Nuffnang

Khamis, 11 Julai 2013

Hentikan Peyebaran 2 Hadis Palsu

2 Hadis Palsu yang dikesan berlegar dalam Facebook, Blog dan internet setiap kali Ramadan.


A. Hadis kelebihan Tarawih yang mencertitakan ganjaran spesifik tentang kelebihan setiap malam. Secara ringkasnya, ia berbunyi:

 KELEBIHAN SOLAT TARAWIH

 1. Kelebihan Solat Tarawih Malam 1 : Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
 2. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-2 : Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
 3. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-3 : Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
 4. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-4 : Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
 5. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-5 : Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
 6. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-6 : Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
 7. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-7 : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir'aun dan Hamman.
 8. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-8 : Allah SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
 9. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-9 : Allah SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
 10. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-10 : Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
 11. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-11 : Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
 12. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-12 : Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
 13. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-13 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
 14. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-14 : Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah SWT tidak akan menyesatkan mereka.
 15. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-15 : Semua malaikat yang memikul 'Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah SWT mengampunkannya.
 16. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-16 : Allah SWT menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
 17. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-17 : Allah SWT menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
 18. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-18 : Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah SWT sesungguhnya Allah SWT telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
 19. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-19 : Allah SWT akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
 20. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-20 : Allah SWT mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
 21. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-21 : Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
 22. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-22 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
 23. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-23 : Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
 24. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-24 : Allah SWT akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
 25. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-25 : Allah SWT akan mengangkat seksa kubur darinya.
 26. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-26 : Allah SWT akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
 27. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-27 : Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
 28. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-28 : Allah SWT akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
 29. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-29 : Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
 30. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-30 : Allah SWT akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

 Ia PALSU dan tidak ada keterangan lain yang dapat menguatkan statusnya, tidak pula diriwayatkan dengan riwayat lain yang kuat sandarannya.

B. Hadis Doa Jibril. Ia berbunyi:

 Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadan ” “Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

 * Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada).
 * Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri.
 * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

 Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

 Hadis dengan lafaz di atas tidaklah dapat ditemukan dalam mana-mana kitab hadis. Yang sahih, hadis ini datang dengan lafaz berikut:

 Dari Ka’ab Bin Ajrah radhiyallahu 'anhu katanya:

 Rasulullah Sallallahu 'Alayhi wa Sallam bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

 Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail ('alayhisalam) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

 Hadis Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644.

 Sama-sama kita peka dengan penyebaran hadis palsu sebagai bukti cinta kepada Rasulullah Sallalahu 'Alayhi wa Sallam agar tidak berlaku pendustaan atas nama baginda.

 "Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka." (Hadis Sahih Mutawattir, Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain).

Tiada ulasan: