Nuffnang

Rabu, 4 November 2015

Alunan Zikir Perdana Di Putrajaya


Kira-kira 300 ulama dan tokoh agama dari dalam dan luar negara dijangka menghadiri majlis Zikir Perdana yang akan diadakan di Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya, Sabtu ini.

Beberapa ulama besar dari 11 negara termasuk Arab Saudi, Turki, India, Syria, Indonesia, Pakistan, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada telah mengesahkan untuk hadir.

Zikir Perdana yang bertemakan 'Selamat Datang ke Taman Syurga Di Dunia' itu dianjurkan oleh Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA).

Himpunan terbesar ahli zikir itu dijangka mengumpulkan lebih 30,000 orang.

Setiausaha Agung PERTAMA, Sheikh Abd Kareem Said Khadaied, berkata himpunan zikir itu diadakan julung-julung kalinya dan mendapat sokongan penuh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Kita memohon para hadirin datang selepas Asar dengan membawa sejadah sendiri dan berpakaian putih bagi lelaki manakala hitam bagi perempuan," katanya pada sidang media di Solaris Dutamas, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan Zikir Perdana seterusnya melancarkan PERTAMA pada majlis tersebut.

Majlis Zikir Perdana itu akan bermula jam 5 petang hingga 10 malam dimulakan dengan perarakan ulama dan tokoh agama dari ke dalam Masjid Putra.

Selasa, 3 November 2015

Siaran TV Digital Percuma Tahun Hadapan

Rakyat Malaysia bakal menikmati siaran televisyen digital sepenuhnya secara percuma bermula awal tahun depan dengan adanya perkhidmatan siaran Televisyen Terestrial Digital yang akan dikendalikan oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV).

Ketua Pegawai Operasi MYTV, Mohamed Redzwan Yahya, bagaimanapun berkata untuk menikmati perkhidmatan itu, pengguna perlu terlebih dahulu memiliki set dekoder atau 'Set Top Box' atau televisyen yang mampu menerima siaran digital secara langsung yang dikenali sebagai iDTV.

Katanya untuk itu, set-set dekoder dan televisyen berkenaan perlu mempunyai label khas bagi penerimaan siaran DTTB yang diperkenal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikenali sebagai 'Label Pengguna Alat Penerima DTTB" atau ringkasnya 'DTTB Malaysia' yang akan mula diguna pakai awal tahun hadapan.

"Dengan adanya label khas ini, pengguna dapat memastikan mereka hanya membeli alat penerima siaran DTTB seperti dekoder dan televisyen yang disahkan untuk menikmati siaran digital dengan kualiti gambar serta audio terbaik," katanya selepas seminar Label Pengguna Alat Penerimaan DTTB di sini baru-baru ini.

MYTV selaku pelaksana dan pengendali infrastruktur DTTB di Malaysia juga memegang hak ekslusif penjualan serta pengedaran dekoder DTTB di negara ini dan semua dekoder dilengkapi label 'DTTV Malaysia'.

Label DTTB Malaysia diperkenalkan oleh SKMM dan pengeluarannya dikawal selia oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Menjelas lanjut mengenai DTTB, Mohamed Redzwan berkata, fasa pertama siaran yang dijadual awal 2016 akan meliputi kira-kira 85 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara sebelum dipertingkat kepada 98 peratus menjelang akhir 2016.

"Liputan kita adalah berdasarkan kepada populasi penduduk di sesuatu kawasan kerana pihak MYTV mahu memastikan setiap rakyat yang layak dapat menikmati perkhidmatan DTTB ini," katanya.

Beliau berkata, menerusi perkhidmatan DTTB, penonton di negara ini akan menikmati banyak manfaat seperti kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, pilihan saluran siaran percuma lebih banyak selain akses perkhidmatan televisyen interaktif termasuk membeli belah dari rumah serta menonton video atas permintaan.

Sebanyak dua juta set dekoder akan diedar dan diberi secara percuma kepada isi rumah yang yang layak iaitu mereka yang tergolong dalam kelompok pendapatan 40 peratus ke bawah (B40).

Beliau berkata, pengguna hanya perlu menyambungkan alat dekoder kepada antena dalaman yang termasuk dalam pakej dekoder itu, ataupun kepada antena terestrial luaran yang sedia ada untuk menikmati siaran DTTB kelak.

Mengenai kos pelaksanaan, Mohamed Redzwan memberitahu projek DTTB itu adalah inisiatif pembiayaan swasta dan pihak MYTV memperuntukkan pelaburan sebanyak RM4.5 bilion bagi tempoh 15 tahun.

MYTV adalah syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membangun dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTTB di Malaysia sebagai usaha melaksanakan penghijrahan sistem penyiaran nasional daripada analog kepada digital menjelang 2017.

Isnin, 2 November 2015

Perkasa Minta Selangor Kaji Iktiraf UEC

Kerajaan PR Selangor diminta mengkaji semula keputusan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai sebahagian syarat untuk memasuki Universiti Selangor (Unisel).

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, pengiktirafan sedemikian dilihat tidak perlu diberikan oleh kerajaan negeri buat masa ini memandangkan sukatan pelajaran UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan Pusat selain tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Beliau menegaskan, pihak­nya tidak menghalang usaha mahu memajukan bidang pendidikan untuk rakyat, namun perkara itu harus diselaraskan supaya selari dengan dasar pendidikan negara yang bermatlamatkan bukan hanya menyediakan keperluan tenaga manusia berilmu tetapi juga memastikan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum.

“Kita tertanya-tanya mengapa kerajaan negeri membuat pengumuman untuk mengiktiraf UEC sedangkan Kerajaan Pusat difahamkan tidak mengiktiraf sijil peperiksaan itu setakat ini.

“Apakah kerajaan negeri memikirkan soal politik atau menuruti pihak tertentu, khususnya DAP di sebalik keputusan tersebut? Seharusnya kerajaan negeri mengambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum memutuskan untuk mengiktiraf UEC agar tidak timbul percanggahan dalam sistem pendidikan negara.

“Malah, dalam soal pendidikan, kerajaan negeri sepatutnya lebih arif dalam soal itu yang mana ini merupakan Senarai Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan. Melihat keadaan ini, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali seolah-olah cuba merobek Dasar Pendidikan Kebangsaan itu sendiri,” katanya.

Abu Bakar mengulas kenyataan Mohamed Azmin ketika membentangkan Bajet Selangor 2016 pada Jumaat lalu yang mengumumkan kerajaan negeri akan mengiktiraf sijil UEC mulai tahun depan sebagai sebahagian daripada syarat untuk melanjutkan pengajian di Unisel.

Menurut Mohamed Azmin, pengiktirafan itu dibuat bagi mengelak masalah penghijrahan rakyat berkemahiran tinggi ke luar negara yang semakin ketara, selain menyatakan sebanyak 3,000 pelajar menamatkan pengajian mereka dengan sijil UEC setiap tahun.

Bagaimanapun, pada 10 Jun lalu, Kementerian Pendidikan dilaporkan tidak mengiktiraf sijil UEC kerana Dong Zong tidak bersetuju dengan saranan kementerian itu supaya sukatan pelajaran sijil tersebut dipinda agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ahad, 1 November 2015

Kondo Mewah Ancam Keselamatan Maahad Hamidiah Kajang

Keselamatan 1,119 pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, terancam berikutan pelaksanaan projek kondominium mewah The Lourve di hadapan sekolah itu.

Berdasarkan semakan dengan perunding bebas, projek bersebelahan Persiaran Hamidiah, yang menjadi laluan tunggal keluar dan masuk ke sekolah itu akan menjadi sesak dan padat, sekali gus meningkatkan kemungkinan kemalangan kepada penggunanya yang terdiri daripada warga Maahad Hamidiah.

Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak kerajaan Selangor membatalkan serta-merta projek kondominium berkenaan, selain mahu pihak berkuasa negeri mendedahkan penilaian impak trafik (TIA) yang diserahkan perunding lantikan pemaju.

Timbalan Ketua Sekretariat 1 Pasukan Petugas Khas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Hamidiah, Salahudin Amir Hassan, berkata semakan PIBG berhubung projek itu dengan perunding bebas mendapati maklumat berkenaan amat membimbangkan dan memberi isyarat jelas projek terbabit mesti dibatalkan serta-merta.

"Pelbagai pihak menyifatkan projek berkenaan boleh mengancam dan membahayakan nyawa pelajar, guru dan menjejaskan keseluruhan institusi pendidikan Islam yang terbaik dan berprestij di negara ini.

"Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut digesa lebih peka dengan tuntutan golongan ibu bapa dan penduduk di sini, yang mahu Maahad Hamidiah tidak diganggu dengan kehadiran projek mewah," katanya.

Pada 22 April lalu, MPKj mengeluarkan notis berhenti kerja kepada pemaju kondominium berkenaan sehingga pemaju mematuhi aspek keselamatan dan garis panduan daripada pihak berkuasa negeri.

Projek kontroversi itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, yang dilaporkan mahu ia dinilai semula pada Mei lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, reka bentuk Persiaran Hamidiah yang menjadi laluan tunggal keluar dan masuk sepanjang kira-kira 800 meter itu dikhususkan untuk ke sekolah sahaja, menjadikan sebarang projek bagi penduduk berketumpatan tinggi tidak sesuai dilaksanakan di situ.

Katanya, pihaknya menjalankan kajian serta semakan berhubung impak projek itu sekiranya diteruskan dan mendapati ia terlalu berbahaya, sama ada ketika ia sedang dijalankan dan juga selepas projek itu siap.

"Semakan Penilaian Impak Trafik (TIA) yang kami lakukan dengan perunding bebas menyatakan projek ini bahaya kerana aliran trafik padat persekitaran akan bertambah padat dan reka bentuk jalan raya tidak sesuai, meningkatkan risiko kemalangan.

"Persiaran Hamidiah pendek dan sangat tidak sesuai untuk digunakan pemaju mahu pun pembeli hartanah itu. Selain itu, ketumpatan kenderaan yang menggunakan Sistem Lingkaran-Lebuh Raya Kajang Sdn Bhd (SILK) juga sudah mencapai tahap maksimum," katanya.