memang jelas bahawa anda merupakan pihak yang bertindak seperti yang dikatakan. Tetapi, jika jawapannya 'TIDAK' amat jelas bahawa anda merupakan 'Penyokong Tegar' Datuk Seri AnWar Ibrahim.

PP sendiri menjadikan bahawa artikel ini merupakan yang terakhir menyebut nama Datuk Seri AnWar Ibrahim sehinggalah hari kematiannya.


Kepada pembaca blog PP ini hanya frasa ini ingin diungkapkan : 'tepuk dada tanya hati'.

Khamis, 23 Januari 2014

Kisah Penyanyi Bertudung Dihalau Turun Pentas Berpanjangan

Lanjutan dari kisah seorang penyanyi bertudung dihalau turun dari pentas yang telah dilapor di sini dan di sini.

Ini merupakan jawapan balas terhadap kenyataan yang dipetik dari Astro Awani dan Bernama.


Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pengarah Urusan CASTMET, Tan Keh Wah dan Pengawah Kewangan CASTMET, Yong Pey Ling (Shannon Yong) berhubung insiden saya dimalukan dengan diarahkan turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 di Pusat Konvensyen Sime Darby pada malam Sabtu lalu.

Saya ingin memperbetulkan persepsi awam dan media yang mungkin tersalah anggap dan tersalah lapor insiden berkenaan. Saya mengetengahkah isu rasis dan diskriminasi perkauman yang diperbuat Shannon Yong tidak membenarkan saya menyanyi semata-mata kerana saya bertudung. Jadi tidak timbul isu syarikat berkenaan tidak rasis kepada pekerja-pekerjanya.


Dalam pertemuan selepas sidang media saya, Tan Keh Wah mengundang saya ke pejabat untuk bertanya kepada pekerja yang syarikat beliau tidak rasis. Soalnya bukan layanan dia kepada pekerjanya tetapi layanan Pengarah Kewangannya, Shannon Yong kepada saya.

Saya menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh CASTMET melalui jawapan mereka kepada media yang kononnya imej saya bertudung tidak bersesuaian dan akan mengundang sensitiviti keagamaan jika saya beraksi pada malam tersebut.

Baca seterusnya di sini.

Selasa, 21 Januari 2014

Kenyataan Media Penyanyi Bertudung Dihalau Turun Pentas

Lanjutan kisah seorang penyanyi bertudung yang dihalau turun dari pentas pada 18 Januari lalu yang PP paparkan kisahnya di sini, hari ini Marinatasha Isnariah Mustapar, 33,  telah mengadakan sidang media di pejabat Karyawan bagi memberikan penjelasan akan kejadian yang berlaku.

Berikut kenyataan media yang diberikan.


KENYATAAN MEDIA
DISKRIMINASI PENYANYI WANITA BERHIJAB
MARINATASHA ISNARIAH MUSTAPAR & PERSATUAN KARYAWAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Selepas kontroversi seorang graduan Mira Kamil tidak diterima bekerja di Suria KLCC kerana bertudung dan seorang guru mualaf Choi Yi Shan, diarahkan untuk membuka tudung semasa mengajar di SJKC Nan Ya, diskriminasi yang sama dikenakan kepada seorang penyanyi profesional yang sepatutnya membuat persembahan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada malam Sabtu lalu.

Marinatasha Isnariah Mustapar, 33, yang sepatutnya menyanyi bersama band Rufus dimalukan dengan diarahkan turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpusat di Plaza Damas, Sri Hartamas. Arahan berbaur perkauman tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Kewangan CASTMET, Shannon Yong.

“Saya rasa sangat malu kerana sudah bersiap sedia mengambil tempat di atas pentas dengan mikrofon. Saya terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan membawa turun bersama note stand,” jelas Marina yang kecewa diaibkan di hadapan lebih kurang seratus tetamu pada insiden jam 8.00 malam tersebut.

“Semasa saya mengadakan latihan bersama pemuzik di studio Plaza Damas pada 16 Januari lalu, wakil CASTMET ada bersama dan mereka tidak pernah isukan mengenai tudung yang saya pakai. Hanya semasa hari majlis tersebut, Shannon isukan atas alasan tidak sesuai sedangkan ada tetamu yang datang berhijab.

”Di saat-saat akhir, Shannon Yong telah meminta seorang penyanyi gantian yang tidak bertudung dan meminta pengacara majlis Amber Wong mengambil alih tempat Marinatasha sebagai penyanyi utama sementara Marinatasha hanya dibenarkan berada di atas pentas sebagai penyanyi latar sahaja.

Artis Akademia Fantasia 8, Zafarina Jamhari atau Farina yang muncul kemudian sebagai penyanyi gantian menunjukkan rasa simpati dengan mengundang Marinatasha untuk naik ke atas pentas dalam persembahannya bagi menyanyikan dua buah lagu, “Someone Like You” dan “Price Tag”.

“Saya lihat tetamu tiada sebarang masalah dengan penampilan saya berhijab. Malah Pengerusi kumpulan syarikat CASTMET, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor turut meminta saya menyanyi lagu tambahan,” jelas Marinatasha yang kemudian telah dimarahi Shannon setelah selesai persembahan tersebut.

Selesai persembahan tersebut Shannon kemudian telah memanggilnya di bahagian luar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Marinatasha menyanyi dalam keadaan bertudung. Setelah melepaskan kemarahannya, Shannon meninggalkannya bersama Penolong Pengurus Pembangunan syarikat, Jaharudin Abdul Malek untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang muzik dan vokal yang pertama kali menjadi mangsa rasis dan diskriminasi perkauman setelah 12 tahun bergiat dalam industri tersebut menyifatkan tindakan penganjur sebagai satu penghinaan terhadap agama dan kepercayaannya sebagai seorang Muslim.

“Kita berada di Malaysia bukan Amerika Syarikat. Malah Amerika Syarikat pun sudah menerima penyanyi Malaysia berhijab seperti Yuna. Apa masalah kita di Malaysia? Yang menyanyi mulut saya bukan tudung saya!” tegas Marinatasha yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40 pagi Ahad lalu selepas pulang dari majlis tersebut.

Presiden Karyawan, Dato' Freddy Fernandez yang menjadi hos sidang media tersebut berpendapat insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku selepas 57 tahun usia kemerdekaan negara. "Ini juga merupakan satu pencabulan hak asasi yang dimiliki oleh Marinatasha. Jika dilihat situasi terkini, semakin ramai artis yang memilih untuk memakai hijab seperti Dato' Siti Nurhaliza, Yuna, Mizz Nina dan mereka semakin cemerlang meneruskan karier seni mereka. Tidak ada sebarang masalah tentang apa yang mereka pakai, yang paling penting adalah bakat dan kemampuan yang dimiliki," jelas Freddy lagi.

Beliau kemudian menggesa Pengarah Kewangan CASTMET, Shannon Yong untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kerana adalah sesuatu yang memalukan untuk seorang penyanyi profesional yang telah bersiap sedia di atas pentas terpaksa menghentikan persembahan secara tiba-tiba dan membawa turun segala peralatan nyanyian di hadapan ratusan tetamu yang hadir.

Bagi Faizal Riduan, Perunding Polisi dan Dasar Awam MySuara yang mula mendedahkan insiden tersebut sehingga menjadi viral di laman sosial dan portal berita menyifatkan tindakan rasis ini adalah tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara merdeka yang meraikan kelainan dan kepelbagaian agama, kepercayaan, kaum dan budaya.

“Sikap prejudis terhadap penampilan wanita Islam yang berhijab wajar dikecam oleh seluruh bangsa Malaysia kerana bercanggah dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Artikel 11(1)(b) Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang diratifikasikan Malaysia pada 1995.

Menurutnya lagi kerajaan perlu serius menyiasat insiden-insiden diskriminasi agama yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini dengan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu berniat melukakan perasaan agama seseorang yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

“Kes terbaru yang memperlekehkan penampilan bertudung Marinatasha, Mira Kamil dan Choi Yi Shan bukan kes kecil dan terpencil sebaliknya adalah kesan fenomena ‘puncak gunung ais di permukaan air’ (tip of the iceberg). Ianya sudah menjadi amalan tidak rasmi dan taboo terutama dalam industri dan pekerjaan sehingga terdapat iklan kekosongan jawatan dengan syarat penguasaan bahasa ibunda tertentu.”