Ternganga kita dibuatnya apabila Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah mengugut Kerajaan Pusat agar membayar RM100 juta setiap tahun kepada negeri itu sebagai pampasan jika ingin pihaknya menghentikan penggondolan hutan untuk pembalakan. Nampak benar, yang Menteri Besar Kedah ini telah benar-benar buntu dalam usaha menjana pendapatan negeri.
Kata orang, ego biar bertempat. Jika sudah buntu, dan tak tahu apa-apa, buangkanlah ego itu jauh-jauh, jika tidak, pasti terserlah kebodohan sendiri. Tidak apa jika bodoh itu tidak memberi kesan kepada sesiapa, tetapi masalahnya bodoh seorang Menteri Besar memberi kesan kepada rakyat, malah bumi Kedah juga.
Jika dulu Azizan begitu lantang menghamun kepimpinan Barisan Nasional, kononnya bodoh, tidak prihatin dan korup, tetapi setelah diberi peluang untuk menunjukkan cara kepimpinan yang bijak, prihatin dan telus, bingunglah pula Azizan jadinya. Kini, baru beliau tahu bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar ijazah dalam bidang agama dan suara lantang yang gemar menghentam orang.
Sepertimana kaum Arab yang dikurniakan sumber paling berharga di dunia tetapi tidak mampu menjadi peneraju ilmu dan pemerintah dunia, begitulah keadaannya di kalangan pemimpin PAS. Telah dikatakan di dalam AlQuran, bahawa ilmu yang penting adalah ilmu sains dan matematik dari pengamatan bintang dan cakerawala, gunung ganang dan lautan mahupun zarah-zarah di dalam udara. Tetapi mereka tidak mendengarnya, mereka tidak memahaminya walaupun ramai di antara mereka fasih berbahasa Arab, hatta hafal Al-Quran juga.
Justeru, hari ini kita melihat sendiri apa terjadi apabila seseorang yang mengaku pakar agama mentadbir macam orang tak ada agama. Terserlah sikap angkuh, ego, takbur, riak, panas baran dan mengugut sana sini apabila buntu dan terdesak.
Bukan sahaja kerajaan pusat hendak diugut, tetapi juga kerajaan sahabat merangkap jiran sendiri, iaitu Pulau Pinang juga turut cuba diperas. Oleh kerana Pulau Pinang enggan melayan mimpi Azizan untuk mengenakan caj bekalan air mentah ke negeri itu, maka Phahrolrazi, exco Kedah telah membuat kenyataan berbaur ugutan iaitu Pulau Pinang akan mengalami kesukaran jika terus enggan melayan cadangan Kedah.
Malangnya, Pulau Pinang mengambil sikap ‘bo-layan’ sahaja terhadap ugutan Kedah.
Maka, semakin bingunglah Azizan sehingga sanggup mengambil risiko memusnahkan alam sekitar dan mendedahkan rakyat kepada risiko kehilangan nyawa dan harta benda akibat bencana alam dengan berdegil untuk meneruskan pembalakan haram. Maka, satu-satunya cara untuk menghentikan kegilaan ini ialah dengan kerajaan pusat membayar sejumlah RM100 juta kepada Kedah.
Persoalannya, sampai bila Azizan boleh mentadbir dengan cara mengugut?
Kenapakah keadaan sebegini tidak pernah terjadi semasa pemerintahan BN? Kenapakah walaupun dikatakan korup, bodoh dan zalim, BN tidak pernah mengambil risiko ke atas nasib rakyat dan tidak pernah membiarkan kewangan negeri berada dalam keadaan begitu tenat?
Bagaimana jika kerajaan pusat mengambil keputusan untuk mengugut Azizan kembali iaitu, jika beliau inginkan RM100 juta itu, maka beliau harus menjustifikasi dan menangani segala ketirisan dalam kewangan negeri Kedah secara terperinci terlebih dahulu, bagi memastikan RM100 juta tersebut tidak terbazir begitu saja.
Atau lebih baik lagi, jika kerajaan pusat mengugut agar Azizan meletakkan jawatan terlebih dahulu, jika inginkan RM100 juta itu disumbangkan kepada Kedah.
Atau lebih mudah, mungkin kerajaan pusat boleh mengugut Azizan agar membuat pengakuan terbuka dan meminta maaf kepada rakyat Kedah kerana beliau benar-benar tidak tahu bagaimana untuk mentadbir sebuah negeri, sebelum menyalurkan RM100 juta tersebut kepadanya. Bagaimana?
Walaupun persoalan ini kelihatan seperti ‘lawak’, kata orang Kedah, tetapi sebenarnya tiada apa yang lawak mengenainya, malah sedih dan membimbangkan.
Khabar dari Kedah menyatakan bahawa kewangan Kedah sudah terlalu sangat meruncing sehinggakan semua program dan perjalanan dibekukan kerana kerajaan negeri tidak dapat menanggung kos, terutamanya kos minyak.
Mana tidaknya, jika kesemua perbelanjaan negeri bergantung sepenuhnya kepada pendapatan dari balak semata-mata. Bayangkan, ketika pemerintahan BN pada tahun 2007, balak hanya menjana RM8 juta, tetapi di masa pemerintahan PAS pendapatan dari balak dalam keluasan yang sama mencanak naik sehingga RM35 juta pada 2008, RM38 juta pada 2009 dan RM53 juta pada 2010?!
Kini balak-balak hampir habis, sehinggakan hutan simpan kekal juga gondol dikerjakan PAS Kedah sedangkan di masa yang sama kesemua anak-anak syarikat dan projek-projek negeri mengalami kerugian dan masih lagi menjana kerugian kerana ketidakcekapan, ketidaktelusan dan ‘ketidak-tahuan’ para pegawai yang dilantik. Mahu tidak meroyan jadinya Azizan?
Benarlah rungutan rakyat Kedah, bahawa PAS memerintah bagaikan mentadbir sebuah kampung. Perihal peraturan dan undang-undang semuanya diambil ‘enteng’. Kesemua pegawai dan exco membawa sikap ‘kaduk naik junjung’ dan ‘kera mendapat bunga’ seolah-olah merekalah kuasa segala kuasa dan boleh berbuat apa saja. Akhirnya, semuanya berada di luar kawalan.
Khabarnya juga, pegawai kewangan negeri, Dato’ Haji Puat, sepupu Azizan yang telah berada di situ sejak zaman pemerintahan BN juga sudah putus harapan kerana gagal mendapat kerjasama Azizan sendiri.
Justeru, apakah kesudahannya nasib Negeri Kedah?
Nasib negeri Kedah adalah tidak pasti kerana ia bergantung kepada rakyat Kedah dalam PRU-13 ini.
Namun, apa yang pasti ialah Azizan tidak ada hak untuk mengugut, tetapi inilah masanya untuk beliau mengangkat tangan, mengaku kalah.
Nuffnang
Isnin, 18 Februari 2013
Azizan Mengugut Cara Islam?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan