Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kedah. Papar semua catatan

Ahad, 31 Mac 2013

#TolakPakatan #JanjiKosong Pakatan Pembangkang di 4 Negeri


Apabila berbicara soal mungkir janji, pasti kita tidak akan terlepas dari memandang kepada pakatan pembangkang, ini kerana golongan tersebut telah dipenuhi dengan mereka-mereka yang sering khianat terhadap janji yang telah diberikan.

Lisan atau lidah mereka yang bergelar pemimpin di dalam pakatan, memang terkenal menuturkan seribu satu janji, namun seringkali gagal untuk mengotakannya. Contohnya, ketika berkempen dan di atas pentas ceramah, mereka sering mengatakan ‘tuan-tuan dan puan-puan, sekiranya pakatan (dahulu dikenali sebagai barisan alternatif) diberikuasa, apabila ayam berkokok, menjelang subuh kita akan berikan itu dan ini.

Namun setelah mendapat kuasa yang diidamkan itu dan apabila janji tersebut dituntut oleh rakyat mereka dengan mudah akan mengatakan ‘Manifesto PR Bukan Janji’. Sedangkan di dalam Islam, menepati dan menunaikan janji adalah antara sifat yang sangat dituntut Islam sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji.” (al-Maidah:1)
Malah, dalam ayat lain Allah menerangkan bahawa mereka yang sentiasa menunaikan janji adalah dianggap sebagai golongan yang beriman, yang benar dan bertakwa kepada Allah s.w.t., seperti firman-Nya yang bermaksud:
“…..Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan (menepati) janjinya apabila mereka membuat janji……” – (Al-Baqarah:177)
Oleh yang demikian mereka yang gemar berbohong atau sering memungkiri janjinya merupakan tanda-tanda adanya sifat nifaq atau ‘MUNAFIQ’. Malah junjungan besar kita nabi Muhammad SAW ada bersabda berhubung perkara ini.
“Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir, dan apabila diberi amanah ia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik yang jelas. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia meninggalkannya iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah)”. (Hadis riwayat Bukhari).
Semua petikan surah dan hadis tadi merujuk kepada peri-pentingnya untuk seseorang itu menunaikan janji yang pernah diberikan, apatah lagi mereka yang telah diangkat sebagai pemimpin. Namun berlainan dengan pakatan pembangkang, amaran dan peringatan yang diberikan oleh Allah dan Rasul itu seolah tidak memberikan kesan kepada mereka. Sedangkan ada dikalangan mereka yang dikatakan sebagai pemimpin ‘Anugerah Tuhan’ dan mereka yang kononnya bertaraf ulama. Seolah-olah Islam pada kaca mata mereka, hanya digunakan untuk membodohkan rakyat. Bukanlah niat untuk melemparkan tuduhan, namun setelah 4 tahun mentadbir kerajaan di Pulau Pinang, Selangor & Kedah, serta 22 tahun di Kelantan, pelbagai janji-janji manis mereka yang masih lagi belum ditunaikan. Patutlah penyanyi Aishah yang popular dengan lagu ‘Janji Manismu’ sertai pembangkang, rupa lagu tersebut ditujukan kepada pemimpin mereka. Antara janji-janji mereka yang sehingga kini hanya tinggal janji kerana berpegang kepada pendekatan #ManifestoBukanJanji ialah tabung permulaan RM100 bagi anak-anak kelahiran Selangor (mana duit yang diJANJIkan itu???), bantuan RM75 bagi setiap kanak-kanak di nurseri (nak tunggu kes di ke mahkamah barangkali). Itulah antara janji yang pernah diberikan kepada rakyat yang sehingga kini GAGAL dilaksanakan. Malah di Kelantan, kerajaan Pas baru nak rasmikan pembinaan stadium yang dijangka akan siap pada PRU18 nanti. Kesimpulannnya rakyat khususnya pengundi di 4 negeri yang ditadbir oleh pakatan WAJIB menolak menolak wakil/calon pakatan dalam PRU13 nanti sebagai pengajaran agar jangan cuba membodohkan rakyat dengan menabur jan-janji palsu.

Isnin, 25 Februari 2013

Pas Kedah Bergolak, BN Bakal Terajui Semula Negeri


Keadaan rumahtangga Pas bertambah gawat di Kedah apabila perbalahan beberapa anggota exco negeri itu dengan Menteri Besar tidak lagi mampu dibendung.

Usaha untuk menjatuhkan Azizan Abdul Razak yang dahulunya nampak sudah reda sedikit setelah campurtangan Pas Pusat kembali mengeruhkan landskap politik di Negeri Jelapang Padi itu.

Laporan media menyatakan 11  daripada 15 pas kawasan di Kedah telah memberi kata dua kepada Menteri Besar supaya meletak jawatan dan melepaskan kedudukannya sebagai pesuruhjaya negeri bagi parti itu.

Azizan yang terkenal dengan sifat bongkak dan angkuh serta sering memperlekehkan petugas media arus perdana, seperti biasa menunjukkan sikap keras kepalanya dengan enggan tunduk kepada desakan tersebut.

Azizan dikatakan gagal menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar untuk memajukan negeri Kedah.

Sebaliknya sepanjang pentadbirannya, boleh dikatakan tidak ada langsung pembangunan yang ketara dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.

Yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar ialah bagaimana rakusnya kerajaan negeri Pas menggondolkan bukit bukau sehingga menjejaskan kawasan tadahan hujan di Tasik Pedu.

Seperti biasa apabila tidak pandai mentadbir dan menjana fikiran bernas untuk memajukan negeri, UMNO dan Barisan Nasional lah yang menjadi sasaran.

Apabila tidak berjaya memacu ekonomi Kedah menyebabkan kantong negeri hampir kosong, Azizan mengugut supaya kerajaan pusat memberinya RM100 juta jika ingin selamatkan hutan rimba negeri itu.

Itulah yang diperolehi oleh rakyat Kedah dalam keghairahan mereka untuk menukar kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Kini mereka sudah sedar perubahan yang mereka impikan selama ini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat bagaikan mengharap  panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Harapkan kerajaan negeri baru pada 2008 akan menunaikan semua janji-janji manis yang ditabur semasa kempen pilihan raya tetapi akhirnya jadi kaki kencing rakyat rupanya!

Disebabkan terlalu asyik berpolitik dan berceramah siang dan malam, inilah kualiti kerajaan negeri yang dinikmati oleh rakyat kedah di bawah Pas.

Yang dipentingkan oleh pemimpin-pemimpin pas ialah mengejar kuasa serta kedudukan bagi kepentingan diri sendiri dan keluarga masing-masing.

Inilah yang berlaku di Kedah apabila dua exco kanan, Phahrolrazi Nawawi dan Dr Ismail Salleh mengetuai kelompok untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Selain faktor politik yang tidak 'ngam', antara alasan utama ialah faktor ekonomi.

Ini kerana Azizan hanya mengutamakan kroni-kroni terdekatnya sahaja dalam pengagihan projek-projek dengan menyisihkan kumpulan kedua-dua ahli exco itu.

Sudah tentu ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong-penyokong mereka lantas secara senyap mejalankan kempen halus untuk menurunkan Azizan daripada kedudukannya.

Sindrom penafian yang diamalkan oleh Pas Pusat juga bakal mengundang bencana bagi parti itu di Kedah.

Kalau dahulunya api pergaduhan antara Azizan dan dua exconya dapat ditangani tetapi tindakan itu hanyalah bersifat sementera waktu kerana hakikatnya perbalahan mereka tidak dapat diselesaikan dengan apa cara pun.

Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali ingin menipu ahli Pas dan rakyat Kedah dengan mengatakan tidak ada pergolakan politik yang berlaku di negeri itu.

Ini sepertilah berkata bahawa tidak ada tsunami yang berlaku walhal separuh negeri sudah ranap.  

Cuba menutup kenyataan yang sudah terang lagi nyata tidak akan menyelesaikan masalah dalaman pas di Kedah yang sudah ke peringkat amat serius.

Sudah ada desas desus Azizan mendesak kepimpinan pusat parti terutamanya Presiden Pas Abdul Hadi Awang supaya menggugurkan nama Phahrolrazi, Dr Ismail serta beberapa orang kuat mereka daripada senarai calon parti itu pada PRU-13 nanti.

Jika ini berlaku bukan sahaja Pas Kedah akan berpecah, kerajaan negeri pun akan terlepas ke tangan BN.

Kini pun gelombang sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN sudah meningkat sehingga menggerunkan Pas Kedah.

Kemungkinan besar Kedah akan ke pangkuan BN bukan sahaja kemelut yang membelenggu Pas Kedah tetapi kerana rakyat sudah cukup meluat dan marah kepada pentadbiran yang sama sekali tidak pro aktif dan membela kebajikan rakyat.

Ahad, 24 Februari 2013

MB Kedah : Mahfudz Dalang Desak Azizan Undur


Ramai yang tidak tahu bahawa di kala Phahrolrazi sedang mengasak Azizan dari kiri, kanan, atas dan bawah, Mahfudz Omar rupanya sedang berkempen secara halus untuk meletakkan dirinya di kerusi Menteri Besar Kedah. Mahfudz difahamkan ‘berkongsi’ dengan Phahrolrazi untuk menggerakkan 11 DUN di Kedah mendesak Azizan supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya Pas negeri sekali gus.

Phahrolrazi bagaimanapun menafikan penglibatannya dan meminta agar mereka yang tidak berpuas hati menggunakan saluran yang betul. Mungkin beliau terlupa bahawa beliau juga yang memberikan contoh tauladan untuk menggunakan cara biadap dan tidak betul sebelum ini apabila mendesak Azizan berundur. Oleh itu, penafian Phahrolrazi tidak membawa apa-apa makna kerana permusuhan, dendam dan kebenciannya pada Azizan begitu terserlah. Pendek kata, siapa yang tidak tahu yang Phahrolrazi gila kuasa ingin merampas jawatan Azizan sehingga tak tertahan-tahan.

Kegilaan Phahrolrazi ini dilihat sebagai ‘peluang’ bagi Mahfudz untuk menampilkan diri sebagai calon terbaik. Rakyat pasti tidak suka melihat orang yang gila kuasa seperti Phahrolrazi dan rakyat juga sudah ‘serik’ dengan Azizan yang tidak tahu apa-apa.

Apa yang menariknya dalam krisis Pas Kedah ini ialah, desakan agar Azizan berundur oleh 11 DUN itu bukan kerana beliau gagal menangani pembalakan haram, bukan kerana beliau gagal membawa masuk pelaburan, bukan kerana beliau gagal mengawal pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan, bukan kerana gagal menangani masalah KUIN, bukan kerana projek-projek yang tidak masuk akal dan kerugian, bukan kerana anak-anak syarikat kerajaan lingkup dikerjakan kroni-kroni pegawai yang dilantiknya, bukan juga kerana beliau menyebabkan hutang Kedah meningkat sehingga 50% sejak mengambil-alih negeri.

Malah, Pas membela Azizan dalam semua isu-isu di atas sehinggakan sanggup melakukan perhimpunan besar-besaran di Pedu bagi menafikan kritikan serta menunjukkan sokongan terhadap pembalakan haram.

Semua masalah negeri dan rakyat ini bukanlah isu besar bagi Pas. Yang menjadi masalah bagi Pas dan menyebabkan mereka mendesaknya berundur ialah sikap Azizan yang ‘mesra’ UMNO/BN.

Azizan telah lama dipandang serong oleh puak-puak Pas di Kedah kerana menurut mereka, beliau lebih UMNO dari UMNO. Beliau dikritik kerana tidak memakai kopiah putih, tetapi songkok. Beliau juga tidak memakai jubah, tetapi berkot. Selain itu, semua orang Kedah tahu bahawa ahli keluarga beliau dan isteri beliau majoritinya adalah orang-orang UMNO, malah mempunyai pertalian darah dengan bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Osman Aroff. Sebahagian besar pegawai-pegawai kerajaan Kedah sejak zaman UMNO lagi merupakan sanak saudara Azizan atau isterinya.

Pendekatan Azizan yang terbuka dengan UMNO, sehinggakan sanggup memakai baju IM4U yang membawa lambang 1Malaysia yang menjadi slogan kerajaan BN benar-benar menyakitkan hati Pas Kedah.

Akibatnya, beliau dikritik hebat oleh Pas dan disindir agar menyertai UMNO saja. Dari situlah penentangan terhadap Azizan semakin memuncak dan digunakan sepenuhnya oleh pihak yang menginginkan jawatannya untuk mengasak Azizan agar berundur.

Hakikatnya, kesebelas DUN Pas yang mendesak Azizan berundur itu langsung tidak pernah fikirkan mengenai keadaan  negeri Kedah yang telah hancur. Yang mereka tahu ialah mereka inginkan Menteri Besar yang berimej Pas tulin, itu saja.

Dengan masalah negeri yang begitu kronik iaitu ketiadaan sumber pendapatan serta perbelanjaan dan kerugian yang terus meningkat dari hari ke sehari, sesiapa sahaja yang ingin merampas jawatan Azizan seharusnya mampu membentangkan jalan penyelesaian bagi semua permasalahan ini.

Setakat ini Phahrolrazi hanya tahu mengugut Pulau Pinang untuk membayar caj bekalan air mentah yang mana langsung tidak dilayan oleh negeri itu. Lebih dari itu, beliau sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukannya untuk menyelamatkan negeri Kedah.

Mahfudz pula, mengeja perkataan ‘ekonomi’ pun belum tentu lagi mampu. Justeru, apa yang nak diharapkan darinya untuk merancang ekonomi negeri. Setakat mengutuk BN ke hulu ke hilir bolehlah dia, sekadar untuk membuat orang tuanya bangga melihat anak mereka berjaya walaupun tidak lulus periksa.

Membayangkan Mahfudz yang mengganti Azizan, samalah saja seperti menyerahkan jawatan itu kepada kambing atau lembu. Di tangan Azizan, Kedah sudah pun hancur lebur. Jika diserahkan kepada Mahfudz, maka Kedah yang telah hancur itu akan dikunyah sehingga lunyai, dihadamkan dan akhirnya menjadi bahan buangan.

Justeru, kita tidak nampak masa depan negeri Kedah di bawah Pas, tak kira siapapun Menteri Besarnya. Antara Azizan, Phahrolrazi, Mahfudz dan Lembu, semuanya sama saja.

Isnin, 18 Februari 2013

Azizan Mengugut Cara Islam?

Ternganga kita dibuatnya apabila Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah mengugut Kerajaan Pusat agar membayar RM100 juta setiap tahun kepada negeri itu sebagai pampasan jika ingin pihaknya menghentikan penggondolan hutan untuk pembalakan.   Nampak benar, yang Menteri Besar Kedah ini telah benar-benar buntu dalam usaha menjana pendapatan negeri.

Kata orang, ego biar bertempat. Jika sudah buntu, dan tak tahu apa-apa, buangkanlah ego itu jauh-jauh, jika tidak, pasti terserlah kebodohan sendiri. Tidak apa jika bodoh itu tidak memberi kesan kepada sesiapa, tetapi masalahnya bodoh seorang Menteri Besar memberi kesan kepada rakyat, malah bumi Kedah juga.

Jika dulu Azizan begitu lantang menghamun kepimpinan Barisan Nasional, kononnya bodoh, tidak prihatin dan korup, tetapi setelah diberi peluang untuk menunjukkan cara kepimpinan yang bijak, prihatin dan telus, bingunglah pula Azizan jadinya. Kini, baru beliau tahu bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar ijazah dalam bidang agama dan suara lantang yang gemar menghentam orang.

Sepertimana kaum Arab yang dikurniakan sumber paling berharga di dunia tetapi tidak mampu menjadi peneraju ilmu dan pemerintah dunia, begitulah keadaannya di kalangan pemimpin PAS. Telah dikatakan di dalam AlQuran, bahawa ilmu yang penting adalah ilmu sains dan matematik dari pengamatan bintang dan cakerawala, gunung ganang dan lautan mahupun zarah-zarah di dalam udara. Tetapi mereka tidak mendengarnya, mereka tidak memahaminya walaupun ramai di antara mereka fasih berbahasa Arab, hatta hafal Al-Quran juga.

Justeru, hari ini kita melihat sendiri apa terjadi apabila seseorang yang mengaku pakar agama mentadbir macam orang tak ada agama. Terserlah sikap angkuh, ego, takbur, riak, panas baran dan mengugut sana sini apabila buntu dan terdesak.

Bukan sahaja kerajaan pusat hendak diugut, tetapi juga kerajaan sahabat merangkap jiran sendiri, iaitu Pulau Pinang juga turut cuba diperas. Oleh kerana Pulau Pinang enggan melayan mimpi Azizan untuk mengenakan caj bekalan air mentah ke negeri itu, maka Phahrolrazi, exco Kedah telah membuat kenyataan berbaur ugutan iaitu Pulau Pinang akan mengalami kesukaran jika terus enggan melayan cadangan Kedah.

Malangnya, Pulau Pinang mengambil sikap ‘bo-layan’ sahaja terhadap ugutan Kedah.

Maka, semakin bingunglah Azizan sehingga sanggup mengambil risiko memusnahkan alam sekitar dan mendedahkan rakyat kepada risiko kehilangan nyawa dan harta benda akibat bencana alam dengan berdegil untuk meneruskan pembalakan haram. Maka, satu-satunya cara untuk menghentikan kegilaan ini ialah dengan kerajaan pusat membayar sejumlah RM100 juta kepada Kedah.

Persoalannya, sampai bila Azizan boleh mentadbir dengan cara mengugut?

Kenapakah keadaan sebegini tidak pernah terjadi semasa pemerintahan BN? Kenapakah walaupun dikatakan korup, bodoh dan zalim, BN tidak pernah mengambil risiko ke atas nasib rakyat dan tidak pernah membiarkan kewangan negeri berada dalam keadaan begitu tenat?

Bagaimana jika kerajaan pusat mengambil keputusan untuk mengugut Azizan kembali iaitu, jika beliau inginkan RM100 juta itu, maka beliau harus menjustifikasi dan menangani segala ketirisan dalam kewangan negeri Kedah secara terperinci terlebih dahulu, bagi memastikan RM100 juta tersebut tidak terbazir begitu saja.

Atau lebih baik lagi, jika kerajaan pusat mengugut agar Azizan meletakkan jawatan terlebih dahulu, jika inginkan RM100 juta itu disumbangkan kepada Kedah.

Atau lebih mudah, mungkin kerajaan pusat boleh mengugut Azizan agar membuat pengakuan terbuka dan meminta maaf kepada rakyat Kedah kerana beliau benar-benar tidak tahu bagaimana untuk mentadbir sebuah negeri, sebelum menyalurkan RM100 juta tersebut kepadanya. Bagaimana?

Walaupun persoalan ini kelihatan seperti ‘lawak’, kata orang Kedah, tetapi sebenarnya tiada apa yang lawak mengenainya, malah sedih dan membimbangkan.

Khabar dari Kedah menyatakan bahawa kewangan Kedah sudah terlalu sangat meruncing sehinggakan semua program dan perjalanan dibekukan kerana kerajaan negeri tidak dapat menanggung kos, terutamanya kos minyak.

Mana tidaknya, jika kesemua perbelanjaan negeri bergantung sepenuhnya kepada pendapatan dari balak semata-mata. Bayangkan, ketika pemerintahan BN pada tahun 2007, balak hanya menjana RM8 juta, tetapi di masa pemerintahan PAS pendapatan dari balak dalam keluasan yang sama mencanak naik sehingga RM35 juta pada 2008, RM38 juta pada 2009 dan RM53 juta pada 2010?!

Kini balak-balak hampir habis, sehinggakan hutan simpan kekal juga gondol dikerjakan PAS Kedah sedangkan di masa yang sama kesemua anak-anak syarikat dan projek-projek negeri mengalami kerugian dan masih lagi menjana kerugian kerana ketidakcekapan, ketidaktelusan dan ‘ketidak-tahuan’ para pegawai yang dilantik. Mahu tidak meroyan jadinya Azizan?

Benarlah rungutan rakyat Kedah, bahawa PAS memerintah bagaikan mentadbir sebuah kampung. Perihal peraturan dan undang-undang semuanya diambil ‘enteng’. Kesemua pegawai dan exco membawa sikap ‘kaduk naik junjung’ dan ‘kera mendapat bunga’ seolah-olah merekalah kuasa segala kuasa dan boleh berbuat apa saja. Akhirnya, semuanya berada di luar kawalan.

Khabarnya juga, pegawai kewangan negeri, Dato’ Haji Puat, sepupu Azizan yang telah berada di situ sejak zaman pemerintahan BN juga sudah putus harapan kerana gagal mendapat kerjasama Azizan sendiri.

Justeru, apakah kesudahannya nasib Negeri Kedah?

Nasib negeri Kedah adalah tidak pasti kerana ia bergantung kepada rakyat Kedah dalam PRU-13 ini.

Namun, apa yang pasti ialah Azizan tidak ada hak untuk mengugut, tetapi inilah masanya untuk beliau mengangkat tangan, mengaku kalah.

Jumaat, 15 Februari 2013

Selepas Balak Licin, Mana Lagi Azizan Nak Tala?


Tidak ada apa yang mampu dilakukan selain menggeleng-gelengkan kepala melihat bagaimana kerajaan Pas Kedah memusnahkan negerinya sendiri.

Oleh itu, tidak hairan ramai yang mengesyaki bahawa Pas Kedah sememangnya tidak berniat atau tidak mengharapkan akan diberi mandate untuk mentadbir Kedah lebih dari sepenggal.

Mungkin kerana itulah dalam masa hampir 5 tahun ini, Pas Kedah telah mengaut sebanyak mungkin keuntungan dengan merebut serta mencipta apa saja peluang untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni masing-masing.

Bukit-bukit gondol akibat pembalakan tidak terkawal menjadi bukti bahawa Pas tidak pernah melihat ke hadapan, tetapi sekadar memikirkan keadaan semasa iaitu dalam masa sepenggal pemerintahan sahaja. Bagi Pas, apa yang berlaku selepas penggal ini bukan lagi masalah Pas, tetapi BN kerana apa yang penting, semua pemimpin dan kroni mereka telah pun kaya.

Mungkin, sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan oleh exco-exco dan pegawai-pegawai di dalam pentadbiran negeri dan syarikat milik kerajaan negeri Kedah.

Tetapi, apa yang difikirkan oleh pemimpin tertinggi Kedah, iaitu Dato’ Seri Azizan Razak mungkin berbeza. Kerana itu, Azizan nampaknya masih berminat untuk bertanding dan masih menunjukkan keinginan untuk menang dan terus memegang jawatannya. Beliau yang terkenal sebagai Menteri Besar yang tidak tahu apa-apa nampaknya masih tidak sedar yang negerinya sedang musnah.

Sehingga ke hari ini, Azizan terus percaya kepada Rektor KUIN bahawa keadaan di KUIN adalah terkawal dan KUIN tidak punya masalah besar. Azizan juga percaya kepada Sanusi, Setiausaha Sulitnya, bahawa pembalakan di Kedah boleh dijustifikasi dan segala kritikan hanyalah mainan politik musuh sahaja. Dan Azizan juga percaya yang Phahrolrazi akan dapat memaksa Pulau Pinang membayar caj bekalan air seperti yang diumumkan dalam Bajet Kedah tempoh hari.

Malah, Azizan yakin Sobri, Presiden Kulim Hi-Tech Park mampu membawa masuk pelaburan asing tambahan ke Taman Teknologi tersebut tanpa sokongan dan bantuannya, sebagai Menteri Besar. Begitu juga dengan Bina Darul Aman mampu melaksanakan projek dengan baik serta telus. Bagi Azizan juga, segala kerugian dari projek Papua New Guinea, Langkawi, Aquakultur dan semua projek kerajaan negeri hanyalah masalah kecil dan tidak akan menjejaskan pentadbirannya.

Dengan bergantung seratus-peratus kepada laporan dari ‘orang-orang yang terpilih’ Azizan terus percaya kepada apa yang ingin dipercayainya sehinggakan dalam masa sepenggal ini, beliau langsung tidak pernah mengambil langkah untuk melawat atau meneliti sendiri segala permasalahan yang timbul. Biar riuh rendah orang bercakap tentang pembalakan Kedah, biar berjuta orang menunjuk perasaan, Azizan tidak teringin pun untuk melihat sendiri bukit-bukit yang gondol dan air tadahan yang tercemar.

Azizan tidak tahu bahawa sekiranya beliau masih terus memegang jawatan di penggal hadapan maka ketika itu barulah beliau akan sedar bahawa Kedah sudah tidak ada apa-apa lagi untuk ditadbir.

Azizan juga tidak tahu bahawa setelah segala exco, pegawai dan kroni mereka kenyang, Azizan akan dipertanggungjawabkan atas kerakusan mereka. Di waktu itu, mahu tidak mahu, Azizan wajib memikul tanggungjawab tersebut sebagai pemimpin tertinggi negeri kerana telah tidak mengambil tindakan untuk menghentikan segala kemusnahan, sedangkan beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Di harap rakyat Kedah mula membuka mata dan bangkit melihat apa yang berlaku di keliling mereka. Sedangkan, satu-satunya sumber kewangan yang mampu difikirkan oleh kerajaan Pas Kedah adalah melalui pembalakan. Memandangkan semua hutan termasuk Hutan Simpan Kekal juga telah gondol dikerjakan dalam masa sepenggal sahaja, maka bagaimana lagi Azizan boleh menjana pendapatan pada penggal depan?

Balak bukannya boleh tumbuh dalam masa sebulan dua dan jika benar semua hutan itu akan diganti dengan ladang rakyat, ia juga bukan boleh menjana pendapatan dalam sekelip mata. Lebih dari itu, yakinkah kita bahawa ladang rakyat itu akan berjaya? Apakah wujud kertas-kerja yang berwibawa untuk memperlihatkan yang projek ladang rakyat itu benar-benar berbaloi berbanding balak yang ditebang, hutan yang dimusnahkan dan bencana yang mungkin diakibatkannya?

Sudah sampai masanya rakyat Kedah belajar memahami pentingnya memilih parti yang berkelayakan untuk memerintah dan bukannya parti yang hanya tahu berslogan.

Hari ini, kita telah melihat bukit-bukau termasuk hutan simpan kekal musnah. Esok, selepas semuanya licin, tidak mustahil kerajaan negeri akan mula menjual tanah kepada tauke-tauke Cina pula, termasuk dari Singapura, sepertimana yang berlaku di Kelantan selama ini.