Sebut sahaja nama Profesor Datuk Dr. Sidek Baba tentu ramai yang mengenalinya sebagai salah seorang sahabat yang mempunyai hubungan akrab dan cukup rapat dengan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.
Sebagai bekas Naib Presiden ABIM dan Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Sidek juga dikenali umum kerana peranannya dalam mengembangkan pengaruh Anwar di kalangan pelajar UIAM ketika zaman kegemilangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Dr Sidek yang kini adalah pensyarah Kanan di UIAM juga pernah di tahan di bawah ISA ketika kemuncak isu liwat melibatkan Anwar pada 1998, justeru itu ramai yang percaya hubungan mereka berdua akan berkekalan dan mustahil akan terungkai sama sekali.
Namun persahabatan kedua-duanya tidak berkekalan apabila semenjak tiga tahun lalu Dr. Sidek telah bertindak meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun mereka bersahabat. Ramai yang sukar mempercayainya malah tidak mengetahui kenapa dan mengapa Dr Sidek mengambil tindakan demikian.
Bagaimana pun ketika menyertai program Wacana Cuit : Dilema Melayu Moden di Menara MARA pada 26 Mac 2013, Dr Sidek telah mengambil peluang tersebut menjelaskan tiga sebab kenapa beliau meninggalkan Anwar sekaligus keluar dari landasan perjuangan bekas sahabat baiknya itu.
Tiga sebab yang dimaksudkannya itu ialah mengenai persoalan moral, sokongan kepada agenda pluralisme agama dan masalah kredibiliti, yang mana ketiga-tiganya cukup rapat dengan Anwar yang akhirnya mendorong Dr Sidek untuk mengambil keputusan muktamad menjauhkan diri.
Menurut Dr Sidek, terlalu banyak persoalan moral yang melingkari hidup Anwar dan agak sukar untuk diterimanya, apatah lagi bila diimbas semula pesanan Anwar ketika bersama ABIM dulu yang sering menegaskan seseorang pemimpin bukan sahaja mesti bersih tetapi juga kelihatan bersih.
Dalam majlis yang dihadiri sekitar 1,000 orang kakitangan MARA itu juga, Dr Sidek meluahkan kekecewaannya terhadap Anwar kerana perubahan drastik bekas mentornya itu yang kini menjadi pendukung pemikiran liberal serta cukup dekat dengan golongan pluralisme agama.
Ucapan Anwar di London School of Economics (LSE) pada 18 Mac 2010 menurut Dr Sidek adalah bukti nyata yang tidak dapat disangkal lagi mengenai penglibatan Anwar dengan pendukung liberal dan pluralisme agama.
Selain itu, Dr Sidek juga menjelaskan keraguannya terhadap hubungan rapat Anwar dengan para pelobi berbangsa Yahudi yang dianggap sangat berbahaya kepada keselamatan negara selain menjejaskan kredibiliti Anwar yang sebelum ini dilihat sebagai Islamik.
Kesemua sebab yang diutarakan oleh Dr Sidek di atas adalah asas penting yang mendorongnya meninggalkan Anwar meskipun lebih 30 tahun lalu mereka berdua akrab bersahabat.
Dr Sidek bukanlah satu-satunya sahabat seperjuangan Anwar dari ABIM yang telah hilang kepercayaan terhadap Ketua Umum PKR itu, ramai lagi yang lain antaranya bekas Presiden ABIM, Dr Yusri Muhammad serta bekas pengasas NGO itu, Tuan Haji Ustaz Ismail Mina.
Sebelum mengambil tindakan yang tentunya sukar itu, Dr Sidek terlebih dahulu melakukan siasatan sendiri dengan menemu bual seramai 28 orang individu yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar diikuti dengan solat istikharah bagi memohon petunjuk Allah S.W.T.
Selepas itu barulah beliau membuat keputusan muktamad menjarakkan diri dari Anwar dan parti-parti pembangkang.
Nuffnang
Selasa, 2 April 2013
3 Sebab Sidek Baba Tinggalkan Anwar
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan