Benarlah kata orang, bahawa untuk menilai seseorang kita perlu melihat kepada rakan-rakannya. Maka, tidak hairanlah apabila Nur Misuari, Ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro merujuk kepada Anwar Ibrahim sebagai ‘sahabat lama’ kerana ternyata mereka mempunyai perwatakan yang sama iaitu suka berbohong.
Di awal kejadian pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu, dan ketika rakyat Malaysia masih terpinga-pinga, media Filipina dan agensi berita antarabangsa pantas melaporkan sumber risikan yang menunjuk kepada pembangkang Malaysia, sebagai dalangnya. Bertitik-tolak dari itu, kita menyaksikan bagaimana Anwar Ibrahim yang telah terasa cili begitu ‘bersungguh-sungguh’ menafikan laporan tersebut sehingga membawa kepada ‘parody’ “You ulang, I saman” yang menjadi popular di laman-laman sosial.
Pendedahan tersebut dikuatkan dengan laporan risikan termasuk gambar yang menunjukkan Anwar telah membuat pertemuan sulit dengan Nur Misuari beberapa kali.
Untuk itu, Anwar menjelaskan bahawa pendedahan itu tidak wajar dianggap bukti kerana bukan MNLF yang menceroboh Lahad Datu tetapi ‘tentera Sulu’. Tidak lama kemudian, Nur Misuari sendiri membuat kenyataan menawarkan bantuan untuk membantu kerajaan Malaysia berunding dengan pihak Sulu dan ditolak oleh Malaysia.
Namun, perkembangan seterusnya telah membuktikan bahawa kedua-dua sahabat lama ini telah berbohong apabila ramai di antara pengganas yang ditangkap atau terbunuh telah dikenalpasti sebagai anggota MNLF. Sebenarnya, siapapun mereka tiada bezanya iaitu pengganas kejam yang ingin merampas negeri Sabah.
Dan kini kita melihat bagaimana Nur Misuari menyerlahkan warnanya yang sebenar apabila menuduh Malaysia sebagai memperalatkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), menjadi penghalang kepada usaha penyatuan bangsa Moro serta tuntutan kemerdekaan wilayah selatan Filipina. Beliau juga turut menuduh Malaysia sebagai telah menjajah Sabah dan Sarawak.
Beliau seterusnya mencabar Malaysia membuktikan hak ke atas kedua negeri itu melalui dokumen undang-undang.
Justeru, siapakah sebenarnya yang menuntut Sabah? Pihak Sulu atau MNLF? Kenapa Nur Misuari berbohong pada mulanya? Apakah cakap seorang pembohong dan pengganas kejam yang tidak bertamadun perlu dilayan secara diplomasi?
Seharusnya, Nur Misuari bersyukur kerana atas usaha Malaysia akhirnya 15 juta penduduk Islam di selatan Filipina kini mampu merasai keamanan dan mendapat hak ke atas bumi yang mereka pijak dan usahakan selama ini iaitu sejak penjajahan Sepanyol pada kurun ke-17. Perjanjian Damai tersebut telah memastikan tiada pihak yang teraniaya dan atau dipinggirkan tanpa menafikan terus kuasa kerajaan Filipina. 10 prinsip utama telah digariskan dengan intipati penting iaitu mengiktiraf Bangsamoro serta mewujudkan entiti autonomi politik di Mindanao yang membolehkan Bangsamoro mentadbir sendiri melalui sistem demokrasi dengan menggunapakai Undang-undang Asas Bangsamoro seiring dengan undang-undang negeri.
Jelaslah bahawa Nur Misuari tidak suka kepada keamanan. Maka tidak hairanlah beliau mengkritik perjanjian tersebut dan terus mengasak untuk menimbulkan huru-hara di mana saja peluang yang ada. Dan Sabah adalah peluang yang terbaik baginya.
Perjanjian British North Borneo 22 Januari 1878, menjelaskan dengan terperinci penyerahan oleh Sultan Sulu iaitu Sri Paduka Maulana Al Sultan Mohamet Jamal Al Alam Bin Sri Paduka Al Marhom Al Sultan Mohamet Fathlon, wilayah dan jajahan di Borneo daripada Sg. Pandassan di pantai barat sehingga ke pantai timur Sibuko di selatan termasuk negeri-negeri seperti Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk, Sandakan, Kina Batangan, Mumiang dan semua jajahan dan negeri di selatannya bersempadan dengan Teluk Farvel sehingga Sungai Sibuko dan juga semua pulau-pulau di tiga marina di sepanjang pantai dengan harga RM5,000 setahun, kini ditambah menjadi RM5,300 .
Pada 22 Januari 1978, Sultan Sulu telah melepaskan kuasanya ke atas wilayah dan jajahan seperti yang tersebut di atas secara rasmi. Pada 22 April 1903, satu lagi dokumen telah ditandatangani bagi menambahkan beberapa lagi wilayah yang telah tidak disebut atau tertinggal di dalam perjanjian terdahulu.
Setelah Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, dengan persetujuan rakyatnya, maka Malaysia meneruskan pembayaran wang ‘pajakan’ terhadap Sultan Sulu sepertimana yang termeterai dalam perjanjian-perjanjian dahulu.
Justeru, bagi Nur Misuari untuk bersuara bagi pihak Sulu dilihat sebagai sikap seorang yang gila kuasa. Dengan percanggahan kenyataan dari pihak Sulu ditambah dengan kekeliruan mengenai waris sebenar kesultanan tersebut maka, apa yang dituntut atau disuarakan oleh Nur Misuari tidak membawa apa-apa makna kerana beliau bercakap tanpa asas dan tanpa hak yang pasti.
Apatah lagi dengan terbuktinya kewujudan tangan-tangan asing yang menaja keganasan yang dibawa oleh Nur Misuari ke Sabah. Ini menunjukkan bahawa tuntutan yang dibuat adalah tidak ikhlas dan mempunyai tujuan yang jauh lebih besar dari sekadar ingin merampas kembali Sabah.
Malaysia tidak sebodoh itu untuk melihat semua ini sebagai agenda sempit sepasukan pengganas MNLF. Tetapi, kita dapat membaca akan agenda kuasa asing untuk menguasai rantau ini melalui pihak pembangkang sama ada di Filipina mahupun di Malaysia.
Jika benar, demokrasi yang dijulang maka, pihak yang menaja Nur Misuari pastinya bukanlah pihak yang layak bercakap tentang demokrasi. Dan pihak mana lagi yang mempunyai begitu banyak dana untuk dilabur dan dilebur begitu saja demi cita-cita untuk menakluk dunia, jika bukan pihak yang mempunyai kaitan dengan kuasa besar dunia?
Oleh itu, kesimpulan yang kita dapati dari episod Lahad Datu ini ialah Nur Misuari adalah alat Amerika, seperti juga sahabatnya, Anwar Ibrahim.
Nuffnang
Memaparkan catatan dengan label MILF. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MILF. Papar semua catatan
Ahad, 24 Mac 2013
Sah! Keganasan Lahad Datu Angkara MNLF
Sabtu, 26 Januari 2013
Lepas Damaikan Filipina-Bangsa Moro, Najib Bakal Damaikan Fatah-Hamas
Walaupun Malaysia belum lagi menjadi negara maju, tetapi negara ini berada di kelasnya yang tersendiri sebagai negara yang berpengaruh dan dihormati. Pendirian Malaysia yang konsisten dan tegas untuk tidak mencampuri urusan negara lain, tetapi menyokong dan membantu segala usaha ke arah keamanan membuatkan kita sering dipilih sebagai rujukan atau pengantara bagi memulihkan keamanan di negara-negara yang berkonflik.
Pendirian Malaysia adalah konsisten sejak era Tun Abdul Razak. Pendirian ini mendapat kekuatan yang ampuh di era Tun Mahathir apabila beliau melonjakkan Malaysia sepuluh langkah ke hadapan sehingga dikenali sebagai Harimau Asia.
Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib jelas mewarisi kehebatan bapanya serta kebijaksanaan Tun Mahathir melalui pengalaman bekerja di era Negarawan tersebut, pantas memperbaharui, meneruskan dan meningkatkan kekuatan yang sedia ada. Semangat kedua-dua tokoh tersebut jelas terserlah dalam kepimpinan Dato’ Seri Najib apabila beliau berjaya menggerakan perjanjian damai antara kerajaan Filipina - MILF pada Oktober 2012. Dengan termeterainya perjanjian itu, konflik selama 40 tahun pun berakhir.
Kejayaan tersebut membawa Dato’ Seri Najib ke Gaza pula, di mana penindasan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Israel berterusan. Beliau dan anggota rombongannya termasuk Datin Seri Rosmah tiba di Semenanjung Gaza, Palestin pada 22 Januari bagi memenuhi jemputan rasmi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan undangan peribadi daripada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.
Jemputan dari Mahmoud Abbas itu disampaikan kepada Dato' Seri Najib pada 3 Disember 2012 melalui Timbalan Pesuruhjaya Hubungan Antarabangsa Al Fatah Palestin, Dr Abdullah M.I. Abdullah. Manakala undangan daripada Ismail Haniyeh diterima pada 11 Disember 2012.
Sebelum ini, Palestin telah beberapa kali menyuarakan harapan kepada Malaysia untuk turut membantu membawa keamanan kepada rakyatnya.
Menghentikan penindasan yang mana tercatat di dalam AlQuran dalam pesanan mengenai Yahudi, pastinya tidak mudah. Langkah awal yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kekuatan Palestin terlebih dahulu dengan menyatukan rakyatnya yang berpecah kepada dua, iaitu parti Hamas dan Fatah.
Konflik kedua-dua parti ini bermula pada 2005 selepas kematian Yasser Arafat pada November 11, 2004. Punca konflik ini juga begitu ‘klasik’ atau terlalu biasa dan dijangka iaitu tuduhan atau hasutan kononnya berlaku nepotisme dan rasuah di dalam kerajaan. Akibatnya, rakyat Palestin berpecah di mana kedua-dua parti menganggap parti mereka sebagai wakil sah rakyat Palestin dengan Fatah berkuasa di Palestinian National Authority dan Hamas di Gaza.
Pertempuran juga sering berlaku antara kedua-dua pihak ini yang mana menggandakan lagi penderitaan rakyat yang telah sedia tertindas oleh rejim Israel.
Beberapa perjanjian pernah diusahakan antara kedua-dua pihak, antaranya di Kaherah pada May 2011 tetapi tidak berjaya memastikan kedua-dua pihak menurutinya. Perjanjian Doha kemudiannya ditandatangani oleh Mahmud Abbas (Fatah) dan Haled Mashaal (Hamas) pada 2012 tetapi dianggap sebagai tergendala dan tiada usaha dibuat ke arah pilihanraya bersama. Kedua-dua parti saling tuduh menuduh dan pertelagahan pun berterusan.
Seperti mana-mana konflik yang melibatkan kepentingan Israel, kedua-dua pihak disyaki menerima bekalan senjata dari Amerika untuk memastikan mereka terus berpecah dan lemah.
Justeru, harapan yang diletakkan di bahu Dato’ Seri Najib ialah untuk membantu kedua-dua pihak membantu diri mereka dengan pertama sekali, bersatu. Apa yang pasti, harapan agar beliau mengulangi kejayaan di Filipina, di Gaza bukanlah harapan yang tidak berasas.
Ini kerana, Dato’ Seri Najib terkenal sebagai pemimpin yang berani di mana beliau pernah melawat ke kawasan tegang di Selatan Thailand untuk mengusahakan gencatan senjata antara puak pemisah dengan kerajaan Thai. Beliau juga merupakan antara penggerak keamanan di Bosnia pada tahun 1993 dan juga Somalia.
Di kala negara-negara lain mengalami kerosakan dan kemusnahan akibat perang saudara, perpecahan antara kaum dan pemberontakan menentang kerajaan akibat termakan hasutan, Malaysia yang mempunyai landskap yang rapuh, bermasyarakat majmuk dan telah berkali-kali menghadapi ‘ugutan’ pemberontakan dari pihak-pihak tertentu, kekal berdiri teguh, aman dan makmur. Segala provokasi agama, prasangka kaum dan perbalahan sesama umat Islam yang tercetus dari hasutan secara berterusan dengan matlamat untuk mencetuskan kekacauan, telah tidak menjadi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa kebijaksanaan kepimpinan Dato’ Seri Najib merupakan faktor utama kemampuan Malaysia untuk menepis ‘serangan’ pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu, kita tidak ragu-ragu yang Dato’ Seri Najib juga akan dapat membantu Palestin untuk turut ‘menepis’ hasutan ke arah perpecahan dan melakukan yang terbaik untuk mencapai perpaduan.
Langgan:
Catatan (Atom)

