Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz Nik Mat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz Nik Mat. Papar semua catatan

Jumaat, 5 April 2013

23 Tahun Di Tadbir Pas, Kelantan Terjerumus Ke Lembah Maksiat


Setelah hampir 23 tahun mentadbir kerajaan negeri Kelantan, pimpinan Pas masih lagi dilihat mengunakan Islam sebagai modal untuk menagih simpati yang dijadikan sebagai umpan untuk terus menipu rakyat. Malah Mursyidul Am, Nik Aziz selaku menteri besar sering mengunakan alasan memartabatkan Islam bagi memastikan dirinya terus kekal di tampuk kuasa.

Malah slogan Kelantan merupakan “Serambi Mekah” kerana ditadbir oleh Pas, sebenarnya adalah satu pembohongan. Sedangkan pada hakikatnya, semakin banyak gejala-gejala maksiat yang melibatkan pelacuran, penyalahgunaan dadah dan perjudian telah berleluasa di negeri yang dipimpin Pas ini.

Sebagai contoh awal tahun lalu, masyarakat didedahkan dengan laporan mengenai kewujudan sebuah kedai makan yang dijadikan sebagai pusat karaoke berhampiran rumah Menteri Besar itu. Dengan jarak hanya 600 meter, pusat karaoke itu turut menampilkan wanita dengan tarian 'goyang kucing garong' atau 'tarian punggung'.

Seterusnya Majlis Perbandaran Kota Bharu yang diberi status Bandar Raya Islam terpaksa berdepan denga kerancakan maksiat yang tumbuh bagaikan cedawan di sekitar Kota Bahru terutama di sekitar jalan Jalan Hamzah dan Kampung Limau Manis.

Tidak cukup dengan itu negeri Cik Siti Wan Kembang itu juga pernah mencatatkan peningkatan yang mendadak bilangan kes rogol membabitkan remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun dalam musim perayaan ini terutamanya sejak dua minggu lalu. Lebih malang dalam kebanyakan kes, mangsa dirogol secara bergilir-gilir.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Polis Negeri Kelantan kes penyalahaan dadah turut menunjukkan peningkatan pada tahun lalu dan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes jenayah. Untuk tempoh Januari hingga Ogos 2012, jumlah tangkapan dadah keseluruhan ialah 9,881 orang berbanding tempoh sama pada tahun 2011 iaitu 7,908 orang, menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus.

Bagi kes melibatkan pengedar, sebanyak 417 orang ditahan berbanding 313 orang pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 33 peratus. Manakala dadah paling tersohor di Kelantan ialah dari jenis pil kuda nama saintifiknya Methamphetamine (dadah sintetik – campuran bahan kimia).

Maka tidak hairanlah statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada 2011, mendapati setiap 28.8 bagi setiap 100,000 penduduk Kelantan telah dijangkiti penyakit HIV dan AIDS. Malah negeri yang dipimpin oleh mereka yang dikatakan ulama itu turut menjadi negeri paling tinggi mencatat kadar jangkitan HIV untuk tempoh dua tahun, sejak 2008 hingga 2009.

Oleh yang demikian, rasionalnya Pas Kelantan dilihat GAGAL untuk membendung kegiatan tidak bermoral ini. Ia berpunca dari sikap angkuh pimpinan PAS Kelantan sehingga menyebabkan gelaja tidak bermoral itu semakin merosakkan rakyat.

Inilah yang dinamakan, "kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak". Mereka yang selama ini melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan BN/Umno kononnya tidak Islamik dan sebagai, terpaksa berdepan dengan musibah Allah SWT kerana sifat riak dan punca perpecahan.

Maka sudah tiba masanya untuk BN/UMNO mengambil alih tampuk pemerintahan negeri bagi membetulkan keadaan serta membawa kemajuan sosioekonomi khusus untuk rakyat Kelantan yang terlalu jauh ketinggalan di belakang.

Kesimpulannya, kerajaan Pas Kelantan langsung tidak memperdulikan rakyatnya walaupun parti itu telah menukarkan slogan mereka kepada ‘Negara Berkebajikan’. Kalau stadium yang dijanjikan 17 Tahun yang lalu baru hendak dibina, bagaimanakah nasibnya dengan janji-janji yang pernah ditaburkan? Jawapannya ‘Manifesto Bukan Janji’

Sekadar ingin bertanya, apakah jasa Pas untuk rakyat Kelantan?

Isnin, 25 Februari 2013

Harakah Di Haram Sebut Anwar Sebagai Bakal PM


Pada 10 Februari 2013 lepas, Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya tidak pernah membincangkan isu siapa yang layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri selain daripada Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kelantan itu juga menyifatkan spekulasi yang mengatakan Majlis Syura Ulama Pas telah menolak idea untuk menobatkan Ketua Umum PKR sebagai PM sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU-13 hanyalah dakwaan mengarut ciptaan UMNO.

Penegasan oleh Nik Aziz itu tentunya melegakan Anwar dan pemimpin PKR serta DAP yang lain, sedikit sebanyak ia juga dapat mengendurkan perasaan gundah di kalangan penyokong PR yang kembali diselubungi misteri sama ada Anwar masih kekal sebagai calon utama PR sebagai PM atau sebaliknya.

Namun perkembangan akhir-akhir ini kelihatannya seperti mengiakan spekulasi sebelum ini apabila suara-suara penolakan terhadap Anwar semakin hari semakin kuat kedengaran, dan ditimbulkan sendiri oleh beberapa pemimpin utama Pas yang tidak termasuk dalam golongan Anwarinas.

Manakala maklumat terbaru yang diperolehi menyatakan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang telah pun mengeluarkan arahan mengharamkan semua media milik Pas termasuklah akhbar Harakah dan portal online-nya daripada menyebut atau menulis ayat yang membawa maksud Anwar adalah bakal PM.

Arahan pengharaman tersebut khabarnya sudah sampai ke pengetahuan Anwar menyebabkan Ketua Umum PKR itu menghamburkan kemarahannya semasa mesyuarat parti beberapa hari lepas.

Bukan satu rahsia pun, sebahagian besar penulis dan barisan pentadbiran dalam Harakah diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, jadi tidaklah pelik bagaimana arahan sulit sedemikian mudah sampai ke pengetahuan Anwar.

Tambah membara kemarahan Anwar lebih-lebih lagi arahan tersebut seperti mengesahkan lagi ura-ura Pas tika ini yang sedang berusaha menjarakkan diri dari PKR, satu tindakan yang dikira oleh Anwar sebagai satu pengkhianatan terhadap dirinya dan PR.

Bagi khalayak yang rapat dengan Hadi, arahan sedemikian bukannya sesuatu yang menghairankan sementelah lagi sejak di zaman ABIM lagi Presiden Pas itu agak kurang berkenan dengan pembawaan Anwar yang mementingkan diri dan tidak serasi sebagai pejuang gerakan Islam.

Malah ketika bekas Presiden Pas, Allahyarham Ustaz Fadhil Noor memulakan usaha menjalinkan hubungan kerjasama dengan Anwar melalui penubuhan GERAK diikuti dengan Barisan Alternatif (BA) dulu pun, Hadi sudah beberapa kali menyuarakan keraguannya terhadap kejujuran Anwar.

Selepas itu Hadi terpaksa memendamkan keraguannya sebagai menghormati teguran Allahyarham, bagaimana pun setelah selesai PRU-12 2008, tanpa menoleh ke belakang segera diaturkan perjumpaan dengan UMNO dalam usahanya  untuk menjayakan kerjasama Kerajaan Perpaduan (UG).

Sekalipun usaha itu mendapat mandat penuh dari Majlis Syura Ulama Pas, akan tetapi beberapa ketika kemudiannya menemui jalan buntu berikutan campurtangan PKR dan DAP serta tekanan yang datangnya dari pemimpin-pemimpin pro Anwar dalam Pas.

Kini Hadi mengorak langkah lagi, sama ada ia memberi manfaat kepada Pas atau sebaliknya sukar ditentukan lebih-lebih lagi di saat sebahagian besar kepimpinan Pas ketika ini berkiblatkan ideologi Anwarinas.

Persoalannya sekarang, selama mana media-media Pas seperti Harakah dan HarakahDaily serta lain-lain medium maya yang pro Pas mampu mengikuti arahan pengharaman tersebut? Adakah Anwar dan lain-lain pemimpin PR termasuklah golongan Anwarinas dalam Pas akan berdiam diri?

Jawapan kepada persoalan itu bergantung kepada tindakbalas Anwar dan pengikutnya terutama sekali selepas Parlimen dibubarkan diikuti dengan proses pencalonan nama bagi PRU-13 selesai dilaksanakan.

Tunggu dan lihat, gerakan siapa yang lebih ke depan tika itu. Tapi tak mustahil, belum pun Parlimen dibubarkan, gabungan PR yang membabitkan kerjasama longgar antara PKR, DAP dan Pas pula yang dibubarkan terlebih dahulu.

Sabtu, 23 Februari 2013

Penyokong PAS Terima BR1M Lebih Hina Dari Lembu Dan Ayam – Nik Aziz


Mengucap panjang kita mendengar ucapan Nik Aziz setibanya di Kota Bharu setelah menunaikan umrah di Mekah. Ucapan Nik Aziz bukannya mengajak kepada perpaduan atau ke arah perdamaian tetapi berunsur celaan, sehingga tergamak menyamakan penerima BR1M dengan haiwan.

Kata Nik Aziz, di hadapan penyokong yang menyambutnya pulang di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, “Orang yang menawarkan wang kepada orang, sama seperti kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi. Kalau nak panggil lembu kita bubuh jerami. Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu mana datang, jadi kalau kita beri barang kepda orang, beri RM10, RM50 orang akan ambil.”

Hina sekali pandangan Tok Guru terhadap rakyat yang menerima BR1M sedangkan ramai dari penyokong-penyokong Tok Guru sendiri turut menerimanya dengan bangga. Tidak cukup dengan itu, mereka mendabik dada pula kononnya itu hak mereka, sebagai rakyat dan duit yang diterima itu adalah duit rakyat.

Entah dari mana datangnya alasan bahawa duit itu adalah hak mereka. Apakah semua kerajaan di dunia ini memberi BR1M? Tentulah tidak, kerana bukan tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk  berbuat demikian.

Sudah menjadi hukum alam, dan sudah termaktub dalam ajaran Islam, bahawa manusia perlu bekerja untuk mendapatkan wang. Tiada siapa yang layak menerima apa-apa tanpa berusaha melainkan mereka sememangnya tidak punya kemampuan untuk berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu seperti kesihatan, kecacatan dan sebagainya.

Tugas kerajaan adalah untuk mentadbir, menjana pendapatan, membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, menyediakan kemudahan awam, memastikan rakyat mendapat pendidikan, memelihara kedaulatan negara serta memastikan keamanan.

Menyediakan wang tunai ‘percuma’ kepada rakyat bukanlah tugas kerajaan.

Tugas setiap seorang dari rakyat pula adalah untuk bekerja bagi menyara diri dan keluarga serta membayar cukai kepada kerajaan supaya kerajaan dapat terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.

Sudah menjadi lumrah dunia, ada rakyat yang berpelajaran tinggi dan ada yang tidak. Ada yang miskin dan ada yang kaya. Ada yang dulu susah, tetapi sekarang senang setelah kerajaan membawa masuk pelaburan dan mereka dapat bekerja di kilang-kilang. Ada yang dulu hidup atas peruntukan rakyat termiskin, kini tinggal di rumah dua teres dua tingkat setelah anak-anak mereka menjadi orang berjaya berkat pembelajaran percuma di peringkat rendah dan menengah dan kemudiannya mendapat biasiswa pula untuk ke universiti. Ada juga yang dulu senang tetapi sekarang susah dan menganggur akibat membazirkan masa dan wang ibu bapa ketika di universiti kerana sibuk berdemonstrasi.

Oleh itu, ada rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan dan ramai lagi yang tidak.

Kerana itu, kerajaan BN yang prihatin, telah mengambil kira keadaan hidup rakyat yang berbagai ini dan memutuskan untuk membantu mereka yang memerlukan, melalui BR1M. Kerajaan boleh saja menggunakan peruntukan BR1M sejumlah RM3 billion itu untuk tujuan lain, tetapi dikhuatiri ia tidak akan dapat dirasai secara langsung oleh golongan yang benar-benar memerlukan. Hanya dengan pemberian tunai sahaja yang dapat memastikan ia mencapai objektif secara tepat kerana dengan wang tunai, rakyat boleh memutuskan sendiri cara untuk membelanjakannya.

Sudah tentu sekali BR1M tidak akan dapat diberikan jika kerajaan tidak mampu. Jika kerajaan sekadar bergantung kepada cukai yang dikutip dari segolongan rakyat yang layak membayar cukai sahaja, tentulah kerajaan tidak akan mampu memberi BR1M kepada golongan yang tidak layak membayar cukai itu.

Justeru, kemampuan kerajaan memberi BR1M kepada rakyat dengan sendirinya membuktikan  kecekapan pentadbiran Barisan Nasional dalam menjana pendapatan serta mengurus kewangan negara.

Malangnya, Tok Guru melihat BR1M sebagai umpan atau rasuah untuk memancing undi serta menghina pula rakyat yang menerimanya. Lebih malang lagi kerana antara yang menerima BR1M itu adalah penyokong-penyokong Tok Guru sendiri.

Kerana itu, kita ingin bertanya Tok Guru, jika penerima BR1M adalah umpama lembu dan ayam, maka penyokong Tok Guru yang saban hari mengutuk BN tetapi tetap menadah tangan melahap BR1M, umpama apa pula?

Fikirkanlah sendiri, binatang apa yang lebih hina dari lembu dan ayam…

Selasa, 19 Februari 2013

Hadi, Nik Aziz Tak Guna! - Anwar Ibrahim


Anwar Ibrahim akhirnya mengakui bahawa beliau tidak langsung ada rasa hormat terhadap pemimpin-pemimpin PAS. "Hadi Awang tidak tahu apa-apa!, Nik Aziz hanya ikut apa yang dilakukan PAS," adalah antara perkara yang dikatakan oleh Anwar dalam ucapan beliau kepada 1,500 penyokong PKR ketika menyambut perayaan Tahun Baru Cina di Putera Ballroom Kota Kinabalu, Sabah pada 10 Februari lalu.

Isu yang disentuh diperkatakan oleh Anwar adalah tentang isu Kalimah Allah. Video tersebut kini sudah mula tersebar di blog-blog, Facebook dan juga YouTube.

PKR kini berada dalam keadaan terdesak untuk meraih undi dari rakyat Sabah. Sehingga kini, PKR tidak yakin bahawa mereka akan menang lebih daripada 3 kerusi di Sabah, walaupun mereka percaya bahawa mereka akan meraih 13 daripada 25 kerusi Parlimen. Dengan hanya RM35 juta yang boleh dibelanjakan untuk meraih undi di 7 kerusi seperti Penampang, Kota Belud, Tuaran, Kota Marudu, Putatan, Libaran dan kemungkinan besar di Tawau, Anwar perlu bekerja keras untuk PKR.

Memandangkan majoriti penduduk Sabah adalah penganut agama Kristian, isu kalimah Allah dikatakan sebagai isu yang boleh membantu Anwar untuk menunjukkan bahawa beliau bersifat terbuka terhadap agama Kristian. Namun, ini boleh mendatangkan masalah kepada Anwar apabila PAS sering mengkritik perbuatan beliau.

Jadi, Anwar sedar bahawa beliau perlu menolak PAS ke belakang, memastikan bahawa penduduk Sabah percaya bahawa PAS tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Pakatan Rakyat. Anwar perlu meyakinkan penduduk Sabah bahawa Nik Aziz dan Hadi Awang hanyalah simbol semata-mata dan mereka tidak tahu apa-apa tentang kalimah Allah.

Kami setuju dengan Anwar bahawa Hadi dan Nik Aziz tidak tahu akan Islam dan hampir segalanya. Bagaimanapun, menyatakan bahawa beliau adalah lebih 'Islam' berbanding kedua-dua pemimpin PAS tersebut adalah 'lawak'.

Jika Nik Aziz dan Hadi Awang benar-benar tahu tentang Islam, mereka tidak akan bermain politik - memecah-belah umat Islam dan membantu musuh-musuh Islam. dan jika Anwar adalah lebih baik berbanding mereka, Anwar tidak akan mengadakan hubungan sulit sesuka hati beliau. Dan yang penting, Anwar tidak akan mengakui bahawa Wolfowitz, salah seorang individu yang memecah-belahkan umat Islam, sebagai sahabat baik beliau.

Persoalannya di sini, apakah agaknya reaksi Hadi Awang dan Nik Aziz terhadap perkara ini? Mungkin mereka akan menidakkan video ini dan berkata bahawa video ini telah di-edit.
Selain itu, terdapat juga kemungkinan di mana penyokong-penyokong akan mempertahankan Anwar dan menuduh UMNO.

Dari situ, Anwar percaya bahawa beliau boleh berkata apa sahaja terhadap pemimpin-pemimpin PAS, kerana beliau percaya bahawa,"Pemimpin-pemimpin PAS tidak guna, dan jika anda berada dalam Pakatan Rakyat, anda boleh katakan apa sahaja tentang mereka, termasuklah yang yang berkaitan dengan Islam, mereka tidak kisah. Pemimpin-pemimpin PAS tidak kisah jika mereka dilayan seperti sampah, mereka tidak akan melawan, kerana mereka tidak tahu apa-apa dan tidak ada nilai!"

Jika Anwar salah, mengapa kita masih tidak menerima sebarang respon dari Tok Guru dan Tuan Guru?

Isnin, 11 Februari 2013

Terbukti Pas Menzalimi Nasharudin


Jangkakan ramai ada sesuatu yang tidak kena di sebalik pemecatan Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura Pas ternyata benar apabila surat pemberitahuan hanya diposkan kepada bekas Timbalan Presiden PAS itu pada 30 Januari 2013 dan diterimanya pada 6 Februari 2013.

Pas mengumumkan pemecatan itu pada 26 Januari 2013 melalui kenyataan media oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Nik Zawawi Nik Salleh yang menyatakan Ustaz Nasharudin telah dipecat sebagai ahli Majlis Syura semasa badan tertinggi Pas itu bermesyuarat pada 13 Januari 2013.

Jika kenyataan Nik Zawawi betul bermakna perjalanan parti itu ternyata agak bercelaru dan tidak terurus kerana mengambil masa yang agak lama untuk menyampaikan keputusan parti kepada ahlinya.

Entah apa jenis kelayakan yang diambil kira sebelum Nik Zawawi dilantik sebagai Setiausaha, langsung tidak efisien kerja buatnya. Bukannya beribu keping surat yang perlu dihantar, hanya sekeping sahaja itu pun berminggu-minggu mengambil masa.

Sehari dua sebelum pemecatan itu diumumkan, kelibat Ustaz Nasharudin dilihat menyertai rombongan bersama Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di Gaza, Palestin telah menimbulkan kecurigaan dan rasa tidak senang di kalangan pemimpin Pas.

Dilihat kronologi yang berlaku dalam tempoh itu, memang jelas kelihatan ada sesuatu yang tidak kena. Bak kata pepatah ada udang di sebalik batu.
Pemecatan itu dilakukan memang disebabkan adanya agenda tersembunyi dan alasan kononnya Ustaz Nasharudin 'kerap tidak datang mesyuarat' hanyalah bertujuan untuk mengabui mata khalayak sahaja.

Tambahan pula Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat selaku Pengerusi Majlis Syura Ulama Pas yang sering kali ponteng mesyuarat dan kalau datang pun kerap pulang awal, tidak pula dipecat walau sepatutnya sudah lama diambil tindakan berikutan ketidakberkesanan pimpinannya.

Tak mustahil hakikat sebenarnya pemecatan itu dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura Pas pada 13 Januari 2013, sebaliknya ia hanya diputuskan melalui perbincangan tidak rasmi antara pimpinan Pas selepas gambar Ustaz Nasharudin dan PM di Palestin disiarkan media perdana.

Walau apa senario sekalipun, tatacara pemecatan keanggotaan Ustaz Nasharudin dalam Majlis Syura Ulama Pas itu sendiri tidak menepati prosedurnya apabila Ahli Parlimen Pas Bachok itu tidak dipanggil untuk membela diri atau setidak-tidaknya diberi surat tunjuk sebab.

Jelas sekali ia satu bentuk kezaliman dan amat tidak Islamik, amat bertentangan sekali dengan seruan keadilan yang sering diwar-warkan parti itu di pentas-pentas ceramah politik. 

Lebih sedekad lalu apabila Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO disebabkan masalah moral, ramai pemimpin dan penyokong Pas tampil mempersoalkan pemecatan tersebut yang dikatakan zalim dan tidak Islamik.

Walhal tindakan pemecatan itu tidak pun dilakukan secara semberono tanpa usul periksa sebaliknya Anwar telah diberi peluang untuk membela diri dalam Majlis Tertinggi UMNO malah tidak dihalang melantik pasukan guaman sendiri bagi menghadapi perbicaraan di Mahkamah.

Sekarang terbukti Pas adalah sebenar-benarnya parti yang zalim dan tidak Islamik serta telah bertindak secara kuku besi. Memang jelas Pas telah menzalimi Ustaz Nasharudin dan ianya berlaku hanya selang setahun selepas bekas Naib Presiden Pas, Dr Hasan Ali dipecat tanpa bicara dari parti itu.

Belum memerintah negara sudah terbiasa dengan kelakuan buruk dan asyik menzalimi orang lain, andai diberi peluang memerintah negara tidak sukar dibayangkan kezaliman yang bakal Pas laksanakan terhadap pihak lain yang tidak sealiran dengannya.

Ahad, 10 Februari 2013

Jantina Psy Gangnam Tidak Diketahui, Nik Aziz Patut Ludah Muka Sendiri


Memang memalukan apabila Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat gagal mengenal pasti jantina penyanyi popular dari Korea, Psy yang tika ini popular dengan lagu tarian kuda, Oppa Gangnam Style.

Nik Aziz dilaporkan telah dengan selambanya menegaskan artis Korea yang bakal membuat persembahan di Pulau Pinang pada 11 Februari 2013 itu nanti perlu menutup auratnya kerana menyangkakan Psy adalah seorang perempuan.

Bila kebebalannya ditegur oleh wartawan, cepat-cepat pula Nik Aziz cuba pusing cerita bertanyakan samada lirik lagu Oppa Gangnam Style itu memberi kesan positif atau sebaliknya kepada golongan muda.

pItu tabie Nik Aziz yang sudah terkenal dengan perangai semula jadinya yang jarang sangat mahu mengaku kesalahan dan kelemahan diri sendiri, sebaliknya lebih kerap bersilat kata semata-mata untuk menutup kelemahannya.

Tinggi benar egonya, mungkin mencecah langit agaknya. Dah buat silap pun masih cuba berdolak-dalik. Tak sedar diri betul.

Punyalah riuh rendah seluruh negara bercakap mengenai fenomena Oppa Gangnam Style, rupanya ada lagi yang duduk di bawah tempurung terpinggir dari dunia nyata tapi masih bernafsu besar untuk turut serta bercakap mengenainya.

Tak pasal-pasal komennya itu menjadi bahan gelak tawa orang ramai di masa yang sama menyebabkan aib kepada rakyat Kelantan kerana memiliki seorang Menteri Besar yang gemar bercakap semberono dan tanpa usul periksa.

Umum tahu fokus Pas tika ini ialah mengaitkan isu kemaksiatan dengan program hiburan sempena Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru yang dianjurkan oleh BN itu, dengan demikian Pas berharap akan mendapat kredit dari kalangan pengundi beragama Islam.

Hakikat yang berlaku tidak pun mengikut kehendak Pas, sebaliknya malu yang dapat gara-gara kebebalan Mursyidul Amnya sendiri. Nampak sangat keprihatinan yang cuba Pas tonjolkan itu sengaja dibuat-buat untuk tujuan politik kepartian sahaja.

Lagipun jika Pas serius ingin bercakap soal kemaksiatan dan lagho yang berlaku dalam program bercorak hiburan, sepatutnya Pas telah ke depan membantah tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang menganjurkan konsert hiburan larut malam pada November 2012 yang lalu.

Dalam konsert di Batu Feringgi Pulau Pinang itu, muda mudi keturunan Cina, India serta Melayu bukan setakat bercampur gaul jantan betina malah ramai yang tunggang terbalik dek penangan arak Carlsberg.

Sehingga sekarang Pas senyap sunyi dari mengulas kemaksiatan yang jelas berlaku di konsert hiburan anjuran Kerajaan DAP Pulau Pinang, barangkali Pas sengaja memejamkan mata kerana terlalu takut untuk menegur khalifah Lim Guan Eng yang menjadi pujaan ramai pemimpin Pas agaknya.

Hatta persembahan hiburan separuh bogel anjuran PKR di Kulim, Kedah pun tidak kedengaran sebarang teguran dari Pas. Di masa yang sama, Nik Aziz pula hingga kini ibarat syaitan bisu tak terfikir untuk turut sama membantahnya.

Apa pun, malu besar yang ditanggung oleh Pas disebabkan kebebalan Nik Aziz mengulas isu Psy Gangnam Style ini wajarlah dijadikan iktibar sepanjang zaman. 

Di samping itu, alang-alang sudah terserlah kebebalannya, eloklah Nik Aziz meludah ke muka sendiri, dengan demikian bila tiba-tiba sahaja mulutnya gatal untuk komen itu ini, akan terdetik kesedarannya untuk mendalami isu sebelum membuka mulut berusnya itu.

Sumpah Baiah Punca Nasharudin Tidak Keluar Pas


Semenjak isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang melibatkan kerjasama politik antara UMNO dengan Pas pasca PRU 12 2008 dulu menemui jalan buntu, sejak itulah bekas Timbalan presiden Pas, Ustaz Nasharudin Mat Isa telah dikambing hitamkan oleh rakan-rakan kepimpinan parti itu.

Ahli Parlimen Pas Bachok, Kelantan itu tidak hanya dicemuh tetapi turut dituduh sebagai agen UMNO, malah Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat juga sudah beberapa kali menghambur kata-kata kesat menghambat Nasharudin keluar dari parti.

Walhal disebalik timbulnya ura-ura mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO datangnya dari kebenaran Majlis Syura Ulama Pas yang dipengerusikan sendiri oleh Nik Aziz pada April 2008, yang mana bekas Timbalan Presiden Pas itu telah diberi mandat sebagai perantara ke arah menjalin hubungan dengan UMNO. 

Tapi disebabkan ugutan dan gertakan dari DAP serta PKR ditambah pula dengan lamunan indah yang diwar-warkan oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim akhirnya Pas menarik handbrake lantas tak pasal-pasal Ustaz Nasharudin pula yang menerima padahnya.

Bila mana timbulnya polemik isu hudud dan kalimah Allah s.w.t ditambah lagi dengan ketegasan Ustaz Nasharudin mempertahankan kebenaran, akhirnya sekali lagi Ustaz Nasharudin menjadi bahan momokan dipersenda dan diperlekehkan oleh rakan seperjuangan.

Malah selepas Ustaz Nasharudin dipecat keanggotaannya dalam Majlis Syura, tanpa bertangguh Nik Aziz membuat kenyataan bahawa keahlian bekas Timbalan Presiden Pas itu secara automatiknya turut gugur sebagai ahli parti.

Namun demikian, kenyataan gelojoh Mursyidul Am Pas itu bagaimanapun dinafikan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang telah menjelaskan keahlian Ustaz Nasharudin dalam Pas masih kekal dan tidak terjejas dengan tindakan pemecatan sebagai ahli Majlis Syura Ulama Pas.

Disebalik itu semua, bekas Timbalan Presiden Pas itu terus kekal dalam Pas. Tindakannya itu tidak sedikit menyebabkan khalayak umum tertanya-tanya sendirian, kenapa dan mengapa Ustaz Nasharudin terus bertahan dalam Pas sekalipun maruahnya dihina dan diherdik sedemikian rupa?

Jawapan kepada persoalan itu, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana wujudnya sumpah baiah talak tiga yang mana setiap wakil rakyat Pas wajib mematuhinya. Jika gagal berbuat demikian misalnya dengan bertindak keluar dari Pas, bermakna ikatan suami isteri terputus dunia dan akhirat.

Polisi zalim sebegini yang meletakkan hubungan suami isteri bagi menjamin kesetiaan wakil rakyat Pas kepada parti bukanlah perkara baru dan ia sememangnya wujud serta diakui sendiri oleh pemimpin Pas sendiri.

Kesucian hubungan suami isteri yang sepatutnya disanjung tinggi bukannya satu persoalan besar pada pandangan Pas hatta sekalipun perceraian adalah benda halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t, namun bagi Pas selagi ia bermanfaat untuk politik kepartian duniawi selagi itulah Pas sanggup memperalatkannya.

Justeru itu, selepas menelaah senario ini terjawablah persoalan kenapa & mengapa Ustaz Nasharudin terus kekal bersama Pas dan tidak bertindak keluar dari parti walaupun parti itu secara keseluruhannya telah jauh dari landasan asal perjuangannya.

Jumaat, 8 Februari 2013

Kalimah Allah: Pas Gagal Mengubah Pendirian Rasmi PR


Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan media pada 17 Januari 2013 berpendapat isu kalimah Allah s.w.t telah pun selesai berikutan keputusan Majlis Syura Ulama Pas empat hari sebelumnya menolak penggunaan kalimah suci itu dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Jika Menteri Besar Kelantan itu terus beranggapan sedemikian, namun realiti semasa tidak pun memihak kepada kehendaknya itu sementelah lagi  Pakatan Rakyat (PR) tetap utuh dengan pendirian rasminya yang dicapai pada 8 Januari 2013.

Masih segar dalam ingatan ramai, pada tarikh tersebut PR yang turut dianggotai Pas selepas selesai mesyuarat Majlis Pimpinan gabungan itu telah sebulat suara bersetuju membenarkan kalimah suci Allah s.w.t diguna pakai dalam kitab Bible.

Malah sehari selepas PR memuktamadkan pendirian mereka, Nik Aziz sendiri menyatakan sokongan terbuka sambil menyifatkan keputusan PR itu akan membuka ruang dakwah Islam kepada penganut agama lain.

Paling penting, persetujuan PR itu juga adalah penegasan ulangan bagi keputusan bersama yang pernah mereka capai pada tahun 2010 yang bukan sahaja disokong oleh Pas, tetapi juga turut dukungan kuat daripada Nik Aziz.

Walaupun sekarang Pas cuba menonjolkan pendirian baru parti itu dengan bersandarkan keputusan rasmi dari Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari 2013, hakikatnya ia tidak pun mengubah pendirian rasmi PR.

Ini bermakna gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan mendesak Pas mematuhi persetujuan bersama sebelum ini mempunyai merit yang tidak boleh dipertikaikan kerana selagi Pas kekal bersama PR, selagi itulah Pas perlu patuh pada keputusan yang telah menjadi dasar rasmi PR.

"PR adalah sebuah organisasi yang besar (dianggotai DAP dan PKR) manakala Majlis Syura hanya terdiri daripada Pas. Saya kesal dengan kenyataan itu. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya," demikian kata pemimpin veteran DAP itu sekaligus menafikan kenyataan awal oleh Mursyidul Am Pas.

Apa yang diperkatakan oleh Karpal itu memang benar. Soal Majlis Syura Ulama Pas telah membuat pendirian berbeza dengan PR tidak pun menjejaskan dasar PR yang secara rasminya telah menyokong penggunaan kalimah suci Allah s.w.t oleh orang bukan Islam untuk dimasukkan dalam kitab Bible.

Disebabkan berpegang teguh pada asas itulah hingga saat ini PR kekal dengan pendirian asalnya, tidak tergugat dengan tindakan drastik Pas yang telah mengubah pendiriannya. Sekaligus membuktikan keputusan Majlis Syura Ulama Pas tidak memberi sebarang impak dalam menentukan hala tuju gabungan tersebut.

Justeru itu, Nik Aziz mahupun Pas sendiri tidak layak untuk mendabik dada mengumumkan isu kalimah Allah s.w.t telah selesai sepenuhnya. Dan dalam tempoh singkat menjelang PRU 13 ini, isu kesucian kalimah Allah s.w.t yang cuba dinodai PR akan terus menghantui Pas.

Nik Aziz, Karpal Berlakon Tutup Kemelut Dalaman


Ramai tertanya-tanya apa muslihat Mursyidul Am Pas Nik Aziz Nik Mat sanggup menyambut harijadinya ke 82 bersama Karpal Singh.

Agak ganjil dan janggal melihat seorang yang digelar ulama dilihat menyambut satu perayaan peribadi yang bersifat kebaratan malah mempunyai unsur-unsur kekufuran dan bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW.

Bukankah pada usia yang sudah dikatakan lanjut seorang agamawan seperti Nik Aziz sepatutnya menunjukkan tauladan serta akhlak yang berasaskan kepada moral Islam terutamanya kepada golongan muda dan belia?

Sebaliknya Menteri Besar Kelantan itu memilih untuk memotong kek ulangtahun kelahirannya dengan seorang yang bukan Islam.

Lebih molek jika Nik Aziz menganjurkan majlis keagamaan seperti doa selamat kesyukuran atau berzanji dan  atas kurnia ALLAH SWT yang telah mengurniakannya umur yang oanjang dan tubuh badan yang sihat.

Mungkin pada pandangan Nik Aziz menyambut harijadi dengan seorang kafir seperti Karpal lebih afdal daripada menghidupkan Sunnah Nabi SAW yang membawa agama Islam.

Mengapa Nik Aziz sanggup membelakangkan tradisi Islam dalam menyambut harijadinya yang merupakan satu perkara yang sepatutnya enteng dan tidak mempunyai nilai kerohanian bagi seorang yang digelar Tok Guru oleh pengikut-pengikutnya?

Nik Aziz sebenarnya berselindung di sebalik majlis tersebut untuk bertemu Pengerusi Kebangsaan DAP itu atas alasan mengeratkan kerjasama politik di antara Pas dan parti cauvinis Cina itu.

Di permukaan penyokong-penyokong kedua-dua parti seolah-olah melihat wujud perpaduan erta serta kefahaman yang mendalam antara Pas dan DAP.

Bagaimanapun jika diteliti dengan lebih dekat apa yang berlaku adalah hanya wayang kulit yyang dimainkan oleh Nik Aziz dan Karpal.

Semua yang ada mata dan telinga serta fikiran yang waras sedar bahawa terdapat perbezaan yang kronik dan serius antara mereka.

Perselisihan faham antara Pas dan DAP melebar bukan sahaja setakat perbezaan ideologi tetapi landasan perjuangan yang amat berbeza.

Tidak ada persamaan antara kedua-dua buah parti kecuali permusuhan dan kebencian mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional tetapi selain daripada itu, perkahwinan politik mereka adalah seperti gandingan ayam dan itik.

Jadi agak hebat juga lakonan dua orang yang umur gabungan mereka berjumlah lebih 150 tahun atau satu setengah abad!

Kerjasama Pas dan DAP pada hakikatnya adalah seperti retak menunggu belah kerana bila-bila masa sahaja lagi apabila Pilihan Raya Umum ke 13 diumumkan Perdana Menteri, imej hipokrit dan bermuka Pas dan DAP sesama sendiri akan terdedah akhirnya kepada rakyat.

Isu yang bakal meranapkan ikatan Pas dan DAP malah kerjasama dengan PKR juga adalah kalimah ALLAH yang sehingga masih tidak selesai dan tidak akan selesai kerana masing-masing memperjuangkan ideologi politik yang berbeza sekali.

Pas dengan 'Negara Islam' yang sudah di turun taraf kepada 'Negara Kebajikan' sementara DAP pula dengan agenda anti-Islam dan anti-Melayunya manakala PKR pula hentam apa sahaja termasuk liberalisme, pluralisme dan LBGT.

Jadi Pakatan Rakyat yang digembar gemburkan  sebagai pengganti BN sebagai kerajaan persekutuan pada realitinya hanyalah kumpulan parti carca marba yang tidak ada halatuju dan destinasi yang ingin disasarkan.

Dalam bahasa Inggeris kerjasama yang tidak secocok dan tidak sepadan ini dipanggil 'marriage of convenience'.

Ini kerana mereka hanya sanggup tidur sebantal walaupun mimpi lain-lain disebabkan berkongsi motif yang sama iaitu untuk berebut kuasa, jawatan dan pangkat.

Selalunya mana-mana kerjasama politik yang berteraskan kepada perkahwinan jenis ini tidak akan kekal lama.

Mereka diibaratkan sekumpulan perompak atau pencuri yang bergabung tenaga dan kemahiran untuk merampas harta yang banyak.

Sebaik sahaja misi mereka berjaya, maka mulalah masing-masing berkomplot untuk membunuh ahli-ahli geng yang sama-sama berusaha untuk melakukan rompakan itu.

Akhirnya ahli-ahli kumpulan perompak itu akan berbunuhan sesama sendiri dan hasil rompakan mereka pun dinikmati pihak lain.

Apa pun lakonan yang dipamerkan oleh Nik Aziz dan Karpal tempoh hari langsung tidak meyakinkan orang yang berakal.

Hanya penyokong yang taksiub dan buta hati sahaja yang tersenyum dan riang gembira betapa eratnya kedua pemimpin itu.

Tanpa diketahui Nik Aziz dan Karpal sudahpun mengeluarkan pisau yang terselit di belakang untuk menikam sekutu sendiri.

Ahad, 3 Februari 2013

Hadi Perlu Dipecat Dari Majlis Syura


Langkah drastik Pas memecat keanggotaan bekas Timbalan Presidennya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura Ulama parti itu terus menarik perhatian umum sehingga memaksa ramai pimpinan Pas terpaksa tampil dengan pelbagai kenyataan untuk menjustifikasikan logik tindakan tersebut.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya dalam usaha mengurangkan kegusaran ahli dan penyokong bawahan, cuba memberi gambaran isu pemecatan itu hanya proses biasa seumpama hubungan suami isteri yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai.

Manakala Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pula menganggap Ustaz Nasharudin kini hanyalah ahli biasa yang tidak berpengaruh dan jika bekas Timbalan Presiden PAS itu menyertai UMNO sekalipun tiada kesannya pada Pas.

Ulasan sedemikian yang buruk nadanya bukan satu perkara baru bagi Hadi, sudah menjadi tabiat semulajadinya memperlekehkan maruah orang lain. Sebelum ini Hadi pernah menghina rakyat Sarawak sebagai golongan yang tiada pendidikan dan masih memakai cawat. Yang terbaru dihinanya guru sekolah merendah kononnya hanya layak mengajar ABC sahaja.

Hakikatnya kenyataan dari kedua-dua pimpinan tertinggi Pas itu mahupun pelbagai lagi kenyataan dari pimpinan Pas yang lain, sebetulnya tersirat kegusaran yang mendalam, kerana itu seboleh mungkin mereka cuba membina gambaran pada ahli dan penyokong Pas supaya memandang remeh saja isu pemecatan Ustaz Nasharudin.

Mereka seperti baru tersedar wujudnya impak buruk dari kes pemecatan itu yang mampu menjejaskan kelancaran jentera parti serta kesan sampingan yang akan menggugat kepercayaan ahli dan penyokong terhadap Pas itu sendiri.

Namun segalanya sudah terlambat, Pas tidak mengambil iktibar peristiwa lepas yang melibatkan pemecatan bekas Naib presiden Pas, Dr Hasan Ali dan bila kini kesilapan sama diulangi ke atas Ustaz Nasharudin, ia seumpama Pas sengaja menempah keranda sendiri. 

Sekarang kalangan ahli dan penyokong Pas tidak hanya mempertikaikan kenapa Ustaz Nasharudin dipecat tanpa diberi peluang pembelaan diri tapi mereka juga teramat ingin tahu mengapa Mursyidul Am Pas yang terkenal paling kerap gagal menghadiri mesyuarat badan tertinggi Pas itu terkecuali dari tindakan yang sama.

Malah bukan satu rahsia pun, ramai ahli Pas memperkatakan kelesuan Majlis Syura Ulama Pas paling ketara kelihatan sejak ia dipengerusikan oleh Nik Aziz. Sepanjang penggal yang lalu pula, langsung tiada mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu yang bersangkut paut dengan dasar parti termasuklah membabitkan isu negara Islam dan hukum hudud yang menjadi pertikaian DAP serta PKR.

Dalam masa yang sama sudah banyak kedengaran rungutan mempersoalkan kenapa seorang lagi ahli Majlis Syura iaitu bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi yang juga jarang hadir ke mesyuarat masih terus diberi peluang menganggotai badan tersebut.

Paling utama ahli bawahan serta penyokong parti tertanya-tanya mengapakah Presiden Pas, Abdul Hadi Awang terus menerus bebas dari tindakan disiplin?  

Umum mengetahui Hadi telah secara terbuka mendahului keputusan Majlis Syura Ulama apabila dalam mesyurat tertinggi pemimpin PR yang disertainya, beliau telah bersetuju membenarkan kalimah Allah s.w.t digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Tindakan Hadi yang membuat keputusan songsang dan bertentangan dengan keputusan rasmi Majlis Syura Ulama Pas bukan sahaja melanggar kebiasaan malah ia meninggalkan tidak sedikit impak yang memalukan sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan Pas.

Dilihat dari segi kesalahan yang telah dilakukan oleh Hadi, sewajarnya beliau sudah layak untuk dipecat dari Majlis Syura Ulama Pas. Demikian halnya tindakan yang sama juga sepatutnya sudah diambil terhadap Nik Aziz dan Mat Iraqi. Namun kenapa ketiga-tiga mereka terselamat?

Walau apapun persoalan yang khalayak umum lontarkan serta apa sahaja yang ahli Pas pertikaikan, satu hakikat yang pasti Pas kini sudah cukup sinonim dengan corak kepimpinan diktator dan ruang kebebasan juga semakin sempit. Itu hakikatnya.

Nashruddin Bukan Lagi Ahli Pas : Majlis Syura Wajar DiBubar


Majlis Syura Ulama Pas pernah diumpamakan sebagai Al-Quran buruk oleh Datuk Mohamed Daud Iraqi, salah seorang ahli Majlis tersebut sendiri. Sebuah Al-Quran buruk yang sudah kabur tulisannya tetap tidak mungkin dibuang, dan tetap akan diletakkan di tempat yang tinggi.

Namun, di mata DAP dan PKR, Majlis Syura Ulama Pas adalah umpama kain buruk sahaja yang digunakan untuk mengelap segala najis dan lumpur yang disepahkan oleh pemimpin Pas. Akibatnya, najis dan lumpur tidak lagi kelihatan tetapi kumannya masih terus bersarang dan merebak ke tempat lain yang dilap dengan kain buruk tersebut.

Pas juga nampaknya menerima sahaja kedudukan Majlis Syuranya sebagai sesuatu yang hidup tidak membawa makna, mati tidak boleh pula kerana ia menjadi tonggak kepada nama ‘Islam’ yang ada pada parti Pas. Tanpa Majlis Syura, Islam Pas hanya tinggal pada jubah dan serban semata-mata.

Bukan sahaja DAP dan PKR sahaja yang ‘mengabaikan’ Majlis Syura tetapi, Pengerusinya sendiri, iaitu Nik Aziz turut melihat Majlis Syura sebagai tidak lebih dari simbol semata-mata. Kerana itu, Nik Aziz dilaporkan membuat kenyataan di dalam akhbar The Star yang berkata bahawa pemecatan Nashruddin dari Majlis Syura bermakna pemecatan dari Pas. Atau dalam kata lain, Majlis Syura adalah kambing hitam penyamaran bagi mengelak penyokong-penyokong Pas mencurigai tindakan pemecatan tersebut.

Hakikatnya, Nik Aziz telah dengan terus terang mengabaikan Majlis Syura dan membuat keputusan berdasarkan emosinya sendiri atas kapasiti Pengerusi Majlis dan juga Mursyidul Am parti. Menurut Nik Aziz, talak telah pun jatuh oleh itu, Nasha dan Pas tidak lagi boleh dianggap ada hubungan.

Kita amat memahami sifat Nik Aziz yang merupakan seorang pendendam.

Dan lebih malang bagi Nasharuddin ialah apabila Hadi Awang pula seorang yang suka menghina orang lain. Memberi respon dalam isu ini, Hadi Awang telah menyifatkan Nasharuddin sebagai ahli biasa sahaja dan tidak ada signifikannya jika beliau mengiringi Perdana Menteri ke Gaza. Oleh itu, pemecatan Nashruddin dikatakan kerana beliau jarang menghadiri Majlis Syura dan bukan kerana bersama dengan PM di Gaza.

Namun, jika itulah alasannya, maka ramai lagi yang jarang menghadiri Majlis Syura malah hampir tidak pernah iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi dan Nik Aziz sendiri. Kenapa Nik Aziz tak pecat diri sendiri bagi menunjukkan kepimpinan Islam tulen yang adil lagi saksama?

Bukan itu sahaja, malah pemecatan Nasharuddin itu sendiri tidak menepati cara Islam. Pertuduhan telah dibuat tanpa kehadirannya, dan keputusan juga dibuat tanpa pengetahuannya serta hukuman pula dibuat tanpa memberinya peluang membela diri.

Sedangkan pembangkang merupakan pihak yang kuat menghentam Akta ISA atas alasan tidak memberi peluang tertuduh membela diri yang mana membelakangi cara Islam.

Justeru, apakah hukumnya bagi Majlis Syura untuk membelakangkan soal menghukum cara Islam? Siapakah pula yang berhak menghukum Majlis Syura?

Apapun, yang jelas di sini ialah kedudukan Majlis Syura yang tidak ada makna. Majlis Syura boleh membuat keputusan, tetapi ia tetap merupakan keputusan Pas sepertimana yang dijelaskan oleh Nik Aziz. Manakala, Pas pula boleh membuat keputusan atas apa saja, tetapi keputusan muktamad tetap berada di tangan DAP.

Maka, apa gunanya lagi Majlis Syura? Bukankah lebih baik ianya dibubar saja?

Majlis Syura bukan seperti Al-Quran buruk kerana Al-Quran buruk masih lagi punya nilai. Tetapi Majlis Syura lebih layak dianggap sebagai kain buruk, kerana langsung tidak bernilai, bukan sahaja di mata PKR dan DAP, tetapi juga di mata Nik Aziz sendiri.

PAS Umpamakan Nasharudin Isteri Curang


Sehari selepas bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dipecat dari terus menganggotai Majlis Syura Ulama PAS, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat terus meraikannya dengan upacara memotong kek di kediaman Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh.

Walaupun secara lahiriahnya acara memotong kek itu diadakan sempena ulangtahun kelahiran Mursyidul Am PAS itu yang ke 82 tahun, namun tersiratnya ia menggambarkan kegembiraan Karpal Singh yang dikongsi bersama dengan Nik Aziz dalam meraikan dendam terindah yang sudah dilunaskan.

Karpal pernah ditempelak oleh Nasharudin berhubung isu hudud, manakala Nik Aziz pula sehingga kini terus berpatah arang dengan peranan utama yang dimainkan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan itu semasa ura-ura kerjasama diantara UMNO dan PAS melalui Kerajaan Perpaduan (UG) dulu.

Nik Aziz ketika diminta mengulas status Ustaz Nasharudin yang masih kekal sebagai ahli PAS, secara sinis memberi gambaran kedudukan bekas Timbalan Presiden PAS itu dalam parti kini ibarat suami isteri yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai.

"Itu dia punya pasallah, saya sebut kelmarin kepada wartawan orang laki bini lagikan bercerai. Padahal kita nak sambut bini itu dengan sembelih lembu, palu gong gendang lah, selawat kepada Nabi, tetapi  boleh bercerai. Ini kerana parti (Ini kan pula dalam parti)".

Maksudnya jika isteri sendiri pun boleh diceraikan, apa sangatlah kalau memecat Nasharudin dari Majlis Syura Ulama PAS. Hatta kalau Nasharudin mahu keluar parti menyertai UMNO sekalipun, itu bukannya persoalan besar bagi PAS.

Lebih-lebih lagi pada perkiraan Nik Aziz dan PAS, status Nasharudin itu sendiri yang dilihat rapat dengan pimpinan UMNO seumpama isteri yang telah curang pada suami sendiri. Itu anggapannya. Soal bukti dan peluang untuk membela diri, itu lain punya hal yang tidak perlu difikirkan.

Dari sudut lain, walau dibaca berkali-kali kenyataan Mursyidul Am PAS itu, kelihatannya seperti Nik Aziz begitu memandang mudah hubungan suami isteri bila mana ia dikaitkan dengan isu pemecatan Nasharudin dan kedudukannya dalam PAS.

Tapi nak pelik apa? Kan sudah menjadi pengetahuan umum dalam PAS telah lama wujud polisi sumpah baiah talak tiga yang menjadikan isteri kepada calon-calon PAS dalam PRU sebagai bahan taruhan bertujuan menjamin suami masing-masing kekal dalam parti dan tidak mengubah haluan melompat ke parti lain.

Satu persoalan yang menarik untuk difikirkan, kenapa baru sekarang PAS bertindak dan dimasa yang sama masih mengekalkan Nasharudin sebagai ahli PAS, bukankah itu seperti tindakan gantung tidak bertali dari seorang suami?

Amat dayus dan bacul sifatnya bilamana seorang suami hanya berani mengambil tindakan gantung tidak bertali terhadap isterinya sedangkan jika begitu yakin telah wujud kelakuan curang sewajarnya diceraikan sahaja, bukan begitu?

Sabtu, 2 Februari 2013

Pecat Nasharudin : Bukti PAS Amal Kuku Besi


Pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharudin Mat Isa selaku ahli Majlis Syura Ulama Pas sememangnya sudah lama dinanti-nantikan oleh suku sakat Anwarinas setelah beberapa percubaan sebelumnya menemui jalan buntu.

Kelibat Ustaz Nasharudin yang turut sama menyertai lawatan bersejarah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Semenanjung Gaza, Palestin dimanfaatkan sepenuhnya oleh pimpinan Pas untuk dijadikan alasan utama pemecatan tersebut.

Lain-lain alasan seperti tidak datang mesyuarat memaksa Majlis Syura memecat Ustaz Nasharudin pada pertemuan 13 Januari 2013 yang lepas sebenarnya hanyalah tempelan sahaja untuk mengabui mata ahli dan penyokong Pas.

Jika alasan tidak datang mesyuarat adalah punca utama pemecatan Ustaz Nasharudin tentunya sudah lama Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama dibuang dari terus menganggotai Majlis Syura Ulama Pas.

Bukan satu rahsia pun sejak Nik Aziz mempengerusikan badan tertinggi Pas itu, sudah banyak teguran dari ahli bawahan mengenai kelesuannya. Terlampau jarang diadakan perjumpaan disebabkan kepimpinan Nik Aziz yang lemah dan tidak cakna dengan perjalanan parti.

Malah semasa penggal yang lepas, satu mesyuarat pun diadakan sekalipun tika itu wujud banyak isu yang melingkari Pas dan PR. Jadinya, dilihat pada asas ini selayaknya sudah lama Nik Aziz ditendang keluar dari Majlis Syura Ulama dan pengerusinya diambil alih oleh Timbalan Mursyidul AM Pas, Ustaz Haron Din.

Nama Majlis Syura Ulama Pas hanya kembali kedengaran ketika wujudnya isu melibatkan Ustaz Nasharudin, itupun dalam mesyuaratnya pada September 2012 yang lalu Nik Aziz sengaja buat perangai keluar awal setelah mengetahui agenda perbincangan tidak membabitkan kedudukan Ustaz Nasharudin.

Bibit kebencian Nik Aziz terhadap Ustaz Nasharudin sudah lama membuak semenjak timbulnya isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang mana Ustaz Nasharudin adalah antara orang perantaraan yang dihantar oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang untuk membincangkan kerjasama antara UMNO dan Pas.

Bagi orang tua seperti Nik Aziz yang bertuhankan nafsu amarah, tindakan Ustaz Nasharudin itu telah melanggar pantang larang yang ditetapkannya. Tiada perpaduan mahupun muzakarah antara Pas dan UMNO demi kepentingan Islam selagi nyawa masih mengalir dalam tubuh Nik Aziz. 

Berbalik pada isu pemecatan Ustaz Nasharudin, sehingga kini surat pemecatan langsung tidak diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas itu. Berita pemecatannya hanya diketahui melalui kenyataan media oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh.

Tak mustahil surat pemecatan itu pun baru selesai dikarang selepas kelibat Ustaz Nasharudin dilihat bersama rombongan PM di Gaza, Palestin.

Dalam hal ini, Ustaz Nasharudin tidak keseorangan. Beliau bukan satu-satunya pemimpin Pas yang dianiayai sedemikian rupa dipecat tanpa diberi ruang pembelaan diri. Sudah ramai pemimpin Pas yang menjadi mangsa gaya kepimpinan Pas yang bersifat kuku besi dan dictatorship.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden Pas merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Hasan Ali juga pernah mengalaminya, lama sebelum itu, bekas pemimpin Pas kawasan Pasir Putih, Kelantan, Cikgu Musa Salleh juga pernah menghadapinya.

Dalam Pas, perihal berlapang dada bukannya satu pilihan sebaliknya persoalan dendam kesumat seringkali menjadi taruhan utama dalam menentukan jatuh bangun seseorang pemimpin, lebih-lebih lagi jika seseorang itu dilihat bercanggah pandangan dengan Nik Aziz.

Walau apapun, pemecatan Ustaz Nasharudin yang diumumkan tatkala umat Islam seluruh dunia meraikan keberanian pemimpin Malaysia memasuki Semenanjung Gaza untuk sama-sama merasai sendiri keperitan penduduk Palestin yang dizalimi Israel, bukanlah satu tindakan bijak oleh Pas.

Tindakan tergesa-gesa dan bercorak kuku besi dan tidak demoktarik sebegini tidak akan membantu Pas mengukuhkan kedudukannya menjelang PRU-13. Suka atau tidak, kepimpinan Pas perlu menerima hakikat tiba masanya kelak parti itu akan semakin terpinggir dari sokongan umat Islam.

Pas Semakin Jumud Bertindak Ke Atas Nasharuddin


Akhirnya Pas mengambil tindakan terhadap bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa dengan menggugurkan beliau daripada keanggotaan Majlis Syura Ulama parti itu.

Keputusan itu sememangnya sudah dijangka dan tidak mengejutkan hanya persoalan mengapa Pas mengambil masa begitu lama untuk bertindak ke atas Ahli Parlimen Bachok itu.

Sejak Nasharuddin kalah kepada Mohamad Sabu untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan semasa Muktamar Tahunan Pas ke 57 pada tahun 2011 dan sejak itu beliau telah banyak bermuhasabah diri mengenai isu perpaduan umat Melayu di negara ini.

Sikap Nasharuddin yang lunak dalam isu perpaduan dengan UMNO menjengkelkan malah menaikkan bulu kening pemimpin-pemimpin Pas terutamanya Murshidul Am, Nik Aziz Nik Mat.

Kepada Nik Aziz dan geng Anwarinas, Nasharruddin dilabel sebagai pengkhianat kerana berkawan dengan UMNO.

Malah heboh pada tahun 2009 isu kerajaan perpaduan yang dipelopori oleh kumpulan UG atau Unity Government yang mahukan kerjasama politik dengan UMNO demi kesatuan dan mengukuhkan posisi politik orang Melayu di Malaysia.

Nasharuddin adalah antara tokoh utama UG disamping Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tetapi malangnya Nik Aziz telah berjaya mempengaruhi pimpinan parti untuk menolah inisiatif UG.

Sejak itu Nasharuddin menggangap dirinya seperti melukut di tepi gantang, disisih oleh partinya sendiri.

Malah beliau sendiri sebagai Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Pas dikatakan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat ang diadakan.

Beliau sebaliknya menumpukan perhatian mengetuai sebuah badan swadaya yang dipanggil Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia.

Atas kapasiti itu Nasharuddin sering kelihatan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ini telah menaikkan darah Nik Aziz dan sekutu-sekutunya yang pro-Anwar atau Anwarinas.

Gambar beliau bersama Perdana Menteri di Mekah bertemu dengan ulama-ulama di kota suci itu telah menjadi heboh di kalangan ahli Pas.

Nik Aziz lebih sakit hati apabila melihat Nasharuddin menemani Datuk Seri Najib semasa lawatan sehari ke Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Mungkin itu menjadi 'the straw that breaks the camel's back' atau penyudah kepada perbuatan 'khianat' Nasharuddin terhadap partinya, lantas beliau dikeluarkan daripada badan tertinggi penentu dasar dan halatuju parti itu.

Nik Aziz juga berang dengan Nasharuddin yang sebelum ini menggesa Pas mengkaji semula kerjasama parti itu dengan PKR dan Dap dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga berlaga angin pendirian Pakatan Rakyat dan Pengerusi Dap Kebangsaan, Karpal Singh mengenai isu hudud.

Tindakan ke atas Nasharuddin didakwa berlawanan dengan semangat 'jemaah' tetapi hakikatnya Pas adalah sebuah parti yang jumud dengan aliran pemikiran yang beku dan kaku.

Parti itu berlagak seperti hero Islam malah nama agama dipakai pada nama parti tetapi sebenarnya kepentingan politik Nik Aziz yang diperjuangan, bukan parti, ahli mahupun umat Islam.

Pas iri hati dan cemburu apabila melihat pemimpinnya seperti Nasharuddin bersikap bebas dan tidak terikat dengan budaya parti yang menjadikan UMNO sebagai musuh tradisi untuk selama-lamanya.

Inilah pemikiran yang dibawa oleh Nik AZiz dan dipaksa ke atas pas menjadikan parti iaitu sebuah organisasi siyasah yang statik dan progresif.

Nasharuddin seorang pemimpin Pas yang berfikiran terbuka serta mempunyai pandangan jauh berkaitan perpaduan Islam.

Bagi beliau perbezaan peendekatan politik yang diambil oleh UMNO dan Pas tidak bermakna perpaduan tidak boleh dicapai melalui kaedah lain.

Inilah yyang dilakukan olehnya apabila sanggup bersama-sama Perdana Menteri demi agenda memartabatkan kepentingan Islam.

Jika Nik Aziz berfikiran terbuka dan berlapang dada, apa salahnya Nasharuddin berganding bahu bersama pemimpin kerajaan Barisan Nasional demi perjuangan rakyat Palestin?

Juga apa salahnya Nasharuddin menjadi perantara bagi Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan ulama-ulama tersohor Mekah?

Tetapi bagi Nik Aziz dan kuncu-kuncunya perbuatan Nasharuddin adalah antara dosa paling besar, malah kalau berdasarkan 'Amanat Haji Hadi, sudah tentu beliau boleh dijatuhkan hukum kafir!

Khamis, 31 Januari 2013

Karpal Pun Ingat Hari Jadi Nik Aziz, Azizan Boleh Lupa?




28 Januari lalu, Nik Aziz dilaporkan menghadiri perayaan Thaipusam di Pulau Pinang anjuran Pakatan Rakyat. Acara tersebut disertai oleh antara lain, ialah Pengerusi DAP Karpal Singh.

Pada petangnya pula, Nik Aziz telah mengunjungi Karpal Singh di kediamannya dan satu sambutan Hari Jadi Nik Aziz telah diadakan di situ, siap dengan kek yang mempunyai lambang ketiga-tiga parti sekutu PR.

Harakahdaily melaporkan bahawa kunjungan tersebut disambut dengan gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat sehingga menitiskan air mata. Begitulah gembiranya mereka melihat persahabatan seorang yang bergelar Mursyidul Am dengan seorang penentang Islam tegar yang sebegitu erat, akrab dan bersatu hati dalam ‘berjihad’ untuk menakluki Putrajaya.  

Tidak salah jika dikatakan yang kegembiraan yang dirasakan mereka adalah sama dengan kegembiraan para pembaca Malaysiakini yang ‘menyambut meriah’ pemecatan Nasharuddin Mat Isa dari Majlis Syura melalui komen-komen mereka.

Untuk pengetahuan semua, tarikh lahir Nik Aziz adalah 10 Januari 1931. Kita tidak pasti sama ada Karpal yang telah bersedia untuk menyambut Hari Jadi Nik Aziz di rumahnya ataupun pihak Nik Aziz yang telah merancang terlebih dahulu.

Jika pihak Nik Aziz yang merancangnya, tentulah pelik kerana dalam lawatan ke utara itu, beliau dilaporkan turut mengunjungi kediaman Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Razak pada 27 Januari. Oleh itu, beliau boleh saja menyambut Hari Jadinya di rumah Azizan dan bukannya di rumah Karpal.

Mungkin, tidak seperti Karpal, Azizan terlupakan tarikh hari jadi Nik Aziz. Sebagaimana kita tahu, menyambut hari jadi yang menjadi budaya ‘Mat Saleh’ bukanlah amalan biasa bagi puak-puak PAS. Oleh itu, kita tidak hairan jika Azizan atau Nik Aziz sendiri tidak pernah mengingati tarikh lahir anak-anak mereka dan juga isteri mereka, jauh sekali menyambutnya. Selain itu, PAS juga terkenal dengan sikap ‘chauvinis’ lelaki zaman dahulu yang tidak mesra dengan keluarga dan PAS masih lagi kekal begitu, walaupun pendirian parti telah berubah serta perlembagaan kafir sudah menjadi Islam.

Justeru, puak-puak PAS pun begitu terharu bila Karpal Singh mengingati tarikh lahir Tok Guru dan bersusah-payah meraikannya. Mungkin ini pertama kali mereka memahami erti ‘penghargaan’ dari orang lain secara peribadi. Tok Guru pastinya percaya bahawa inilah makna persahabatan sejati.

Jika begini caranya Karpal menghargai persahabatan, tidak hairanlah jika Nik Aziz lebih menghargai arahan DAP dari kehendak akar umbi PAS mahupun tuntutan Al-Quran sendiri. Memandangkan sikap Melayu itu amat berhemah dan mengenang budi, Tok Guru tentulah akan merasa lebih ‘malu-alah’ lagi untuk menentang apa-apa pendapat atau arahan Karpal selepas ini.

Menyorot sejarah PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP, parti ini mengambil pendekatan ekstrem dan amat terkenal dengan sifat memusuhi bukan Islam. Malah, Amanat Hadi yang masih menjadi kontroversi itu juga adalah bertitik-tolak dari permusuhan terhadap bukan Islam. Pada ketika itu, telah menjadi fahaman ahli PAS bahawa terdapat satu undang-undang tidak bertulis yang perlu dipatuhi iaitu jangan sekali-kali mengundi bukan Islam walaupun sebagai wakil rakyat. Ini menjadi faktor utama UMNO ditentang atas alasan bekerjasama dengan MCA dan MIC. 

Seperti yang disebut tadi, ini semua cerita lama, iaitu cerita PAS di zaman pra-persahabatan dengan DAP. PAS kini, sudah berubah dan sudah jauh lebih terbuka berbanding UMNO sendiri.

Hari ini, UMNO sanggup mati mempertahankan agama dan bangsa, tetapi PAS pula sanggup mati dari meninggalkan DAP. Bagi PAS, biarlah Hasan Ali mati, biar Nasharuddin dibuang asalkan DAP sayang. Orang seperti Hasan dan Nasha tidak tahu menghargai Tok Guru dan tak pernah pun beli kek hari Jadi untuk Tok Guru, bukan macam Karpal Singh.

Lagipun, Karpal hanya sanggup mati menentang Islam, bukan menentang Tok Guru, bukan begitu?