Nuffnang

Khamis, 11 Julai 2013

PRK #Kuala Besut : Pas Riak Dengan Kekayaan Azlan

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut memperlihatkan satu ‘pembaharuan’ dalam kempen Pas. Jika dulu Pas sering menengahkan ciri-ciri ‘Islam’ seseorang calonnya dan kemudiannya membandingkan dengan calon lawan yang akan dicemuh sebagai ‘kurang Islam’ tetapi kali ini keadaan tampak agak berbeza.

Calon Pas, Haji Enduk @ Azlan Jusoh tidak dicanang sebagai ‘alim’ untuk mengambil hati pengundi, tetapi sebagai ‘kaya’. Beliau seorang kontraktor Kelas A yang juga merupakan Bendahari Pas Besut. Harakahdaily ada menyiarkan artikel mengenai beliau yang merujuknya sebagai ‘bank’ Pas. Berikut adalah petikan dari artikel tersebut:

Seorang kontraktor pembinaan yang terkenal dengan sifat dermawannya. Tidak keterlaluan kalau diistilahkan bahawa beliau salah seorang ‘bank’ Pas Kawasan Besut.“ – Harakahdaily

Jelas, jolokan ‘bank’ ini diberi bukan kerana tugasnya sebagai Bendahari Pas tetapi kerana perniagaannya yang berjaya dan mampu menderma kepada parti. Beberapa laman web dan blog pro-Pas juga memainkan faktor kekayaan Azlan sebagai modal utama kempen mereka.

Selama ini parti Pas amat gemar mendabik dada dengan ‘kedaifan’ atau ‘kesederhanaan’ pemimpin mereka. Sebolehnya, Pas akan cuba menunjuk-nunjuk betapa pemimpin mereka miskin tetapi alim. Tindakan ini menjustifikasi tindakan mereka mengutip derma dari penyokong-penyokong mereka setiap kali turun padang.

Tetapi, Kuala Besut menyaksikan Pas berbangga dengan kekayaan pula. Azlan dijulang sebagai calon tepat kerana kaya. Tindakan ini seolah-olah memberi ‘permit’ kepada rakyat untuk meminta derma darinya sekiranya beliau menang.

Mungkin Pas sedar yang rakyat Kuala Besut bukanlah dari golongan berkemampuan untuk menderma kepada tabung Pas. Malah, rakyat Kuala Besut amat memerlukan pemimpin yang tidak memerlukan derma dari mereka.

Justeru, Azlan merupakan satu-satunya personaliti yang mampu menderma kepada rakyat tanpa perlu meminta dari parti Pas.

Nampaknya, PRK Kuala Besut bukan mengenai membuat pilihan antara si alim dengan si jahil, atau Islam dengan kafir sepertimana setiap kali berlaku pertembungan antara Pas dengan UMNO.

Tetapi pengundi Kuala Besut perlu hanya perlu membuat pilihan antara ‘orang kaya Pas’ dengan ‘orang terpelajar BN’ untuk menjadi wakil mereka.

Maka benarlah bahawa Pas telah berubah. Akhirnya, slogan ‘UBAH’ DAP terbukti berjaya mengubah Pas.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yang peliknya, penyokong-penyokong tegar di kampung yang tidak ada akses kepada media arus perdana, waima media alternatif, masih belum tahu hakikat perubahan PAS ni.

Baru-baru ini saya berpeluang bercakap di kedai kopi semasa singgah bersarapan di satu kampung kecil di Tanjung Karang. Memang sah; mereka masih menganggap PAS adalah PAS yang dulu - Parti Islam.

Semasa berceramah (itu sajalah kerja mereka, pagi petang siang malam) tidak disebut mengenai hubungan dengan PKR hatta DAP. Kasihan pakcik-pakcik makcik-makcik tu kena kelentong.

Megat Alam Gempita berkata...

Betul kata Tanpa Nama 11.05 di atas. Kebanyakkan pengundi tiada akses kepada media sosial, hatta nak baca paper pun susah. hanya bergantung kepada media kerajaan dan ceramah agama di masjid-masjid. So BN jangan hebat sahaja di media sosial tapi gagal control pergerakan di grass root.

hehehe kontraktor kalau menang asyik nakkan projek itu dan ini untuk sara pengundi. Tak cukup duit boleh tadah kepiah dan tin milo pau duit rakyat. Tapi Jurutera kalau menang akan merancang pembangunan demi kesejahteraan rakyat. negeri bebas kemiskinan nak beribadat pun selesa...fikir-fikirlah.