Pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharudin Mat Isa selaku ahli Majlis Syura Ulama Pas sememangnya sudah lama dinanti-nantikan oleh suku sakat Anwarinas setelah beberapa percubaan sebelumnya menemui jalan buntu.
Kelibat Ustaz Nasharudin yang turut sama menyertai lawatan bersejarah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Semenanjung Gaza, Palestin dimanfaatkan sepenuhnya oleh pimpinan Pas untuk dijadikan alasan utama pemecatan tersebut.
Lain-lain alasan seperti tidak datang mesyuarat memaksa Majlis Syura memecat Ustaz Nasharudin pada pertemuan 13 Januari 2013 yang lepas sebenarnya hanyalah tempelan sahaja untuk mengabui mata ahli dan penyokong Pas.
Jika alasan tidak datang mesyuarat adalah punca utama pemecatan Ustaz Nasharudin tentunya sudah lama Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama dibuang dari terus menganggotai Majlis Syura Ulama Pas.
Bukan satu rahsia pun sejak Nik Aziz mempengerusikan badan tertinggi Pas itu, sudah banyak teguran dari ahli bawahan mengenai kelesuannya. Terlampau jarang diadakan perjumpaan disebabkan kepimpinan Nik Aziz yang lemah dan tidak cakna dengan perjalanan parti.
Malah semasa penggal yang lepas, satu mesyuarat pun diadakan sekalipun tika itu wujud banyak isu yang melingkari Pas dan PR. Jadinya, dilihat pada asas ini selayaknya sudah lama Nik Aziz ditendang keluar dari Majlis Syura Ulama dan pengerusinya diambil alih oleh Timbalan Mursyidul AM Pas, Ustaz Haron Din.
Nama Majlis Syura Ulama Pas hanya kembali kedengaran ketika wujudnya isu melibatkan Ustaz Nasharudin, itupun dalam mesyuaratnya pada September 2012 yang lalu Nik Aziz sengaja buat perangai keluar awal setelah mengetahui agenda perbincangan tidak membabitkan kedudukan Ustaz Nasharudin.
Bibit kebencian Nik Aziz terhadap Ustaz Nasharudin sudah lama membuak semenjak timbulnya isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang mana Ustaz Nasharudin adalah antara orang perantaraan yang dihantar oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang untuk membincangkan kerjasama antara UMNO dan Pas.
Bagi orang tua seperti Nik Aziz yang bertuhankan nafsu amarah, tindakan Ustaz Nasharudin itu telah melanggar pantang larang yang ditetapkannya. Tiada perpaduan mahupun muzakarah antara Pas dan UMNO demi kepentingan Islam selagi nyawa masih mengalir dalam tubuh Nik Aziz.
Berbalik pada isu pemecatan Ustaz Nasharudin, sehingga kini surat pemecatan langsung tidak diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas itu. Berita pemecatannya hanya diketahui melalui kenyataan media oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.
Tak mustahil surat pemecatan itu pun baru selesai dikarang selepas kelibat Ustaz Nasharudin dilihat bersama rombongan PM di Gaza, Palestin.
Dalam hal ini, Ustaz Nasharudin tidak keseorangan. Beliau bukan satu-satunya pemimpin Pas yang dianiayai sedemikian rupa dipecat tanpa diberi ruang pembelaan diri. Sudah ramai pemimpin Pas yang menjadi mangsa gaya kepimpinan Pas yang bersifat kuku besi dan dictatorship.
Sebelum ini, bekas Naib Presiden Pas merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Hasan Ali juga pernah mengalaminya, lama sebelum itu, bekas pemimpin Pas kawasan Pasir Putih, Kelantan, Cikgu Musa Salleh juga pernah menghadapinya.
Dalam Pas, perihal berlapang dada bukannya satu pilihan sebaliknya persoalan dendam kesumat seringkali menjadi taruhan utama dalam menentukan jatuh bangun seseorang pemimpin, lebih-lebih lagi jika seseorang itu dilihat bercanggah pandangan dengan Nik Aziz.
Walau apapun, pemecatan Ustaz Nasharudin yang diumumkan tatkala umat Islam seluruh dunia meraikan keberanian pemimpin Malaysia memasuki Semenanjung Gaza untuk sama-sama merasai sendiri keperitan penduduk Palestin yang dizalimi Israel, bukanlah satu tindakan bijak oleh Pas.
Tindakan tergesa-gesa dan bercorak kuku besi dan tidak demoktarik sebegini tidak akan membantu Pas mengukuhkan kedudukannya menjelang PRU-13. Suka atau tidak, kepimpinan Pas perlu menerima hakikat tiba masanya kelak parti itu akan semakin terpinggir dari sokongan umat Islam.
Nuffnang
Sabtu, 2 Februari 2013
Pecat Nasharudin : Bukti PAS Amal Kuku Besi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan