Akhir-akhir ini politik Malaysia semakin kerap dihiasi dengan kisah pertelingkahan antara parti-parti sekutu di dalam pakatan pembangkang akibat isu-isu semasa. Antaranya, isu Kalimah Allah, jelas meretakkan hubungan Pas dengan DAP walaupun terdapat suara-suara di dalam Pas yang tidak mampu mengakui hakikat itu. Isu yang sama juga menjauhkan lagi Pas dengan PKR kerana parti PKR jelas mempunyai pendirian yang sama dengan DAP.
Walaupun Pas pada hakikatnya, akur dengan kehendak PKR dan DAP tetapi ‘pertelingkahan mulut’ di media perlu diteruskan bagi memberi gambaran kepada penyokong Pas kononnya parti itu tidak akan mengalah. Namun, ketidaksanggupan Pas untuk keluar dari Pakatan Rakyat dengan sendirinya menandakan Pas telah pun kalah dan akur kepada DAP dan PKR.
DAP dan PKR pula secara umumnya tidak bermasalah dari segi isu-isu semasa. Tetapi, perkembangan terbaru di Johor, telah membuktikan bahawa pendirian yang sama dalam isu semasa bukan jaminan yang kedua-dua parti itu tidak bertelagah.
Pendek kata, secara dasarnya, Pakatan Rakyat kini telah retak seribu, dan hanya menanti belah dan hancur lebur sahaja sahaja.
Masalah PKR dan DAP di Johor dikatakan berpunca dari Pengerusi PKR Johor, Datuk Dr. Chua Jui Meng. Perkara ini dibangkitkan sendiri secara terbuka oleh Dr. Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP negeri. Semuanya kerana berebutkan kerusi pilihanraya di mana Chua dikatakan telah ‘membuat serangan hebat’ terhadap DAP Johor secara bawah tanah, sejak beberapa bulan lalu.
Antara serangan yang dilakukan oleh Chua ialah menuduh DAP sebagai bongkak bagi menafikan beberapa kerusi kepada DAP sekali gus, mengelakkan penguasaan DAP di negeri itu. Chua juga dituduh telah tidak menghormati sejarah persefahaman dan hubungan erat antara parti komponen dalam PR di Johor yang terjalin sejak dahulu dengan mengumumkan diri sendiri sebagai calon Gelang Patah sedangkan pembahagian kerusi belum pun muktamad.
Alasan Chua bahawa beliau berhak berbuat demikian sebagai Pengerusi PKR Negeri memperlihatkan keangkuhan dirinya mengatasi DAP yang menjadi sasaran tuduhan bongkak.
Dalam PRU-12, kawasan parlimen Gelang Patah dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) Tan Ah Eng dengan menewaskan calon PKR Zaliha Binti Mustafa sebanyak 33,630. Dalam pilihanraya kali ini, PKR dikatakan ingin bertanding semula di kawasan tersebut tetapi Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai telah mengumumkan untuk meletakkan calon DAP di situ. Justeru, tindakan Chua mengumumkan diri sendiri menyebabkan keadaan menjadi tegang serta janggal.
Hari ini Karpal Singh dilaporkan menegaskan bahawa DAP tidak mengambil ringan aduan Dr. Boo dan akan menyiasat perkara tersebut segera demi kepentingan PR. Walaubagaimanapun, tiada kenyataan dari pihak PKR mengenai perkara yang sama.
Oleh itu, Dr. Boo terpaksa ‘menyeru’ Ketua Pembangkang, iaitu Anwar Ibrahim atau Presiden PKR, Wan Azizah agar masuk campur dan memantau politik PR di Johor bagi memastikan perancangan menawan negeri tersebut berjalan lancar.
Pelik sekali, apabila Anwar terpaksa ‘diseru’ untuk masuk campur, sedangkan dalam kebanyakan isu, Anwar akan masuk campur secara suka rela. Malah, dalam pemilihan parti PKR juga Anwar bukan sahaja masuk campur tetapi ‘menggaul rata’ sebelum menapis dan membuang mana-mana yang dilihat ‘tidak begitu setia’ atau tidak memberi keuntungan kepadanya.
Selain itu, bukanlah rahsia yang Anwar juga telah masuk campur dalam politik dalaman Pas melalui kuncu-kuncunya yang digelar parasit oleh mereka-mereka yang arif mengenai strateginya.
Berdasarkan hakikat ini, mungkin Karpal, Dr. Boo dan DAP wajar memikirkan semula ‘seruan’ mereka agar Anwar atau isterinya masuk campur dalam pertelingkahan DAP-PKR di Johor.
Adalah tidak mustahil bahawa usaha mengsabotaj DAP yang didakwa dilakukan oleh Chua Jui Meng adalah sebenarnya berpunca dari ‘campur tangan Anwar’?
Sesungguhnya, amaran telah dikeluarkan kepada rakyat bahawa ‘perang’ di dalam PR adalah sesuatu yang pasti dan akan berterusan. Ia bukan sahaja kerana ketiga-tiga parti membawa pendirian, sifat dan halatuju yang bertentangan, tetapi juga kerana karektor individu-individu yang menerajui parti-parti tersebut.
Maka, senarionya kini dan selama-lamanya ialah, PKR akan terus menikam DAP di Johor, dan sembunyi tangan. DAP akan terus menikam Pas di Pulau Pinang, dan sembunyi tangan juga. PKR terus meracun Pas dari dalam dan DAP pula terus memijak Pas dari atas. PAS pula sedang menghancurkan diri sendiri kerana terlalu sayang pada PKR dan DAP walaupun saban hari berendam air mata, disepak terajang dan diludah dan ditunjal kepala.
Melihat bagaimana DAP-PKR-Pas ‘berbunuhan’ sesama sendiri, Pakatan Rakyat mungkin akan mati sendiri pada bila-bila masa sahaja, tanpa BN perlu melancarkan serangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan