Nuffnang

Khamis, 11 Julai 2013

Hentikan Peyebaran 2 Hadis Palsu

2 Hadis Palsu yang dikesan berlegar dalam Facebook, Blog dan internet setiap kali Ramadan.


A. Hadis kelebihan Tarawih yang mencertitakan ganjaran spesifik tentang kelebihan setiap malam. Secara ringkasnya, ia berbunyi:

 KELEBIHAN SOLAT TARAWIH

 1. Kelebihan Solat Tarawih Malam 1 : Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
 2. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-2 : Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
 3. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-3 : Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
 4. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-4 : Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
 5. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-5 : Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
 6. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-6 : Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
 7. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-7 : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir'aun dan Hamman.
 8. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-8 : Allah SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
 9. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-9 : Allah SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
 10. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-10 : Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
 11. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-11 : Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
 12. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-12 : Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
 13. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-13 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
 14. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-14 : Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah SWT tidak akan menyesatkan mereka.
 15. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-15 : Semua malaikat yang memikul 'Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah SWT mengampunkannya.
 16. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-16 : Allah SWT menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
 17. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-17 : Allah SWT menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
 18. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-18 : Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah SWT sesungguhnya Allah SWT telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
 19. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-19 : Allah SWT akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
 20. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-20 : Allah SWT mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
 21. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-21 : Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
 22. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-22 : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
 23. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-23 : Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
 24. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-24 : Allah SWT akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
 25. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-25 : Allah SWT akan mengangkat seksa kubur darinya.
 26. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-26 : Allah SWT akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
 27. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-27 : Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
 28. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-28 : Allah SWT akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
 29. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-29 : Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
 30. Kelebihan Solat Tarawih Malam ke-30 : Allah SWT akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

 Ia PALSU dan tidak ada keterangan lain yang dapat menguatkan statusnya, tidak pula diriwayatkan dengan riwayat lain yang kuat sandarannya.

B. Hadis Doa Jibril. Ia berbunyi:

 Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadan ” “Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

 * Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada).
 * Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri.
 * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

 Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdoa adalah Malaikat dan yang mengaminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

 Hadis dengan lafaz di atas tidaklah dapat ditemukan dalam mana-mana kitab hadis. Yang sahih, hadis ini datang dengan lafaz berikut:

 Dari Ka’ab Bin Ajrah radhiyallahu 'anhu katanya:

 Rasulullah Sallallahu 'Alayhi wa Sallam bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

 Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail ('alayhisalam) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

 Hadis Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644.

 Sama-sama kita peka dengan penyebaran hadis palsu sebagai bukti cinta kepada Rasulullah Sallalahu 'Alayhi wa Sallam agar tidak berlaku pendustaan atas nama baginda.

 "Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka." (Hadis Sahih Mutawattir, Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain).

PRK #Kuala Besut : Pas Riak Dengan Kekayaan Azlan

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut memperlihatkan satu ‘pembaharuan’ dalam kempen Pas. Jika dulu Pas sering menengahkan ciri-ciri ‘Islam’ seseorang calonnya dan kemudiannya membandingkan dengan calon lawan yang akan dicemuh sebagai ‘kurang Islam’ tetapi kali ini keadaan tampak agak berbeza.

Calon Pas, Haji Enduk @ Azlan Jusoh tidak dicanang sebagai ‘alim’ untuk mengambil hati pengundi, tetapi sebagai ‘kaya’. Beliau seorang kontraktor Kelas A yang juga merupakan Bendahari Pas Besut. Harakahdaily ada menyiarkan artikel mengenai beliau yang merujuknya sebagai ‘bank’ Pas. Berikut adalah petikan dari artikel tersebut:

Seorang kontraktor pembinaan yang terkenal dengan sifat dermawannya. Tidak keterlaluan kalau diistilahkan bahawa beliau salah seorang ‘bank’ Pas Kawasan Besut.“ – Harakahdaily

Jelas, jolokan ‘bank’ ini diberi bukan kerana tugasnya sebagai Bendahari Pas tetapi kerana perniagaannya yang berjaya dan mampu menderma kepada parti. Beberapa laman web dan blog pro-Pas juga memainkan faktor kekayaan Azlan sebagai modal utama kempen mereka.

Selama ini parti Pas amat gemar mendabik dada dengan ‘kedaifan’ atau ‘kesederhanaan’ pemimpin mereka. Sebolehnya, Pas akan cuba menunjuk-nunjuk betapa pemimpin mereka miskin tetapi alim. Tindakan ini menjustifikasi tindakan mereka mengutip derma dari penyokong-penyokong mereka setiap kali turun padang.

Tetapi, Kuala Besut menyaksikan Pas berbangga dengan kekayaan pula. Azlan dijulang sebagai calon tepat kerana kaya. Tindakan ini seolah-olah memberi ‘permit’ kepada rakyat untuk meminta derma darinya sekiranya beliau menang.

Mungkin Pas sedar yang rakyat Kuala Besut bukanlah dari golongan berkemampuan untuk menderma kepada tabung Pas. Malah, rakyat Kuala Besut amat memerlukan pemimpin yang tidak memerlukan derma dari mereka.

Justeru, Azlan merupakan satu-satunya personaliti yang mampu menderma kepada rakyat tanpa perlu meminta dari parti Pas.

Nampaknya, PRK Kuala Besut bukan mengenai membuat pilihan antara si alim dengan si jahil, atau Islam dengan kafir sepertimana setiap kali berlaku pertembungan antara Pas dengan UMNO.

Tetapi pengundi Kuala Besut perlu hanya perlu membuat pilihan antara ‘orang kaya Pas’ dengan ‘orang terpelajar BN’ untuk menjadi wakil mereka.

Maka benarlah bahawa Pas telah berubah. Akhirnya, slogan ‘UBAH’ DAP terbukti berjaya mengubah Pas.

Rabu, 10 Julai 2013

Calon PAS Dun Kuala Besut, Azlan Yusof

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah mengadakan Ceramah Perisytiharan Calon PAS PRK  Kuala Besut bertempat di Kawasan Lapang Kampung Nail, Kuala Besut, Majlis yang dipengerusikan oleh Wan Azhar bin Wan Ahmad YDP PAS Kawasan Besut manakala perisytiharan calon PAS di umunkan oleh YB Dato Seri Abd Hadi bin Awang.

PAS memilih  Azlan Yusof muka baru menjadi calonnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut iaitu seorang ahli perniagaan di Kuala Besut, cakap-cakap di kalangan penyokong PAS yang hadir semasa pengumuman calon dan mempertikaikan mengapa mengetengahkan calon PAS berkelulusan SPM gred 3, walaubagaimanapun diharapkan calon ini bukan seperti yang disangkakan.

Kehadiran yang hambar lebih kurang 1000 lebih dan kebanyakan yang hadir adalah daripada penyokong PAS yang bukan dari penduduk Kuala Besut  telah di adakan di Kawasan Lapang Kampung Nail, Kuala Besut, Antara kepemimpinan yang hadir adalah Mohamad Sabu-Timb Presiden PAS Pusat, YB Dato Husam bin Musa-Naib Presiden PAS Pusat, Dato Mustaffa bin Ali dan YB Mohd Abd Wahid bin Endut-Peseruhjaya PAS Terengganu.

Pada majlis tersebut PAS juga telah melancarkan derma secara besar besaran bagi membantu calon yang bakal bertanding & memudahkan pergerakan Parti.


Sumber

Selasa, 9 Julai 2013

Selamat Berpuasa Di Bulan Ramadan Al-Mubaraq

PP mengucapkan Selamat Berpuasa dan beribadah di dalam Bulan Ramadan Al-Mubaraq. Semoga Amal ibadah kita diterima Allah SWT.

Ayuh kita semak waktu solat, Imsak dan Berbuka puasa bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan yang sama waktu dengannya bagi tahun 1434H.





Tengku Zaihan Calon BN Kuala Besut

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Korporat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Dataran Kuala Besut, sebentar tadi dan disambut sorakan kira-kira 3,000 penyokong BN yang hadir.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan para pemimpin parti komponen.

Dalam ucapannya, Muhyiddin yakin Tengku Zaihan adalah taruhan terbaik BN untuk pengundi di DUN Kuala Besut berdasarkan pengalaman luas beliau dalam jabatan kerajaan dan boleh diterima rakyat khususnya golongan muda.

Tegas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, pemilihan Tengku Zaihan dibuat selepas melalui proses pemilihan yang ketat apabila disaring berkali-kali oleh pucuk pimpinan parti.

“Saya yakin ini adalah calon terbaik. Memang kita janjikan kepada pengundi bahawa kita akan letak calon terbaik. Calon yang diterima oleh semua,” ujar beliau.

Tengku Zaihan ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak yang memilih beliau sebagai calon pilihan raya berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘pilihan raya kecil yang besar’.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjanji akan membela nasib rakyat dan berkhidmat dengan penuh dedikasi jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya demi rakyat Kuala Besut,” katanya yang juga ahli UMNO Cawangan Seri Seratus.

Tengku Zaihan sebenarnya telah banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan berkenaan ketika berkhidmat sebagai Jurutera Daerah JPS Besut.

Sumber