Nuffnang

Sabtu, 6 Mei 2017

Mustafa Ali Tiada Dalam Struktur, Tiga Pesuruhjaya PAS Negeri Ditukar

PAS Pusat menggugurkan Dato' Mustafa Ali daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya PAS dan menggantikannya dengan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dr Ahmad Samsuri adalah Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, demikian menurut Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan.

Beliau dalam pada itu mengumumkan Mustafa dilantik menjadi penasihat kepada Hadi.

“Beliau (Mustafa) akan menasihatkan parti apabila diperlukan selain berperanan sebagai penasihat kepada Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut sebulat suara melantik Razman Zakaria sebagai Bendahari PAS menggantikan Mohamad Noor Mohamad.

Katanya, seramai tiga Pesuruhjaya PAS Negeri juga ditukar iaitu Terengganu, Selangor dan Johor.

“Dato' Husin Awang dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu menggantikan Saiful Bahri Mamat, Sallehen Mukhyi menggantikan Dato' Iskandar Abdul Samad di Selangor dan Abdullah Hussin pula menggantikan Dato' Dr Mahfodz Mohamed sebagai Pesuruhjaya PAS Johor,” katanya.

Dalam masa sama, Takiyuddin turut memberitahu, Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man akan menguruskan hal ehwal parti di luar negara termasuk menjaga kebajikan ahli-ahli.

Manakala tiga Naib Presiden PAS iaitu Idris Ahmad, Iskandar dan Dato' Nik Mohd Amar Abdullah pula bertanggungjawab menjaga beberapa negeri yang dibahagikan kepada tiga zon.

Katanya, Idris akan menjaga Zon Utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak manakala Iskandar di Zon Selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka) seterusnya Zon Timur (Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak) pula di bawah tanggungjawab Mohd Amar.

Berikut merupakan senarai AJK PAS Pusat yang diumumkan oleh parti itu.

Setiausaha Agung: YB Dato' Takiyuddin Hassan
Bendahari: Razman Zakaria
Ketua Penerangan: YB Nasrudin Hassan
Ketua Pengarah Pilihanraya: Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Penolong Setiausaha Agung 1: Khairul Faizi Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung 2: Khairul Fahmi Mat Som


Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (Lantikan):
1. Mohd Sanusi Md Nor
2. YB Saiful Bahri Mamat
3. Mohamad Husain
4. YB Dr Mohd Khalid Kassim
5. Zainal Abidin Kidam
6. Dato' Dr Abdul Hakeem Johari
7. Wan Rohimi Wan Daud


Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri:
1. Perlis: YB Mohd Shukri Ramli
2. Kedah: Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi
3. Perak: Razman Zakaria
4. Pulau Pinang: Muhammad Fauzi Yusoff
5. Selangor: YB Sallehen Mukhyi
6. Negeri Sembilan: Mustaffa Daharun
7. Melaka: Kamaruddin Sidek
8. Johor: YB Abdullah Hussin
9. Pahang: YB Rosli Abdul Jabar
10. Terengganu: Dato' Husin Awang
11. Kelantan: YAB Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob
12. Wilayah Persekutuan: Mohamad Noor Mohamad
13. Sabah: Paumin @ Aminuddin Aling
14. Sarawak: Jofri Jaraiee

Tiada ulasan: