Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Menteri Besar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Menteri Besar. Papar semua catatan

Isnin, 25 Februari 2013

Pas Kedah Bergolak, BN Bakal Terajui Semula Negeri


Keadaan rumahtangga Pas bertambah gawat di Kedah apabila perbalahan beberapa anggota exco negeri itu dengan Menteri Besar tidak lagi mampu dibendung.

Usaha untuk menjatuhkan Azizan Abdul Razak yang dahulunya nampak sudah reda sedikit setelah campurtangan Pas Pusat kembali mengeruhkan landskap politik di Negeri Jelapang Padi itu.

Laporan media menyatakan 11  daripada 15 pas kawasan di Kedah telah memberi kata dua kepada Menteri Besar supaya meletak jawatan dan melepaskan kedudukannya sebagai pesuruhjaya negeri bagi parti itu.

Azizan yang terkenal dengan sifat bongkak dan angkuh serta sering memperlekehkan petugas media arus perdana, seperti biasa menunjukkan sikap keras kepalanya dengan enggan tunduk kepada desakan tersebut.

Azizan dikatakan gagal menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar untuk memajukan negeri Kedah.

Sebaliknya sepanjang pentadbirannya, boleh dikatakan tidak ada langsung pembangunan yang ketara dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.

Yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar ialah bagaimana rakusnya kerajaan negeri Pas menggondolkan bukit bukau sehingga menjejaskan kawasan tadahan hujan di Tasik Pedu.

Seperti biasa apabila tidak pandai mentadbir dan menjana fikiran bernas untuk memajukan negeri, UMNO dan Barisan Nasional lah yang menjadi sasaran.

Apabila tidak berjaya memacu ekonomi Kedah menyebabkan kantong negeri hampir kosong, Azizan mengugut supaya kerajaan pusat memberinya RM100 juta jika ingin selamatkan hutan rimba negeri itu.

Itulah yang diperolehi oleh rakyat Kedah dalam keghairahan mereka untuk menukar kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Kini mereka sudah sedar perubahan yang mereka impikan selama ini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat bagaikan mengharap  panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Harapkan kerajaan negeri baru pada 2008 akan menunaikan semua janji-janji manis yang ditabur semasa kempen pilihan raya tetapi akhirnya jadi kaki kencing rakyat rupanya!

Disebabkan terlalu asyik berpolitik dan berceramah siang dan malam, inilah kualiti kerajaan negeri yang dinikmati oleh rakyat kedah di bawah Pas.

Yang dipentingkan oleh pemimpin-pemimpin pas ialah mengejar kuasa serta kedudukan bagi kepentingan diri sendiri dan keluarga masing-masing.

Inilah yang berlaku di Kedah apabila dua exco kanan, Phahrolrazi Nawawi dan Dr Ismail Salleh mengetuai kelompok untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Selain faktor politik yang tidak 'ngam', antara alasan utama ialah faktor ekonomi.

Ini kerana Azizan hanya mengutamakan kroni-kroni terdekatnya sahaja dalam pengagihan projek-projek dengan menyisihkan kumpulan kedua-dua ahli exco itu.

Sudah tentu ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong-penyokong mereka lantas secara senyap mejalankan kempen halus untuk menurunkan Azizan daripada kedudukannya.

Sindrom penafian yang diamalkan oleh Pas Pusat juga bakal mengundang bencana bagi parti itu di Kedah.

Kalau dahulunya api pergaduhan antara Azizan dan dua exconya dapat ditangani tetapi tindakan itu hanyalah bersifat sementera waktu kerana hakikatnya perbalahan mereka tidak dapat diselesaikan dengan apa cara pun.

Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali ingin menipu ahli Pas dan rakyat Kedah dengan mengatakan tidak ada pergolakan politik yang berlaku di negeri itu.

Ini sepertilah berkata bahawa tidak ada tsunami yang berlaku walhal separuh negeri sudah ranap.  

Cuba menutup kenyataan yang sudah terang lagi nyata tidak akan menyelesaikan masalah dalaman pas di Kedah yang sudah ke peringkat amat serius.

Sudah ada desas desus Azizan mendesak kepimpinan pusat parti terutamanya Presiden Pas Abdul Hadi Awang supaya menggugurkan nama Phahrolrazi, Dr Ismail serta beberapa orang kuat mereka daripada senarai calon parti itu pada PRU-13 nanti.

Jika ini berlaku bukan sahaja Pas Kedah akan berpecah, kerajaan negeri pun akan terlepas ke tangan BN.

Kini pun gelombang sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN sudah meningkat sehingga menggerunkan Pas Kedah.

Kemungkinan besar Kedah akan ke pangkuan BN bukan sahaja kemelut yang membelenggu Pas Kedah tetapi kerana rakyat sudah cukup meluat dan marah kepada pentadbiran yang sama sekali tidak pro aktif dan membela kebajikan rakyat.

Ahad, 24 Februari 2013

MB Kedah : Mahfudz Dalang Desak Azizan Undur


Ramai yang tidak tahu bahawa di kala Phahrolrazi sedang mengasak Azizan dari kiri, kanan, atas dan bawah, Mahfudz Omar rupanya sedang berkempen secara halus untuk meletakkan dirinya di kerusi Menteri Besar Kedah. Mahfudz difahamkan ‘berkongsi’ dengan Phahrolrazi untuk menggerakkan 11 DUN di Kedah mendesak Azizan supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya Pas negeri sekali gus.

Phahrolrazi bagaimanapun menafikan penglibatannya dan meminta agar mereka yang tidak berpuas hati menggunakan saluran yang betul. Mungkin beliau terlupa bahawa beliau juga yang memberikan contoh tauladan untuk menggunakan cara biadap dan tidak betul sebelum ini apabila mendesak Azizan berundur. Oleh itu, penafian Phahrolrazi tidak membawa apa-apa makna kerana permusuhan, dendam dan kebenciannya pada Azizan begitu terserlah. Pendek kata, siapa yang tidak tahu yang Phahrolrazi gila kuasa ingin merampas jawatan Azizan sehingga tak tertahan-tahan.

Kegilaan Phahrolrazi ini dilihat sebagai ‘peluang’ bagi Mahfudz untuk menampilkan diri sebagai calon terbaik. Rakyat pasti tidak suka melihat orang yang gila kuasa seperti Phahrolrazi dan rakyat juga sudah ‘serik’ dengan Azizan yang tidak tahu apa-apa.

Apa yang menariknya dalam krisis Pas Kedah ini ialah, desakan agar Azizan berundur oleh 11 DUN itu bukan kerana beliau gagal menangani pembalakan haram, bukan kerana beliau gagal membawa masuk pelaburan, bukan kerana beliau gagal mengawal pusat-pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan, bukan kerana gagal menangani masalah KUIN, bukan kerana projek-projek yang tidak masuk akal dan kerugian, bukan kerana anak-anak syarikat kerajaan lingkup dikerjakan kroni-kroni pegawai yang dilantiknya, bukan juga kerana beliau menyebabkan hutang Kedah meningkat sehingga 50% sejak mengambil-alih negeri.

Malah, Pas membela Azizan dalam semua isu-isu di atas sehinggakan sanggup melakukan perhimpunan besar-besaran di Pedu bagi menafikan kritikan serta menunjukkan sokongan terhadap pembalakan haram.

Semua masalah negeri dan rakyat ini bukanlah isu besar bagi Pas. Yang menjadi masalah bagi Pas dan menyebabkan mereka mendesaknya berundur ialah sikap Azizan yang ‘mesra’ UMNO/BN.

Azizan telah lama dipandang serong oleh puak-puak Pas di Kedah kerana menurut mereka, beliau lebih UMNO dari UMNO. Beliau dikritik kerana tidak memakai kopiah putih, tetapi songkok. Beliau juga tidak memakai jubah, tetapi berkot. Selain itu, semua orang Kedah tahu bahawa ahli keluarga beliau dan isteri beliau majoritinya adalah orang-orang UMNO, malah mempunyai pertalian darah dengan bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Osman Aroff. Sebahagian besar pegawai-pegawai kerajaan Kedah sejak zaman UMNO lagi merupakan sanak saudara Azizan atau isterinya.

Pendekatan Azizan yang terbuka dengan UMNO, sehinggakan sanggup memakai baju IM4U yang membawa lambang 1Malaysia yang menjadi slogan kerajaan BN benar-benar menyakitkan hati Pas Kedah.

Akibatnya, beliau dikritik hebat oleh Pas dan disindir agar menyertai UMNO saja. Dari situlah penentangan terhadap Azizan semakin memuncak dan digunakan sepenuhnya oleh pihak yang menginginkan jawatannya untuk mengasak Azizan agar berundur.

Hakikatnya, kesebelas DUN Pas yang mendesak Azizan berundur itu langsung tidak pernah fikirkan mengenai keadaan  negeri Kedah yang telah hancur. Yang mereka tahu ialah mereka inginkan Menteri Besar yang berimej Pas tulin, itu saja.

Dengan masalah negeri yang begitu kronik iaitu ketiadaan sumber pendapatan serta perbelanjaan dan kerugian yang terus meningkat dari hari ke sehari, sesiapa sahaja yang ingin merampas jawatan Azizan seharusnya mampu membentangkan jalan penyelesaian bagi semua permasalahan ini.

Setakat ini Phahrolrazi hanya tahu mengugut Pulau Pinang untuk membayar caj bekalan air mentah yang mana langsung tidak dilayan oleh negeri itu. Lebih dari itu, beliau sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukannya untuk menyelamatkan negeri Kedah.

Mahfudz pula, mengeja perkataan ‘ekonomi’ pun belum tentu lagi mampu. Justeru, apa yang nak diharapkan darinya untuk merancang ekonomi negeri. Setakat mengutuk BN ke hulu ke hilir bolehlah dia, sekadar untuk membuat orang tuanya bangga melihat anak mereka berjaya walaupun tidak lulus periksa.

Membayangkan Mahfudz yang mengganti Azizan, samalah saja seperti menyerahkan jawatan itu kepada kambing atau lembu. Di tangan Azizan, Kedah sudah pun hancur lebur. Jika diserahkan kepada Mahfudz, maka Kedah yang telah hancur itu akan dikunyah sehingga lunyai, dihadamkan dan akhirnya menjadi bahan buangan.

Justeru, kita tidak nampak masa depan negeri Kedah di bawah Pas, tak kira siapapun Menteri Besarnya. Antara Azizan, Phahrolrazi, Mahfudz dan Lembu, semuanya sama saja.