Nuffnang

Selasa, 21 Januari 2014

Kenyataan Media Penyanyi Bertudung Dihalau Turun Pentas

Lanjutan kisah seorang penyanyi bertudung yang dihalau turun dari pentas pada 18 Januari lalu yang PP paparkan kisahnya di sini, hari ini Marinatasha Isnariah Mustapar, 33,  telah mengadakan sidang media di pejabat Karyawan bagi memberikan penjelasan akan kejadian yang berlaku.

Berikut kenyataan media yang diberikan.


KENYATAAN MEDIA
DISKRIMINASI PENYANYI WANITA BERHIJAB
MARINATASHA ISNARIAH MUSTAPAR & PERSATUAN KARYAWAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Selepas kontroversi seorang graduan Mira Kamil tidak diterima bekerja di Suria KLCC kerana bertudung dan seorang guru mualaf Choi Yi Shan, diarahkan untuk membuka tudung semasa mengajar di SJKC Nan Ya, diskriminasi yang sama dikenakan kepada seorang penyanyi profesional yang sepatutnya membuat persembahan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada malam Sabtu lalu.

Marinatasha Isnariah Mustapar, 33, yang sepatutnya menyanyi bersama band Rufus dimalukan dengan diarahkan turun daripada pentas utama ketika majlis Makan Malam Tahunan CASTMET 2014 iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpusat di Plaza Damas, Sri Hartamas. Arahan berbaur perkauman tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Kewangan CASTMET, Shannon Yong.

“Saya rasa sangat malu kerana sudah bersiap sedia mengambil tempat di atas pentas dengan mikrofon. Saya terpaksa mengemaskan buku nota lirik dan membawa turun bersama note stand,” jelas Marina yang kecewa diaibkan di hadapan lebih kurang seratus tetamu pada insiden jam 8.00 malam tersebut.

“Semasa saya mengadakan latihan bersama pemuzik di studio Plaza Damas pada 16 Januari lalu, wakil CASTMET ada bersama dan mereka tidak pernah isukan mengenai tudung yang saya pakai. Hanya semasa hari majlis tersebut, Shannon isukan atas alasan tidak sesuai sedangkan ada tetamu yang datang berhijab.

”Di saat-saat akhir, Shannon Yong telah meminta seorang penyanyi gantian yang tidak bertudung dan meminta pengacara majlis Amber Wong mengambil alih tempat Marinatasha sebagai penyanyi utama sementara Marinatasha hanya dibenarkan berada di atas pentas sebagai penyanyi latar sahaja.

Artis Akademia Fantasia 8, Zafarina Jamhari atau Farina yang muncul kemudian sebagai penyanyi gantian menunjukkan rasa simpati dengan mengundang Marinatasha untuk naik ke atas pentas dalam persembahannya bagi menyanyikan dua buah lagu, “Someone Like You” dan “Price Tag”.

“Saya lihat tetamu tiada sebarang masalah dengan penampilan saya berhijab. Malah Pengerusi kumpulan syarikat CASTMET, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor turut meminta saya menyanyi lagu tambahan,” jelas Marinatasha yang kemudian telah dimarahi Shannon setelah selesai persembahan tersebut.

Selesai persembahan tersebut Shannon kemudian telah memanggilnya di bahagian luar dewan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Marinatasha menyanyi dalam keadaan bertudung. Setelah melepaskan kemarahannya, Shannon meninggalkannya bersama Penolong Pengurus Pembangunan syarikat, Jaharudin Abdul Malek untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang muzik dan vokal yang pertama kali menjadi mangsa rasis dan diskriminasi perkauman setelah 12 tahun bergiat dalam industri tersebut menyifatkan tindakan penganjur sebagai satu penghinaan terhadap agama dan kepercayaannya sebagai seorang Muslim.

“Kita berada di Malaysia bukan Amerika Syarikat. Malah Amerika Syarikat pun sudah menerima penyanyi Malaysia berhijab seperti Yuna. Apa masalah kita di Malaysia? Yang menyanyi mulut saya bukan tudung saya!” tegas Marinatasha yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada jam 2.40 pagi Ahad lalu selepas pulang dari majlis tersebut.

Presiden Karyawan, Dato' Freddy Fernandez yang menjadi hos sidang media tersebut berpendapat insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku selepas 57 tahun usia kemerdekaan negara. "Ini juga merupakan satu pencabulan hak asasi yang dimiliki oleh Marinatasha. Jika dilihat situasi terkini, semakin ramai artis yang memilih untuk memakai hijab seperti Dato' Siti Nurhaliza, Yuna, Mizz Nina dan mereka semakin cemerlang meneruskan karier seni mereka. Tidak ada sebarang masalah tentang apa yang mereka pakai, yang paling penting adalah bakat dan kemampuan yang dimiliki," jelas Freddy lagi.

Beliau kemudian menggesa Pengarah Kewangan CASTMET, Shannon Yong untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kerana adalah sesuatu yang memalukan untuk seorang penyanyi profesional yang telah bersiap sedia di atas pentas terpaksa menghentikan persembahan secara tiba-tiba dan membawa turun segala peralatan nyanyian di hadapan ratusan tetamu yang hadir.

Bagi Faizal Riduan, Perunding Polisi dan Dasar Awam MySuara yang mula mendedahkan insiden tersebut sehingga menjadi viral di laman sosial dan portal berita menyifatkan tindakan rasis ini adalah tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara merdeka yang meraikan kelainan dan kepelbagaian agama, kepercayaan, kaum dan budaya.

“Sikap prejudis terhadap penampilan wanita Islam yang berhijab wajar dikecam oleh seluruh bangsa Malaysia kerana bercanggah dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Artikel 11(1)(b) Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang diratifikasikan Malaysia pada 1995.

Menurutnya lagi kerajaan perlu serius menyiasat insiden-insiden diskriminasi agama yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini dengan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu berniat melukakan perasaan agama seseorang yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

“Kes terbaru yang memperlekehkan penampilan bertudung Marinatasha, Mira Kamil dan Choi Yi Shan bukan kes kecil dan terpencil sebaliknya adalah kesan fenomena ‘puncak gunung ais di permukaan air’ (tip of the iceberg). Ianya sudah menjadi amalan tidak rasmi dan taboo terutama dalam industri dan pekerjaan sehingga terdapat iklan kekosongan jawatan dengan syarat penguasaan bahasa ibunda tertentu.”

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Malang sungguh nasib umat Melayu Islam di negara ini,berada di negara sendiri tapi boleh di perlekehkan oleh 'org lain'.Begitulah angkuhnya mereka sekarang.Sanggupkah kita berdiam diri?.Jangan sekali-kali kita mengharapkan pembelaan dari Umno,kerana Umno sendiri adalah sebuiah parti bacul,bila sanggup bersalaman dgn TC yg menghina mereka.Jauh sekali bagi kita utk mengharapkan Pas atau PKR keran mereka adalah penjual ugama yg tidak ada tolok bandingnya demi undi org seperti SY.Melayu Islam kena bangkit dgn sendirinya,jangan mengharapkan sesiapa.

Tanpa Nama berkata...

Islam dan Melayu setiap bulan dihina dan dihina dan dihina.....tetapi islam dan melayu dlm PR buat pekak badak. Knp?....Sbb dah dok sekapal dgn si kafir DAP tu. Nk harapkn UMNO shj pn dh x leh nk harap dh. Telur dh ilang. Puak kafir2 ni makin berani sbb melayu dlm PR sunyi sepi. Seolah2 meredai saudara seagama dihina. Apa nk jadi PAS? Kes rampasan bible je pn PAS x ckp bnyk bile DAP sergah. Weeiiihh....mane ustaz2 yg berckp lantang dulu2 nie...mane ilang.....bikin malu je.

Tanpa Nama berkata...

Nampaknya Melayu sudah mula merempat, menumpang dan mengemis di bumi sendiri. Lambat laun ditakuti nasib kita sama macam nasib rakyat Palestin. Nauzubillahiminzalikh.

Tanpa Nama berkata...

Dah sampai masanya Malaysia memainkan semula lahu2 patriotik seperti 'Anak Kecil Main Api', 'Malaysia Oh Tanah Airku' dan sebagainya.
Dulu2 kita diterapkan dengan Pendidikan Tatarakyat, Siviks tapi sekarang dah tiada. Sebab tu lah rakyat Malaysia semakin ramai kurang ajar.

Tanpa Nama berkata...

Dah sampai masanya Malaysia memainkan semula lagu2 patriotik seperti 'Anak Kecil Main Api', 'Malaysia Oh Tanah Airku' dan sebagainya.
Dulu2 kita diterapkan dengan Pendidikan Tatarakyat, Siviks tapi sekarang dah tiada. Sebab tu lah rakyat Malaysia semakin ramai kurang ajar.

Tanpa Nama berkata...

Fitnah !!!

baca berita penuh disini

http://www.astroawani.com/news/show/castmet-sdn-bhd-nafi-arah-penyanyi-turun-pentas-kerana-bertudung-28704

atau di sini

http://www.bernama.com/bernama/v7/ge/newsgeneral.php?id=1009121

Tanpa Nama berkata...

Knp penyanyi bertudung tak sesuai? Castmet ada organized wild party kah?