Nuffnang

Ahad, 1 November 2015

Kondo Mewah Ancam Keselamatan Maahad Hamidiah Kajang

Keselamatan 1,119 pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, terancam berikutan pelaksanaan projek kondominium mewah The Lourve di hadapan sekolah itu.

Berdasarkan semakan dengan perunding bebas, projek bersebelahan Persiaran Hamidiah, yang menjadi laluan tunggal keluar dan masuk ke sekolah itu akan menjadi sesak dan padat, sekali gus meningkatkan kemungkinan kemalangan kepada penggunanya yang terdiri daripada warga Maahad Hamidiah.

Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak kerajaan Selangor membatalkan serta-merta projek kondominium berkenaan, selain mahu pihak berkuasa negeri mendedahkan penilaian impak trafik (TIA) yang diserahkan perunding lantikan pemaju.

Timbalan Ketua Sekretariat 1 Pasukan Petugas Khas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Hamidiah, Salahudin Amir Hassan, berkata semakan PIBG berhubung projek itu dengan perunding bebas mendapati maklumat berkenaan amat membimbangkan dan memberi isyarat jelas projek terbabit mesti dibatalkan serta-merta.

"Pelbagai pihak menyifatkan projek berkenaan boleh mengancam dan membahayakan nyawa pelajar, guru dan menjejaskan keseluruhan institusi pendidikan Islam yang terbaik dan berprestij di negara ini.

"Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut digesa lebih peka dengan tuntutan golongan ibu bapa dan penduduk di sini, yang mahu Maahad Hamidiah tidak diganggu dengan kehadiran projek mewah," katanya.

Pada 22 April lalu, MPKj mengeluarkan notis berhenti kerja kepada pemaju kondominium berkenaan sehingga pemaju mematuhi aspek keselamatan dan garis panduan daripada pihak berkuasa negeri.

Projek kontroversi itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, yang dilaporkan mahu ia dinilai semula pada Mei lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, reka bentuk Persiaran Hamidiah yang menjadi laluan tunggal keluar dan masuk sepanjang kira-kira 800 meter itu dikhususkan untuk ke sekolah sahaja, menjadikan sebarang projek bagi penduduk berketumpatan tinggi tidak sesuai dilaksanakan di situ.

Katanya, pihaknya menjalankan kajian serta semakan berhubung impak projek itu sekiranya diteruskan dan mendapati ia terlalu berbahaya, sama ada ketika ia sedang dijalankan dan juga selepas projek itu siap.

"Semakan Penilaian Impak Trafik (TIA) yang kami lakukan dengan perunding bebas menyatakan projek ini bahaya kerana aliran trafik padat persekitaran akan bertambah padat dan reka bentuk jalan raya tidak sesuai, meningkatkan risiko kemalangan.

"Persiaran Hamidiah pendek dan sangat tidak sesuai untuk digunakan pemaju mahu pun pembeli hartanah itu. Selain itu, ketumpatan kenderaan yang menggunakan Sistem Lingkaran-Lebuh Raya Kajang Sdn Bhd (SILK) juga sudah mencapai tahap maksimum," katanya.

Tiada ulasan: