Kemunculan personaliti agama yang sedang meningkat popular, Ustaz Azhar Idrus dalam Wacana Perdana di Stadium Darul Makmur, Pahang beberapa hari lepas pada pandangan ramai pemerhati politik ia adalah satu perkembangan menarik untuk dikupas dari pelbagai sudut.
Umum mengetahui selama ini Azhar Idrus dilihat dekat dengan Pas seumpama jinak-jinak burung merpati di masa yang sama cukup kritis dengan Kerajaan Pusat khasnya UMNO.
Lantaran itu tidaklah pelik bila mana para penyokong PR khususnya Pas ghairah cuba mengambil kredit berikutan kebanjiran orang ramai mengikuti program dakwah keagamaan itu dengan mempropagandakannya sebagai petanda 'sokongan rakyat' kepada PR.
Namun disebalik keghairahan tersebut, hakikatnya kesediaan Kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob meluluskan kegunaan Stadium Darul Makmur untuk menjayakan program wacana itu membuktikan keterbukaan BN dalam memperkasakan program bercorak dakwah.
Sudah menjadi polisi BN apa sahaja program keagamaan selagi ianya dilaksanakan dengan tulus ikhlas tanpa doktrin kepartian, maka segalanya lancar tanpa halangan.
Bagaimanapun bila mana wacana yang disertai Azhar Idrus itu turut mendapat liputan Buletin Utama TV3, sesetengah pemimpin dan penyokong PR bagaikan terhidu sesuatu yang tidak kena. 'Bagaikan ada udang disebalik mi', kata mereka.
Kenyataan Azhar Idrus sebagaimana dipetik oleh Buletin Utama TV3, "sangat-sangat saya sokonglah, kerajaan mana sekalipun buat benda-benda gini untuk anak-anak muda khususnya," dilihat oleh sebahagian pemerhati seakan ada maksud tersirat untuk ditafsirkan.
Dari kenyataannya itu ia menggambarkan sokongan terbuka Azhar Idrus dengan dukungan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang dalam menjayakan program keagamaan, sesuatu yang jauh berbeza dengan layanan Kerajaan Pas Kelantan yang mengharamkan kuliah agama oleh Azhar Idrus di mana-mana Masjid dan Surau di negeri itu.
Lebih menarik lagi kemunculan tiba-tiba Azhar Idrus dalam wacana yang disokong oleh Kerajaan BN Pahang itu bagaikan memberi jawapan kenapa beliau gagal muncul di malam pra Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) tempohari.
Barangkali polemik kalimah Allah s.w.t telah merubah corak pandangan Azhar Idrus terhadap Pas dan PR selanjutnya kini dilihat seperti bakal menyokong BN, ada kemungkinannya jika diambil kira kegagalannya menyertai malam pra HKR di padang Kelab Sultan Sulaiman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan