Nuffnang

Rabu, 13 Februari 2013

Parti Tempatan Tolak Pakatan Rakyat Di Sabah


Tilikan pawang politik bahawa Pakatan Rakyat di Sabah bakal berpecah dan punah semakin menjadi realiti yang pahit bagi pembangkang.

Ini berikutan beberapa perkembangan terbaru berhubung kedudukan politik pembangkang di Sabah yang bercita-cita untuk menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Pertama adalah kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang mengesahkan Pakatan Rakyat telah menutup pintu perbincangan pengagihan kerusi dengan Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan bekas Ketua Menteri Yong Teck Lee.

Ini kerana Pakatan Rakyat mendakwa SAPP bersikap keras kepala untuk membolot majoriti kerusi Parlimen dan DUN dan tidak mahu bertolak ansur dengan PKR, Dap dan Pas.

Sikap parochial dan kenegerian ini menambahkan pening kepala Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim apabila pendirian 'Sabah Untuk Sabah' ini disokong pula oleh  Parti Pembaharuan Negeri (STAR) yang diketuai oleh Dr Jeffrey Kitingan.

Dr Jeffrey yang dikenali sebagai salah satu 'raja lompat parti' di Sabah pernah menjadi Naib Presiden PKR satu ketika dulu.

Beliau meninggalkan PKR setelah bertelagah dengan Anwar yang menyisihkannya daripada jawatan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah lalu menubuhkan STAR.

Situasi Pakatan Rakyat bertambah getir apabila Naib Ketua Wanita PKR Sabah dan beberapa pimpinan lain keluar parti minggu lalu menyebabkan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk mententeramkan keadaan.

Jika Anwar tidak dapat menyelesaikan isu pengagihan kerusi menjelang PRU-13 dalam beberapa minggu lagi, nampaknya Pakatan Rakyat terpaksa berdepan dengan pertandingan 3, 4 malah 5 penjuru atau lebih di kesemua 60 kerusi DUN dan 25 kawasan Parlimen.

Bukan sahaja ia terpaksa berhadapan dengan jentera pilihan raya Barisan Nasional yang lengkap, efisien dan kuat tetapi juga terpaksa menepis cabaran daripada SAPP, STAR serta barisan calon-calon bebas.

Natijahnya, undi pembangkang akan bercemperai di peti undi dan ini akan menjadi faktor kukuh yang menyumbang kepada kemenangan besar BN di Sabah.

Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada tahun 2010 menjadi bukti sikap rigid SAPP yang berkeras untuk bertanding dan akhirnya calon PKR kalah di tangan BN.

Nampaknya senario yang sama akan mempengaruhi keputusan PRU-13 di Sabah nanti.

Faktor agama adalah penting dalam politik Sabah terutamanya ajaran Kristian.

Kedua-dua Teck Lee dan Dr Jeffrey adalah pelopor gerakan Kristian di Sabah termasuk juga dengan Wilfred Mojilip Bumburing yang kini berpihak kepada Pakatan Rakyat serta memimpin pergerakan Angkatan Perubahan Sabah (APS).

SAPP dan STAR mahu mewujudkan satu blok yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen dan DUN yang beragama Kristian bagi menjayakan agenda kristianisasi di Sabah.

Anwar sedar akan hakikat ini tetapi demi kerakusan politiknya beliau sanggup mengadaikan kepentingan Islam di Negeri Bawah Bayu itu.

Anwar tahu undi Melayu tidak akan membawanya kepada impian ke Putrajaya dan kerana itu beliau rela sanggup bersekongkol dengan parti-parti Kristian untuk mendapat sokongan.

Pendirian PKR yang pro-Kristian di sabah sudah tentunya akan menimbulkan rasa tidak senang dan ancaman kepada Pas.

Pas kini berlaga angin dengan PKR dan Dap dalam isu kalimah ALLAH dan isu kristianisasi di Sabah turut akan menaikkan suhu politik dengan sekutu politiknya.

Apa hal sekali pun Dap akan tetap bersama PKR yang mempunyai dasar terbuka terhadap agama yang lambat laun akan meletakkan Pas dalam keadaan seperti melukut di tepi gantang.

Jika Pakatan Rakyat berkeras mahu bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen ia bakal ditolak oleh pengundi Sabah sendiri yang sentiasa merasa parti-parti Semenanjung seperti PKR, Pas dan Dap terlalu bersikap angkuh.

Anwar beranggapan rakyat Sabah mudah digula-gulakan dengan pelbagai dakyah dan isu yang ditimbulkan terhadap BN.

Pembangkang gagal melihat realiti bahawa negeri itu mempunyai keinginan serta harapan yang tinggi untuk sama-sama maju setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Hanya BN yang berjaya memenuhi kehendak pembangunan rakyat Sabah selama 50 tahun bersama dalam Persekutuan Malaysia.

Pembangkang hanya bermodalkan air liur dan jentera fitnah yang sentiasa bergerak meracuni fikiran rakyat tetapi gagal untuk menunjukkan kemampuan mentadbir atau membela nasib rakyat.

Nasib negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang diperintah pembangkang sudah cukup menjadi bukti kepalsuan janji-janji manis mereka.

Tidak perlu lagi menipu rakyat Sabah atau Sarawak dengan manifesto yang mengandungi kata-kata kosong yang tidak bernilai dan membawa apa-apa erti.

Tiada ulasan: