Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Balak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Balak. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Februari 2013

Selepas Balak Licin, Mana Lagi Azizan Nak Tala?


Tidak ada apa yang mampu dilakukan selain menggeleng-gelengkan kepala melihat bagaimana kerajaan Pas Kedah memusnahkan negerinya sendiri.

Oleh itu, tidak hairan ramai yang mengesyaki bahawa Pas Kedah sememangnya tidak berniat atau tidak mengharapkan akan diberi mandate untuk mentadbir Kedah lebih dari sepenggal.

Mungkin kerana itulah dalam masa hampir 5 tahun ini, Pas Kedah telah mengaut sebanyak mungkin keuntungan dengan merebut serta mencipta apa saja peluang untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni masing-masing.

Bukit-bukit gondol akibat pembalakan tidak terkawal menjadi bukti bahawa Pas tidak pernah melihat ke hadapan, tetapi sekadar memikirkan keadaan semasa iaitu dalam masa sepenggal pemerintahan sahaja. Bagi Pas, apa yang berlaku selepas penggal ini bukan lagi masalah Pas, tetapi BN kerana apa yang penting, semua pemimpin dan kroni mereka telah pun kaya.

Mungkin, sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan oleh exco-exco dan pegawai-pegawai di dalam pentadbiran negeri dan syarikat milik kerajaan negeri Kedah.

Tetapi, apa yang difikirkan oleh pemimpin tertinggi Kedah, iaitu Dato’ Seri Azizan Razak mungkin berbeza. Kerana itu, Azizan nampaknya masih berminat untuk bertanding dan masih menunjukkan keinginan untuk menang dan terus memegang jawatannya. Beliau yang terkenal sebagai Menteri Besar yang tidak tahu apa-apa nampaknya masih tidak sedar yang negerinya sedang musnah.

Sehingga ke hari ini, Azizan terus percaya kepada Rektor KUIN bahawa keadaan di KUIN adalah terkawal dan KUIN tidak punya masalah besar. Azizan juga percaya kepada Sanusi, Setiausaha Sulitnya, bahawa pembalakan di Kedah boleh dijustifikasi dan segala kritikan hanyalah mainan politik musuh sahaja. Dan Azizan juga percaya yang Phahrolrazi akan dapat memaksa Pulau Pinang membayar caj bekalan air seperti yang diumumkan dalam Bajet Kedah tempoh hari.

Malah, Azizan yakin Sobri, Presiden Kulim Hi-Tech Park mampu membawa masuk pelaburan asing tambahan ke Taman Teknologi tersebut tanpa sokongan dan bantuannya, sebagai Menteri Besar. Begitu juga dengan Bina Darul Aman mampu melaksanakan projek dengan baik serta telus. Bagi Azizan juga, segala kerugian dari projek Papua New Guinea, Langkawi, Aquakultur dan semua projek kerajaan negeri hanyalah masalah kecil dan tidak akan menjejaskan pentadbirannya.

Dengan bergantung seratus-peratus kepada laporan dari ‘orang-orang yang terpilih’ Azizan terus percaya kepada apa yang ingin dipercayainya sehinggakan dalam masa sepenggal ini, beliau langsung tidak pernah mengambil langkah untuk melawat atau meneliti sendiri segala permasalahan yang timbul. Biar riuh rendah orang bercakap tentang pembalakan Kedah, biar berjuta orang menunjuk perasaan, Azizan tidak teringin pun untuk melihat sendiri bukit-bukit yang gondol dan air tadahan yang tercemar.

Azizan tidak tahu bahawa sekiranya beliau masih terus memegang jawatan di penggal hadapan maka ketika itu barulah beliau akan sedar bahawa Kedah sudah tidak ada apa-apa lagi untuk ditadbir.

Azizan juga tidak tahu bahawa setelah segala exco, pegawai dan kroni mereka kenyang, Azizan akan dipertanggungjawabkan atas kerakusan mereka. Di waktu itu, mahu tidak mahu, Azizan wajib memikul tanggungjawab tersebut sebagai pemimpin tertinggi negeri kerana telah tidak mengambil tindakan untuk menghentikan segala kemusnahan, sedangkan beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Di harap rakyat Kedah mula membuka mata dan bangkit melihat apa yang berlaku di keliling mereka. Sedangkan, satu-satunya sumber kewangan yang mampu difikirkan oleh kerajaan Pas Kedah adalah melalui pembalakan. Memandangkan semua hutan termasuk Hutan Simpan Kekal juga telah gondol dikerjakan dalam masa sepenggal sahaja, maka bagaimana lagi Azizan boleh menjana pendapatan pada penggal depan?

Balak bukannya boleh tumbuh dalam masa sebulan dua dan jika benar semua hutan itu akan diganti dengan ladang rakyat, ia juga bukan boleh menjana pendapatan dalam sekelip mata. Lebih dari itu, yakinkah kita bahawa ladang rakyat itu akan berjaya? Apakah wujud kertas-kerja yang berwibawa untuk memperlihatkan yang projek ladang rakyat itu benar-benar berbaloi berbanding balak yang ditebang, hutan yang dimusnahkan dan bencana yang mungkin diakibatkannya?

Sudah sampai masanya rakyat Kedah belajar memahami pentingnya memilih parti yang berkelayakan untuk memerintah dan bukannya parti yang hanya tahu berslogan.

Hari ini, kita telah melihat bukit-bukau termasuk hutan simpan kekal musnah. Esok, selepas semuanya licin, tidak mustahil kerajaan negeri akan mula menjual tanah kepada tauke-tauke Cina pula, termasuk dari Singapura, sepertimana yang berlaku di Kelantan selama ini.

Skandal Tanah: Sampai Bila Rakyat Kelantan Mahu Bersabar?


Dikira dari usia pemerintahan Pas di Kelantan sejak 1959 - 1978 (19 tahun) diikuti dengan pusingan kedua bermula 1990 - 2013 (23 tahun), bermakna sudah 42 tahun negeri Serambi Mekah ini berada dalam genggaman Pas.

Suka atau tidak, rakyat Kelantan perlu akui selama tempoh lebih empat dekad ini sudah sekian banyak skandal tanah melibatkan keluasan puluhan ribu ekar tanah dan hasil bumi negeri ini telah dipajak gadai dan terjual kepada orang luar.

Dulu dalam tahun 1964 hingga pertengahan 1975, rakyat Kelantan pernah tercabar maruahnya apabila Kerajaan Pas Kelantan telah menyerahkan hak milik tanah seluas lebih 300,000 ekar secara pajakan kepada sebuah syarikat dari Singapura.

Ramai pemimpin Pas negeri ketika itu yang kaya raya hasil dari tindakan tersebut, sementara rakyat bawahan pula hanya mampu menangis tak berlagu mengenangkan maruah diri dan negeri tumpah darah bagaikan telah menjadi milik orang lain.

Kini di abad millenium, peristiwa hampir serupa berulang kembali apabila Kerajaan Pas Kelantan dengan berselindung di sebalik projek Ladang Rakyat telah 'bermurah hati' memajakkan tanah seluas lebih 80,000 ekar di Hulu Kelantan kepada syarikat-syarikat luar.

Kononnya melalui projek Ladang Rakyat ini akan membantu membasmi masalah kemiskinan di mana lebih 4,000 orang penduduk di Hulu Kelantan bakal beroleh manfaatnya. Mereka dijanjikan dengan habuan hak milik tanah dan tapak rumah, namun sampai sekarang hanya debu-debu tanah sahaja yang kelihatan.

Sebaliknya yang berlaku tauke-tauke syarikat yang sudah sedia kaya semakin kaya raya, manakala ramai pemimpin Pas yang dulunya hanya memiliki rumah kayu kini bertukar menjadi rumah batu bertingkat, dari satu motokar kecil sekarang berbuah-buah kenderaan tersusun di depan rumah.

Pemimpin Pas yang dulunya setia pada isteri nan satu kini memasang cawangan baru, tidak cukup dua ditambah menjadi tiga. Puas melabuh sauh dalam negara ada yang merantau hingga ke Kemboja untuk mendapatkan selera baru yang berkenan di mata.

Di masa yang sama berbelas orang pemimpin Pas negeri menikmati laba keuntungan apabila bertuah memperoleh hak milik tanah di kawasan tersebut. Anak dan isteri pemimpin Pas tidak ketinggalan menikmatinya tapi rakyat yang menanti terus kempunan.

Rakyat terus termangu-mangu menantikan janji bulan jatuh ke riba dan terus hiba hatinya lebih-lebih lagi melihatkan tanah yang dulunya diteroka kini sesuka hati dirodok dan dinikmati hasil mahsulnya oleh tauke-tauke Cina yang begitu akrab dengan pemimpin Pas negeri.

Dalam tempoh beberapa ketika berlalu, juga bertempat di Hulu Kelantan lebih 10,000 ekar tanah yang kaya dengan kayu kayan balak bernilai tinggi kini pula telah menjadi milik pemimpin Cina DAP dari Perak untuk selama lebih setengah abad mendatang.

Sekali lagi rakyat termangu sendirian mengenangkan apa malangnya nasib mereka sering kali di anak tirikan oleh Kerajaan Pas Kelantan. Entah sampai bila mahu bersabar, lagi lama ditahan entah-entah lebih banyak tanah tergadai dan maruah negeri diinjak-injak oleh orang luar dan hasil buminya mengalir tanpa memberi manfaat pada rakyat pribumi sendiri.

Tidak cukup apa yang berlaku di Hulu Kelantan, di pusat bandar Kota Bharu yang khabarnya gah dilabelkan sebagai bandaraya Islam contoh oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, lebih 300 ekar tanah sudah sah dipajak hak miliknya kepada sebuah syarikat bukan bumiputera.

Katanya mahu mengindahkan tebing sungai Kelantan melalui projek yang dikenali sebagai Lembah Sireh. Maka para petani yang dulu mendapat rezeki lumayan hasil tanaman di tebing sungai itu dipindahkan dan hanya mendapat sedikit pampasan wang ringgit antara RM100 hingga RM900 sebulan selama 3 tahun.

Hasil projek itu maka berdiri megahlah sebuah pasaraya besar Tesco yang dianggap oleh MB Kelantan sebagai simbol kemajuan negeri ini, sedangkan projek utama yang sepatutnya diutamakan seperti sebuah masjid, dua buah jambatan, sebuah stadium dan gerai jualan yang mempunyai kepentingan umum hingga sekarang gagal dibina.

Mujur ada Kerajaan Pusat yang prihatin menyegerakan pembinaan salah satu jambatan tersebut iaitu Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra yang kini sudah boleh digunakan, jika ditunggu-tunggu syarikat kepercayaan Kerajaan Pas Kelantan membinanya, tujuh keturunan pun belum tentu siap sebatang tiang konkrit pun.

Namun di sebalik kegagalan syarikat swasta itu mematuhi perjanjian sumbangan projek sebagai galang ganti pemindahan hak milik tanah, Kerajaan Pas Kelantan terus berlembut tanpa sebarang tindakan tegas, sedangkan hampir sebahagian tanah ini telah pun dipajak pula kepada institusi kewangan bagi membolehkan syarikat tersebut beroleh pinjaman berpuluh juta ringgit.

Entah apa malang nasib rakyat Kelantan, dalam kesukaran mereka mendapatkan hak milik tanah walaupun wang deposit sudah dibayar, mudah pula bagi syarikat-syarikat luar dan pemimpin-pemimpin politik yang berkepentingan dengan Kerajaan Pas Kelantan memperoleh tanah yang berekar-ekar luasnya.

Sampai bila agaknya rakyat pribumi sanggup bersabar membiarkan tanah negeri dan hasil bumi terus mengalir ke tangan orang lain? PRU-13 yang sudah tidak berapa lama lagi adalah satu-satunya peluang besar untuk rakyat Kelantan mengubah senario yang berlaku. 

Jika tidak sekarang, sanggupkah kita menunggu 5 tahun lagi yang mungkin ketika itu sudah terlambat apabila hampir setiap inci tanah negeri ini dipajak kepada pihak lain, baharulah ketika itu terdetik kesedaran untuk kita bangkit memprotes demi mempertahankan hak anak negeri? Tepuk kepala tanya akal yang waras!!!