Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Psy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Psy. Papar semua catatan

Isnin, 18 Februari 2013

Ancaman Terhadap Psy Memalukan Negara


Kesediaan superstar dari Korea, Psy yang popular dengan lagu tarian kuda Oppa Gangnam Style untuk turut sama memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang tempohari rupanya meninggalkan sedikit tompok hitam dalam sejarah hidup penyanyi itu.

Mana tidaknya apabila keselamatannya diancam gara-gara kegilaan segelintir pihak yang tidak dapat menerima hakikat penyanyi popular Korea itu tetap bertegas untuk memenuhi undangan mengadakan persembahan di majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh BN.

Beberapa hari sebelum Psy mengadakan persembahan di hadapan lebih 80,000 orang hadirin di majlis itu, keterujaan penyanyi itu untuk buat julung kalinya menemui peminatnya di Malaysia sedikit terencat apabila kehadirannya tidak hanya dipertikaikan oleh PR malah dijadikan isu politik untuk memburukkan Kerajaan Malaysia.

Para pemimpin PR berusaha sedaya upaya mensabotajnya dengan melancarkan propaganda kononnya penganjuran majlis tersebut adalah satu pembaziran wang rakyat dan wang pembayar cukai walau hakikatnya tidak pun begitu.

Bila kebenaran diketahui umum kos penganjuran dan perbelanjaan membawa Psy ke Malaysia ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta, PR melalui dukungan penyokong mereka menukar taktik dengan menghujani pula akaun sosial Facebook Psy dengan komen-komen yang mendesak artis itu membatalkan persembahannya di Malaysia.

Tidak cukup dengan gesaan-gesaan itu, sesetengah penyokong PR menghamburkan kata-kata kurang manis terhadap penyanyi itu sementara yang lain pula sengaja memburukkan negara tercinta ini dengan pelbagai tuduhan berbau politik.

Tampak jelas ketidakmatangan fikiran dan sikap penyokong PR dalam isu ini, agak memalukan dan tak sedikit tercalar imej negara ini di mata dunia. Malang betul tanah tumpah darah tercinta ini mempunyai segelintir rakyat yang buruk budi pekerti seperti itu.

Tidak berpuas hati dengan kegagalan demi kegagalan mensabotaj majlis itulah barangkali membawa kepada tindakan gila penyokong PR membuat ugutan yang mengancam keselamatan Psy. Ugutan itu mungkin serius atau sekadar acahan biasa, tapi bagi pihak polis semua itu bukannya satu perkiraan kerana itu langkah berjaga-jaga tetap diambil.

Psy mungkin sedikit kecewa kepulangannya ke negara sendiri pada keesokan diniharinya terpaksa diatur secara sulit tatkala orang ramai sedang nyenyak tidur, ia tentunya pahit tapi demi keselamatannya beliau, itu boleh dikira satu langkah bijak bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Pun begitu, apa yang terjadi pada Psy bukanlah satu perkara pelik bila diimbas kembali beberapa peristiwa lama yang ada hubung kait dengan PR.

Di awal tahun 2009 dulu sewaktu negeri Perak sedang kalut ribut dengan krisis politik, seramai tujuh orang wakil rakyat dari sebuah parti dalam PR pernah menerima ugutan bunuh dari samseng upahan selepas timbulnya ura-ura kesemua mereka itu mahu keluar dari parti dan menjadi ADUN Bebas yang mesra BN.

Sebahagian daripada mereka turut menerima surat ugutan berisi peluru hidup sebagai gambaran talian hayat wakil-wakil rakyat itu bila-bila masa sahaja boleh melayang begitu sahaja jika meneruskan hasrat untuk menjadi ADUN Bebas.

Berikutan ancaman itu, hanya seorang sahaja dari kumpulan tersebut yang berani mengambil risiko keluar dari parti untuk turut serta bersama dua orang lagi ADUN parti lain dari PR, yang kemudian diikuti dengan kejatuhan secara rasmi pemerintahan PR di Perak.

Selang beberapa ketika kemudian, selepas keadaan sedikit reda barulah salah seorang lagi dari kumpulan wakil rakyat itu mengikut jejak langkah sama menjadi ADUN Bebas mesra BN. Sementara bakinya terpaksa terus kekal bersama PR walaupun kepercayaan mereka semakin luntur terhadap gabungan parti yang tidak berdaftar itu.

Secebis kisah mengenai krisis politik di Perak itu sudah cukup membuktikan ketidakmatangan politik agak dekat dengan PR dan bukan sesuatu yang mengejutkan bila mana kini tiba pula giliran Psy diancam keselamatan nyawanya.

Tindakan kurang waras penyokong PR itu diakui sedikit sebanyak memalukan negara kita sebagai tuan rumah dan tentunya menjejaskan nama baik negara ini pada mata dunia. Suka atau tidak realiti ini terpaksa kita hadapi selagi pembawaan politik sempit terus menjadi pegangan PR.

Sabtu, 16 Februari 2013

Masyarakat Cina Boikot Kempen Provokasi DAP


Harapan PR khususnya DAP untuk melihat penduduk Pulau Pinang memboikot majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran BN nampaknya tidak kesampaian walaupun berhari-hari sebelumnya jentera propaganda DAP kerap memainkan isu pembaziran wang rakyat.

Hatta cubaan DAP dan PR untuk memalukan PM kononnya rakyat Pulau Pinang dan orang ramai yang hadir menolak kehadiran BN juga menemui kehampaan bila mana ketika PM mengajukan soalan "Are you ready for BN" sebahagian besar hadirin menjawab “Yes” dan “Ready” manakala pekikan "No" hanya datang dari segelintir penyokong PR yang berada berdekatan jururakam video itu sahaja.

Dianggarkan lebih 80,000 orang hadirin yang majoritinya keturunan Tionghua dan selebihnya dari kaum Melayu dan India tetap membanjiri lokasi sambutan perayaan, sekaligus mengatasi jangkaan awal yang majlis tersebut hanya akan dihadiri oleh kira-kira 50,000 orang sahaja.

Mereka bukan sahaja datang untuk mengikuti persembahan hiburan dari superstar Korea, Psy dan lagu tarian kuda Oppa Gangnam Style tetapi yang lebih penting masing-masing mengambil peluang untuk beramah mesra dengan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak.

Ternyata makin lama propaganda DAP dan PR kian hilang bisanya apabila khalayak umum tidak lagi menerima bulat-bulat tohmahan DAP kononnya penganjuran majlis tersebut yang diserikan dengan persembahan Psy telah menyebabkan pembaziran berjuta ringgit duit rakyat.

Walhal, jika benar penganjuran majlis perayaan sempena Tahun Baru Cina ini dianggap satu pembaziran sebagaimana didakwa oleh DAP, bukankah kehadiran sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di majlis tersebut boleh diumpamakan sebagai bersekongkol menyokong pembaziran?

Tak terdetik rasa malukah dalam diri Setiausaha Agung DAP itu terhegeh-hegeh hadir menyaksikan sama persembahan Psy tatkala parti sendiri sibuk mencanangkan propaganda kehadiran artis popular Korea itu adalah satu pembaziran dan tidak berfaedah?

Hakikatnya majoriti rakyat tahu segala urusan perbelanjaan langsung tidak melibatkan wang rakyat atau wang pembayar cukai. Sebaliknya keseluruhan kos penganjuran ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta yang kemudiannya akan beroleh kelebihan dari segi rebet percukaian kerana program yang ditaja turut melibatkan kepentingan umum.

Bayaran kepada Psy yang mencecah RM2.3 juta untuk persembahan selama lebih kurang 15 minit mungkin mahal, tapi kehadirannya nyata memberi impak positif kepada industri perlancongan Pulau Pinang apabila ia turut menggamit kehadiran orang ramai dari seluruh negara.

Ia nyata berbaloi dan jauh lebih bermanfaat berbanding dengan program hiburan larut malam dan memabukkan di Batu Feringgi yang pernah dianjurkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan kerjasama syarikat arak, Carlsberg pada November 2012 yang lalu yang menelan belanja RM3 juta.

Dalam pada itu, gesaan Lim Guan Eng supaya penyokong PR hadir dengan pakaian berwarna merah, kuning, hijau dan oren juga tidak mendapat sambutan seperti diboikot penyokong sendiri apabila hanya segelintir sahaja yang sanggup meneruskan provokasi politik busuk sedemikian di majlis perayaan itu.

Jelas sekali penyokong PR sendiri agak segan untuk menjayakan provokasi politik itu, barangkali mereka keliru dengan mainan propaganda DAP dan PR yang mencemuh majlis tersebut atas alasan pembaziran tapi di masa yang sama mengarahkan pula penyokong PR hadir seumpama menyokong pula pembaziran yang didakwa.

Melihatkan senario ini, tampak jelas majoriti rakyat kian jauh dari jangkauan PR. Malang benar nasib PR, bukan sahaja kempen provokasi dan propaganda mereka telah diboikot oleh penyokong sendiri malah masyarakat Cina juga kian hari cuba menjarakkan diri dari terus dikaitkan dengan DAP & PR.

Ahad, 10 Februari 2013

Jantina Psy Gangnam Tidak Diketahui, Nik Aziz Patut Ludah Muka Sendiri


Memang memalukan apabila Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat gagal mengenal pasti jantina penyanyi popular dari Korea, Psy yang tika ini popular dengan lagu tarian kuda, Oppa Gangnam Style.

Nik Aziz dilaporkan telah dengan selambanya menegaskan artis Korea yang bakal membuat persembahan di Pulau Pinang pada 11 Februari 2013 itu nanti perlu menutup auratnya kerana menyangkakan Psy adalah seorang perempuan.

Bila kebebalannya ditegur oleh wartawan, cepat-cepat pula Nik Aziz cuba pusing cerita bertanyakan samada lirik lagu Oppa Gangnam Style itu memberi kesan positif atau sebaliknya kepada golongan muda.

pItu tabie Nik Aziz yang sudah terkenal dengan perangai semula jadinya yang jarang sangat mahu mengaku kesalahan dan kelemahan diri sendiri, sebaliknya lebih kerap bersilat kata semata-mata untuk menutup kelemahannya.

Tinggi benar egonya, mungkin mencecah langit agaknya. Dah buat silap pun masih cuba berdolak-dalik. Tak sedar diri betul.

Punyalah riuh rendah seluruh negara bercakap mengenai fenomena Oppa Gangnam Style, rupanya ada lagi yang duduk di bawah tempurung terpinggir dari dunia nyata tapi masih bernafsu besar untuk turut serta bercakap mengenainya.

Tak pasal-pasal komennya itu menjadi bahan gelak tawa orang ramai di masa yang sama menyebabkan aib kepada rakyat Kelantan kerana memiliki seorang Menteri Besar yang gemar bercakap semberono dan tanpa usul periksa.

Umum tahu fokus Pas tika ini ialah mengaitkan isu kemaksiatan dengan program hiburan sempena Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru yang dianjurkan oleh BN itu, dengan demikian Pas berharap akan mendapat kredit dari kalangan pengundi beragama Islam.

Hakikat yang berlaku tidak pun mengikut kehendak Pas, sebaliknya malu yang dapat gara-gara kebebalan Mursyidul Amnya sendiri. Nampak sangat keprihatinan yang cuba Pas tonjolkan itu sengaja dibuat-buat untuk tujuan politik kepartian sahaja.

Lagipun jika Pas serius ingin bercakap soal kemaksiatan dan lagho yang berlaku dalam program bercorak hiburan, sepatutnya Pas telah ke depan membantah tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang menganjurkan konsert hiburan larut malam pada November 2012 yang lalu.

Dalam konsert di Batu Feringgi Pulau Pinang itu, muda mudi keturunan Cina, India serta Melayu bukan setakat bercampur gaul jantan betina malah ramai yang tunggang terbalik dek penangan arak Carlsberg.

Sehingga sekarang Pas senyap sunyi dari mengulas kemaksiatan yang jelas berlaku di konsert hiburan anjuran Kerajaan DAP Pulau Pinang, barangkali Pas sengaja memejamkan mata kerana terlalu takut untuk menegur khalifah Lim Guan Eng yang menjadi pujaan ramai pemimpin Pas agaknya.

Hatta persembahan hiburan separuh bogel anjuran PKR di Kulim, Kedah pun tidak kedengaran sebarang teguran dari Pas. Di masa yang sama, Nik Aziz pula hingga kini ibarat syaitan bisu tak terfikir untuk turut sama membantahnya.

Apa pun, malu besar yang ditanggung oleh Pas disebabkan kebebalan Nik Aziz mengulas isu Psy Gangnam Style ini wajarlah dijadikan iktibar sepanjang zaman. 

Di samping itu, alang-alang sudah terserlah kebebalannya, eloklah Nik Aziz meludah ke muka sendiri, dengan demikian bila tiba-tiba sahaja mulutnya gatal untuk komen itu ini, akan terdetik kesedarannya untuk mendalami isu sebelum membuka mulut berusnya itu.

Sabtu, 9 Februari 2013

Guan Eng Jadi Gila Kerana Psy


Apabila ego yang terlalu tinggi bertembung dengan perasaan bimbang, dan keadaan terdesak, anda bolehlah menjangkakan kekecohan – di mana minda menolak untuk memahami potensi untuk kalah, jauh sekali menerima kekalahan. 

Inilah puncanya kekecohan terjadi apabila Guan Eng telah terpaksa menangani fakta bahawa tema kempen DAP, iaitu ‘Ubah-Rocket Style’ yang diilhamkan dari lagu Korea nyanyian Psy yang kini menjadi fenomena, bertukar menjadi ‘lawan’ apabila MCA menjemput penyanyi tersebut untuk membuat persembahan di Pulau Pinang sempena meraikan Tahun Baru Cina.

Guan Eng jelas tidak dapat mengawal diri sejurus mendengar berita tersebut lalu menyeru mereka yang merancang untuk menghadiri persembahan itu pada Februari 11 agar memakai baju merah (sebagai menyokong DAP), kuning (sebagai menyokong BERSIH) dan hijau (sebagai membantah Lynas). Seperti yang dijangka, Guan Eng telah ditempelak oleh ‘orang-orangnya sendiri’ sehingga ada yang mula mempersoalkan kewarasannya.

Masalahnya, merah adalah warna ‘bertuah’ dalam kepercayaan kaum Cina dan sudah menjadi tradisi warna ini dipakai pada Tahun Baru Cina.  Tetapi, kalaupun itu bukan masalahnya, siapakah yang akan memikirkan politik ketika menghadiri persembahan hiburan? Dan lagi, bukankah Guan Eng, sebagai seorang Ketua Menteri sepatutnya menyeru rakyat agar bersatu dan mengenepikan sentimen politik dalam menyambut Tahun Baru Cina?

Kita faham bahawa DAP telah bersusah payah melancarkan kempen bertemakan Gangnam.  Parti itu juga telah berusaha membuat rakaman video, siap dengan pelakon yang meniru gaya Datin Seri Rosmah. Ianya dirakamkan sekitar KL termasuk stesen LRT dan telah melalui berbagai ‘kesusahan’ ketika pembikinan, antaranya, diarahkan berhenti oleh pihak berkuasa. Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, yang menerbitkan video tersebut begitu bangga memberitahu media bahawa video itu telah mendapat lebih 100 juta penonton dalam masa sebulan.

Jelas, mereka begitu bangga dengan diri mereka sendiri kerana mmapu mempermainkan orang lain dan merakamkannya ke dalam video serta memuat-naik ke internet untuk tontonan seluruh dunia. Bagi DAP, video kempen bertemakan Gangnam itu bagaikan sebuah ‘karya hebat’, atau kempen politik paling bijak yang pernah difikirkan oleh sebuah parti politik. (Ini mengingatkan kita kepada sang Namewee, mungkin dia juga layak menjadi Ketua Menteri).

Setelah ditempelak, kita menyangka yang Guan Eng akan bertenang dan berfikir semula dengan waras. Tetapi, sebaliknya, beliau menunjukkan tanda-tanda histeria. Siapa yang menyangka beliau boleh mengarahkan sesuatu yang paling bahlol iaitu supaya semua tentera sibernya memberi tekanan kepada Psy melalui facebook artis itu agar membatalkan persembahan di Pulau Pinang?

Psy adalah seorang penyanyi, seorang artis, selebriti dari negara asing, tidak perlulah mengaitkan beliau dalam kegilaan politik DAP. Tidak cukupkah Guan Eng memalukan partinya, perlukah beliau memalukan seluruh rakyat Malaysia juga?

Mungkin Guan Eng perlu menjalani pemeriksaan jiwa. Mungkin semua kuasa yang ada itu tidak tertanggung oleh dirinya sehingga ego semulajadinya yang sedia menjulang telah mencapai tahap tertinggi dan mula menimbulkan masalah. Lihat saja sikap dan tindakan Guan Eng akhir-akhir ini:

Mula-mula Guan Eng menyangka yang Pulau Pinang itu adalah miliknya seorang, di mana sesiapa sahaja yang ingin menggunakan nama Pulau Pinang perlu mendapat kelulusannya. Adakah ini bermakna Penang Char Koey Teow, Penang laksa, Penang Run dan Penang Swimming Club semua miliknya? Tentulah tidak.

Sesetengah nama itu telah pun digunakan sebelum Merdeka lagi dan sebelum Guan Eng berpindah dan bermastautin di Pulau Pinang. Nama sebuah negeri bukan, dan tidak boleh sama sekali menjadi milik sesiapa. Justeru, Guan Eng tidak dan tidak boleh memiliki Pulau Pinang, tetapi beliau hanya diletakkan di tempatnya oleh rakyat Pulau Pinang untuk bekerja untuk mereka.

Jika kita mengambil logik Guan Eng, maka setiap kamus dan laman web di dunia haruslah mendapatkan kelulusannya sebelum mencetak perkataan ‘Penang’. Bagaimana jika nama USA atau China atau Malaysia juga perlu diluluskan setiap kali kita ingin menggunakannya?

Apa lagi yang boleh ditafsirkan dengan logik Guan Eng ini selain dari percubaan mengenakan, menunjukkan dan melaksanakan kuasa diktatornya, termasuk ke atas sesuatu yang melangkaui kuasanya.

Namun, kita tidak dapat mengelak dari merasakan ada sesuatu yang lebih lagi dari sekadar masalah tekanan ego berlebihan seorang diktator apabila Guan Eng menyatakan bahawa sesiapa yang memakai warna merah pada Tahun Baru Cina bermakna mereka menyokong DAP.

Merah hanyalah warna, ia tidak dimiliki oleh sesiapa atau mana-mana parti. Sekurang-kurangnya, Guan Eng boleh membeli Pulau Pinang jika teringin sangat menjadikan pulau itu sebagai milik persendirian, tetapi Guan Eng tidak mungkin boleh membeli hak ke atas ‘warna merah’.

Apakah Psy telah menyebabkan Guan Eng menjadi gila?

Jumaat, 8 Februari 2013

Gangnam Style Bikin PR Kelam Kabut


Jika ditanya siapa sahaja rakyat Malaysia generasi muda dari keturunan Cina, masing-masing meluahkan keterujaan mereka dan agak tidak sabar lagi untuk menantikan persembahan superstar Korea, Psy yang cukup popular dengan lagu "Oppa Gangnam Style".

Psy dijadualkan akan tampil membuat persembahan khas sempena Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang pada 11 Februari 2013 nanti dan dijangkakan lebih 60,000 orang terutama golongan muda akan membanjiri majlis tersebut.

DAP yang menyedari kehadiran Psy kelak bakal memberi impak positif kepada saingannya MCA yang merupakan penganjur majlis tersebut, awal-awal lagi mempertikaikan kos perbelanjaan untuk membawa artis itu yang mencecah RM3 juta.

Melalui pendekatan sedemikian, DAP dan PR cuba memfokuskan pandangan umum kepada pembaziran yang kononnya telah dilakukan oleh BN yang memerintah kerajaan Pusat.

Diam tak diam khalayak umum didedahkan pula dengan khabar berita yang Kerajaan DAP Pulau Pinang pernah bekerjasama dengan sebuah syarikat arak untuk menjayakan sebuah konsert hiburan larut malam yang juga menelan kos RM3 juta di Batu Feringgi pada akhir tahun lepas.

Logiknya jika persembahan konsert oleh Psy dianggap satu pembaziran walau sebenarnya memberi nilai tambah kepada industri pelancongan di Palau Mutiara itu, kenapa pula soal pembaziran dalam konsert hiburan anjuran Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak ditimbulkan sama?

Dalam pada itu, bila mana kebenaran diketahui umum yang segala kos perbelanjaan termasuk bayaran kepada Psy berjumlah RM2.3 juta ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta dan langsung tidak melibatkan wang rakyat, DAP beralih pula kepada taktik provokasi menggalakkan penyokong PR menyertai majlis itu dengan memakai baju merah, hijau, kuning dan oren.

Di masa yang sama, para penyokong PR khususnya dari DAP turut mengambil langkah lain termasuk beramai-ramai menghujani akaun sosial Facebook penyanyi Korea itu mendesak Psy membatalkan persembahannya di Malaysia dengan pelbagai alasan berunsur propaganda politik.

Ternampak jelas ketidakmatangan penyokong PR dalam mendepani isu ini, sedar tak sedar mereka sebenarnya menggali kubur sendiri kerana membangkitkan kemarahan para peminat Psy gara-gara bertindak sedemikian.

Dalam pada itu, dikalangan penyokong dan pemimpin Pas serta PKR yang berbangsa Melayu beragama Islam pula meneruskan kaedah tradisi mempertikaikan persembahan hiburan itu yang dikatakan akan melalaikan generasi muda.

Faktor hiburan itu akan mendekatkan diri kepada maksiat diulang-ulang saban waktu, sedangkan ketika ramai remaja Cina, India dan Melayu tunggang terbalik mabuk sakan ketika berhibur di konsert yang dianjurkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang di Batu Feringgi tempohari semuanya senyap sunyi tanpa bantahan.

Dilihat pada reaksi kelam kabut dalam PR berhubung ini, jelas sekali wujud kebimbangan besar dikalangan pemimpin dan penyokong PR kalau-kalau gara-gara demam Oppa Gangnam Style akan menghakis sokongan golongan muda kepada mereka.

Khamis, 7 Februari 2013

Gangnam Style : Kenapa Pakatan Rakyat Takut Pada Psy?

Tanggal 11 Februari 2013 sememangnya agak dinantikan oleh golongan muda memandangkan pada tarikh itu penyanyi Korea yang sedang menjadi kegilaan ramai, Park Jae-Sang ataupun Psy akan turut hadir memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang.

Majlis yang akan dilangsung di padang Sekolah Tinggi Han Chiang, Pulau Pinang itu dijangkakan akan disertai oleh lebih 60,000 orang. Turut serta ialah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin BN Negeri dan Pusat.

Kehadiran Psy ke Malaysia yang julung kalinya ini tentunya memberi impak positif yang tersendiri terutama sekali dalam meningkatkan profil negara dalam menyuntik nilai tambah bagi industri perlancongan.

Kesediaan penyanyi popular Korea itu menyertai majlis yang dianjurkan BN itu bagaimanapun tidak disenangi ramai pemimpin PR khususnya dari DAP yang menimbulkan persoalan mengenai kos perbelanjaan yang kononnya terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Pusat untuk dibayar kepada artis K-Pop itu.

Mereka melemparkan tuduhan kononnya kedatangan superstar dari Korea itu telah menyebabkan sejumlah RM3 juta wang rakyat lebur begitu sahaja semata-mata untuk satu lagu Oppa Gangnam Style. Satu tuduhan yang agak jauh tersasar, bermotif politik dan berniat untuk mengelirukan orang ramai.

Walhal realiti sebenarnya samada Kerajaan Pusat ataupun BN sendiri tidak menggunakan wang rakyat untuk dibayar kepada Psy. Sebaliknya segala kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta, Mega Ultimate termasuklah bayaran RM2.3 juta bayaran kepada penyanyi terkemuka itu untuk tampil memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina.

Jika penampilan Psy memeriahkan rumah terbuka Tahun Baru Cina ini dikatakan satu pembaziran, kenapa tidak para pemimpin PR mencemuh tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang pada akhir tahun lepas yang terang-terangan membelanjakan sejumlah RM3 juta wang rakyat untuk menjayakan konsert hiburan di Batu Feringgi?

Malah dalam konsert hiburan anjuran kerajaan DAP Pulau Pinang itu yang menampilkan beberapa orang artis Korea juga turut mendapat kerjasama syarikat arak, peliknya tiada pula walau seorang pun pimpinan PR berani mempersoalkannya.

Hatta dikalangan penyokong dan pemimpin PAS sendiri tidak pula sibuk mahu bercakap soal moral dan akhlak muda-mudi sekalipun tahu konsert anjuran Kerajaan DAP Pulau Pinang itu turut dijayakan oleh syarikat arak. Double standard agaknya.

Persoalan penting untuk dijawab oleh PR, mengapa kelihatan begitu takut dengan kesediaan Psy menyertai majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina itu? Atau PR terlalu bimbang kehadiran ramai muda mudi keturunan Cina kelak bakal menjejaskan pengaruh DAP di negeri itu?

Sepatutnya pemimpin PR tidak perlu berasa cuak atau takut dengan kemunculan Psy di majlis tersebut, lebih-lebih lagi di saat masyarakat Cina bakal meraikan perayaan Tahun Baru Cina.

Kecuali, PR terutama sekali DAP sedang dilanda kebimbangan yang artis popular Korea itu akan membuat pengumuman penting yakni menyaman mereka gara-gara tindakan mengubah suai lagu Oppa Gangnam Style tanpa kebenaran untuk tujuan kempen politik parti itu.

Sekiranya itu sebabnya, memang ada asaslah untuk pemimpin DAP dan PR berasa gundah gelana dan kita rakyat jelata pun boleh tumpang memahaminya.