Nuffnang

Sabtu, 23 Februari 2013

Telenovela ‘Kalimah Allah’: Lakonan Majlis Syura–Karpal Singh Memualkan


Pakatan Rakyat masih belum dapat mencari titik penyelesaian dalam isu ‘Kalimah Allah’. Media juga berselang seli menyiarkan kenyataan antara ahli-ahli Majlis Syura dengan Karpal Singh yang tidak habis-habis menempelak dan menghentam sesama sendiri.

Majlis Syura menganggap isu tersebut selesai dengan membuat keputusan bahawa ‘Kalimah Allah’ tidak boleh digunakan di dalam Injil Kristian dan bahawa keputusan itu tertakluk kepada ahli-ahli Pas sahaja.  

Tetapi, Karpal menafikan ianya selesai, selagi Majlis Syura tidak menyatakan secara jelas untuk membenarkan Kalimah Allah digunakan di dalam Injil serta menerima hakikat bahawa Majlis Syura tidak ada hak bersuara di dalam Pakatan Rakyat, melainkan di dalam Pas sahaja.

Menganalisis perkembangan ini secara terperinci, kita akan mendapati bahawa isu ini sebenarnya telah lama selesai bagi Pakatan Rakyat.

Ini kerana Majlis Syura sendiri telah menegaskan bahawa keputusan majlis tersebut hanyalah tertakluk kepada ahli-ahli Pas sedangkan hakikatnya, tidak mungkin ada ahli Pas yang terlibat menterjemah atau mencetak Injil dalam bahasa Melayu untuk membolehkan mereka menggunakan Kalimah Allah di dalamnya.

Di masa yang sama, Majlis Syura sebenarnya tidak menghalang, dan tiada hak untuk menghalang mana-mana ahli DAP atau sesiapa sahaja yang bukan ahli Pas untuk berbuat demikian sepertimana yang ditegaskan oleh Karpal Singh.

Ertinya, kedua-dua pihak telah pun menemui titik persetujuan iaitu “Kalimah Allah boleh digunakan di dalam Injil, kecuali oleh ahli-ahli Pas”.

Justeru, perbalahan antara Majlis Syura dan Karpal Singh di media hanyalah lakonan dengan skrip yang penuh dengan ayat tersirat. Seperti juga isu Hudud, Isu Kalimah Allah ini juga adalah satu lagi Telenovela yang tiada penghujung bagi PR, walaupun secara dasarnya ia telah pun tamat dengan Pas akur kepada kehendak DAP.

Bukan kita tidak tahu bahawa DAP perlu menunjukkan pada kaum bukan Melayu betapa mereka kuat, tegas dan mampu mengawal Pas dari membawa unsur-unsur Islam ke dalam pentadbiran PR. Isu kalimah ini, bukan sahaja menjadi ‘tanda aras’ kepatuhan Pas kepada DAP, tetapi juga merupakan strategi serampang dua mata di mana ia turut memberi kelebihan kepada puak Kristian untuk memurtadkan umat Islam.

Sedangkan Pas pula perlu menunjukkan pada umat Islam yang parti itu kekal tegas mempertahankan Islam dari dinodai oleh mana-mana pihak memandangkan imej ‘Islam’ parti itu sudah rosak teruk kerana kalah dengan UMNO dalam isu Amanat Hadi, kalah dengan DAP dalam isu Negara Islam, hudud, judi, arak, rumah urut, pusat hiburan dan juga salon serta tidak mampu menempelak PKR dalam isu pluralisme, liberalisme mahupun isu menyokong negara Israel.

Telenovela Kalimah Allah ini, adalah talian hayat terakhir Pas untuk memperlihatkan yang parti itu masih se-‘Islam’ dulu. Justeru, ia perlu terus ditayang untuk tontonan umum sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya. Skripnya juga akan berterusan di mana Karpal dan Majlis Syura saling berbalah dan bercakaran.

Hakikatnya, jika benar perbalahan ini bukan hanya sebuah Telenovela, maka sudah tentulah Pas telah meninggalkan PR. Bayangkan, sedangkan Nasharuddin Mat Isa juga sanggup Pas ‘ceraikan’, tetapi Pas tidak sanggup meninggalkan kerjasama yang membawa risiko kepada akidah umat Islam dan pencemaran kepada kesucian ‘Kalimah Allah’.

Tiada ulasan: