Nuffnang

Khamis, 10 Mei 2018

Keramat Mall, Apa Selepas Ini?

KERAMAT MALL mula dibina ketika penghujung tahun 90-an dengan tujuan asalnya adalah bagi menggantikan Pasar Dato' Keramat yang sudah agak uzur.

Malangnya, pembinaan tersebut menghadapi pelbagai masalah sehingga termasuk dalam statistik projek terbengkalai.

Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan pembinaannya diteruskan bagi kemudahan rakyat.

Akhirnya, Keramat Mall telah dibuka untuk aktiviti perniagaan sejak 2011 tetapi hanya beberapa premis yang beroperasi, itupun kebanyakannya hanya kedai-kedai makan.

Pada 8 Jun 2013, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan penubuhan Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat di Keramat Mall.

Ianya disahkan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani pada 1 Jun 2014 bahawa pusat itu dijangka beroperasi menjelang akhir tahun 2014.

Semalam, 9 Mei operasi Mini UTC Keramat bercuti sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengikut notis yang ditampal di pintu masuk Keramat Mall, operasi Mini UTC Keramat akan beroperasi seperti biasa pada hari ini (10 Mei 2018). Tetapi tinjauan saya pada jam 12 tengahari tadi menunjukkan bahawa ia masih ditutup.

Persoalannya, selapas hampir 4 tahun beroperasi, adakah inisiatif yang diwujudkan bagi kemudahan rakyat yang memusatkan beberapa agensi kerajaan di bawah satu bumbung oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional - BN) bakal ditutup terus?

Sesuatu yang sangat menjelikkan apabila kerajaan baharu yang bakal ditubuh kelak menamatkan operasi Mini UTC Keramat yang sejak hampir 4 tahun lalu memudahkan urusan penduduk setempat.

Semoga satu tindakan positif dapat diambil bagi kemudahan rakyat. Janganlah hanya kerana logo 1Malaysia yang tersergam di hadapan UTC tersebut mengakibatkan operasinya ditutup.