Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Tunku Zain. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tunku Zain. Papar semua catatan

Khamis, 31 Januari 2013

DAP Ingin Guna Anak Raja Untuk Hapuskan Institusi Raja?


Dalam usaha DAP untuk kekal relevan dalam masyarakat dan politik Malaysia, parti itu tidak pernah menyatakan secara terus-terang akan prinsip mereka yang menentang Institusi Raja-raja Melayu. Namun, bagi mereka yang sedia maklum mengenai sejarah DAP akan sentiasa waspada mengenai prinsip utama perjuangan DAP yang menentang Artikel 153 di mana termaktub di dalamnya hak-hak Melayu dan Islam yang dilindungi Institusi Raja-raja.

Walaupun ianya dikaburkan oleh pemimpin-pemimpinnya, tetapi prinsip DAP dapat dilihat di dalam komen-komen oleh penyokong tegar mereka di laman-laman sosial yang jelas membenci segala-galanya yang ‘berbau’ Melayu. Ia juga terserlah dalam tindakan DAP yang senantiasa mencuba untuk melemahkan atau melenyapkan terus apa-apa saja yang berkaitan dengan Melayu. Antaranya, bahasa dan juga budaya, yang mana membawa kepada kes wakil DAP enggan memakai pakaian adat di dalam Dewan atas alasan ia bercirikan Melayu-Islam.

Dolak-dalih konon berpegang kepada perlembagaan dan enggan mengaku menentang Institusi Raja-raja, terkantoi apabila kepimpinan tertinggi parti itu menempelak Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim yang telah menerima anugerah Darjah Kebesaran oleh Raja-raja Melayu kerana tindakan itu dikira melanggar prinsip parti. Alasan kononnya atas faktor ketelusan. Namun, tidak semua rakyat begitu mudah terpedaya dan kita sedia maklum bahawa prinsip itu dibuat berasaskan penolakan DAP terhadap Raja-raja Melayu.

Apabila terdedah bagaimana DAP pernah cuba memancing Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Mukhriz untuk menyertai DAP dengan dijanjikan jawatan Menteri Besar, maka ia menunjukkan betapa DAP tidak pernah menghormati Institusi Raja-raja. Biarpun penyertaan seorang Putera Sultan ke arena politik bukan sesuatu yang salah walaupun ia jarang berlaku, namun perlakuan DAP yang memancing dan menjanjikan jawatan kepada baginda adalah perlakuan biadap.

Apatah lagi dengan prinsip utama DAP yang tidak mengiktiraf Institusi Raja-raja, maka tindakan tersebut membawa makna bahawa DAP hanya ingin memperalatkan baginda untuk meraih undi Melayu semata-mata dengan keyakinan yang mereka dapat membonekakan baginda sekiranya strategi ini berjaya.

Mungkin ramai yang masih ingin menepis hakikat ini dan menuduh penulis sebagai rasis dan paranoid. Namun, tidak salah kita mengambil sikap berhati-hati memandangkan sehingga ke saat ini, kita masih tidak mendapat jaminan yang DAP tidak akan meneruskan agenda menghapuskan Artikel 153, sekali gus Raja-raja Melayu sekiranya PR memenangi PRU.

Dengan keadaan PAS yang begitu lemah dan PKR yang terlalu bergantung kepada rakan sekutunya untuk hidup, DAP akan mempunyai kuasa mutlak jika PR berkuasa. Malah, hari ini juga kita melihat DAP mempunyai kuasa mutlak, cumanya ia tidak ditunjukkan secara terang-terangan kerana perlu kekal relevan dalam suasana politik dan masyarakat Malaysia demi memenangi pilihanraya.

Justeru, seperti yang disebut tadi, tawaran DAP kepada Tunku Zain adalah bertitik tolak kepada strategi untuk memenangi pilihanraya semata-mata. Kedudukan Tunku Zain dan seluruh kerabat diRaja selepas pilihanraya yang dimenangi PR pula, tentunya belum pasti.

Umat Melayu tidak wajar memandang remeh akan prinsip utama DAP yang berslogankan Malaysian Malaysia. Ketahuilah bahawa prinsip tersebut tidak pernah berubah, malah kekal subur dan berkembang di dalam sanubari setiap seorang dari ahli dan pemimpin DAP.

Kata orang, fahamilah asal usul dan hati budi seseorang sebelum kita bertindak membela atau bersahabat dengannya. Begitu juga dengan DAP yang pernah terakam dalam sejarah sebagai memusuhi Islam dan Melayu, yang bertekad menghapuskan hak-hak Melayu dan yang pernah dan masih menjunjung sistem sosialis dan kesamarataan total.

Justeru, kita wajib memahami terlebih dahulu apa itu sosialis dan apa itu kesamarataan total serta kesan dan impaknya kepada umat, kepada agama dan kepada negara. Sebelum memahami semua ini, janganlah menjadi pipi yang tersorong-sorong membela DAP dalam hal ini.

Raja-raja adalah benteng kita, jika Raja-raja juga sudah dihina sebegitu rupa dengan rasuah jawatan yang jauh lebih rendah dari kedudukan baginda, maka apakah kita masih ingin terus percaya kepada DAP?

Rabu, 30 Januari 2013

DAP Sasar Pecahkan Institusi Raja-Raja Melayu





Pembangkang semakin terdesak sehingga DAP terpaksa memujuk anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Ibni Tuanku Muhriz untuk menyertai parti itu.

DAP tahu bahawa raja-raja Melayu merupakan payung kepada kedaulatan bangsa ini dan mempunyai pengaruh yang amat besar ke atas kehidupan orang Melayu samada dalam ruang lingkup sosial, budaya mahupun politik.

Orang Melayu dan raja-raja Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan bagaikan irama dan lagu.

Jika berlaku tembok pemisahan maka runtuhlah institusi itu dan malaplah masa depan bangsa Melayu.

Oleh itu 'menjaring' seorang anak raja yang muda dan idealis seperti Tunku Zain Al-'Abidin untuk menggangotai sebuah parti rasis dan perkauman seperti DAP boleh dianggap tangkapan besar atau 'slam dunk' dalam bahasa permainan bola jaring.

Inilah sebenarnya strategi DAP untuk menyucikan parti itu daripada stigma anti-Melayu dan anti-Islam yang telah melekat kepada tubuh badannya sejak ditubuhkan. 

Apatah lagi jika ia berjaya memikat hati seorang anak raja untuk berdiri di atas landasan perjuangan 'Malaysian Malaysia'nya maka DAP akan mendapat pengabsahan paling besar untuk menyakinkan orang Melayu menyertai parti itu.

DAP cuba strategi yang sama terhadap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, seorang kerabat diraja Kedah dan bekas Pengerusi Transparency International Malaysia namun gagal.

Sejurus menerima keahlian Tunku Aziz, beliau terus dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP bagi mewakili kaum Melayu dalam parti itu dan kemudiannya digula-gulakan lagi dengan lantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

Sebagai seorang yang bijaksana Tunku Aziz bukanlah seorang anak Melayu berdarah raja yang mudah diperbodohkan seperti mana yang diperlakukan oleh penasihat-penasihat Inggeris kepada raja-raja Melayu zaman sebelum merdeka.

Sebelum terjerat lebih jauh dalam perangkap DAP, Tunku Aziz telah pun dapat menghidu penipuan dan kepalsuan parti rasis itu apabila bercakap mengenai soal orang Melayu dan Islam.

Bagi beliau, orang Melayu dalam DAP hanyalah tunggangan Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta Karpal Singh.

DAP tidak pernah memperjuangkan nasib Melayu dan tidak akan berbuat demikian untuk selama ia wujud sebagai sebuah parti politik.

Wadah perjuangannya hanya untuk kepentingan kaum Cina semata-mata dengan tidak mempedulikan hakikat bahawa bumi yang mereka pijak adalah tanah air orang Melayu.

Walaupun Tunku Aziz meninggalkan DAP, namun Guan Eng menggunakan kaedah rasuah politik untuk mengekalkannya dalam parti itu dengan menawarkan Pengerusi Institut Pulau Pinang dengan gaji lima angka.

Semuanya ditolak mentah-mentah oleh beliau kerana selama ini DAP yang kononnys diyakini sebagai parti berbilang bangsa sebenarnya hanyalah topeng untuk menutup satu perjuangan yang ekstrem kepada perkauman Cina.

Penolakan orang Melayu terhadap perjuangannya tidak mematah semangat pemimpin DAP, dan ia sanggup berbuat apa sahaja untuk menarik minat orang Melayu.

DAP sanggup memanipulasi keputusan pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat untuk meletakkan seorang 'Melayu celup' menjadi wakil tunggal Melayu walaupun sebelumnya semua calon Melayu kalah teruk.

Kini pandangan mereka beralih untuk memecah belahkan institusi yang memayungi orang Melayu apabila usaha mereka untuk meretakkan bangsa Melayu sudah gagal.

DAP berharap jika seorang anak raja boleh diyakinkan untuk bertanding pada PRU13 nanti atas tiket parti itu, sudah tentu ramai orang Melayu akan terpengaruh.

Mungkin DAP berfikir strategi mereka untuk menjadikan institusi raja-raja Melayu seperti keldai mereka seperti mana yang dilakukan kepada Pas, mereka amat silap besar.

Jika orang Melayu mampu menyedarkan raja-raja Melayu supaya tidak menurunkan tandatangan mereka bagi perjanjian untuk mewujud serta mengabsahkan Malayan Union pada 1948, sudah tentu untuk menentang perancangan licik DAP tidak menjadi masalah besar.

Mungkin Tunku Zainal Al-'Abidin sebagai seorang anak raja yang muda dan bersemangat perlu menelusuri dan mempelajari dengan lebih mendalam perihal sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dengan penuh kesedaran serta perasaan prihatin.

Jangan terjebak dengan permainan silap mata politik DAP yang secara luaran amat menarik hati dengan segala idealisme yang mengasyikkan jiwa dan kalbu sehingga akhirnya tersedar bahawa diri telah tertipu.

Kenyataan Akhbar Tunku Zain



KENYATAAN akhbar oleh Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz berhubung kenyataan oleh (bekas Naib Pengerusi DAP) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan (Pengerusi DAP Negeri Sembilan), Anthony Loke.

Saya akan menulis sepenuhnya mengenai kenyataan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan Anthony Loke dalam kolum biasa saya pada Jumaat ini.

Namun terdapat beberapa perkara yang akan saya ulas dahulu sebagaimana berikut:

Adalah malang sekali apabila perbincangan peribadi kini menjadi topik perbualan umum. Ahli politik seharusnya mampu berhubung dan berkomunikasi dengan semua lapisan warga Malaysia dalam apa jua situasi termasuk perbincangan sulit asalkan masih di dalam batasan perundangan negara. Saya amat berterima kasih kepada Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi untuk tweetnya : “klu tidak terima, kita senyap jer. Hormatilah privasinya. Macam meminang tak jadi, tak perlu heboh.”

Namun begitu, nasi telah menjadi bubur. Oleh kerana perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan umum, saya boleh mengesahkan bahawa butiran perbincangan dengan DAP beberapa bulan sebelum ini adalah hampir tepat. Memandangkan ia adalah perbincangan tidak rasmi, maka tiada minit perbincangan dicatatkan. Ingin saya nyatakan di sini, bahawa saya juga pernah dijemput untuk bertemu dan berbincang secara tidak rasmi dengan wakil-wakil parti politik yang lain.

Sebagaimana penulisan saya sejak lima tahun kebelakangan ini, saya amat menghormati dan mengkagumi ahli politik tanpa mengira kepartian yang berprinsip dan berkerja keras. Namun, pada pandangan saya tiada satupun parti politik pada hari ini yang mampu menyamai kejituan dan kesaksamaan visi Ayahanda Kemerdekaan yang boleh mempengaruhi saya untuk menyertai mana-mana parti.

Ada yang memperkatakan bahawa tidak wajar untuk putera Raja melibatkan diri di dalam parti politik. Namun, terdapat lima orang putera Raja yang telahpun berbuat demikian iaitu:

a) YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah dari Kedah (Ahli Parlimen Kuala Muda 1955-1970 dan Perdana Menteri 1957-1970; Umno dan Semangat 46)

b) YAM Tunku Panglima Besar Tunku Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan (Ahli Parlimen Rawang 1964-1974; Umno)

c) YAM Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim ibni Sultan Ismail Nasiruddin Shah dari Terengganu (Adun Ajil 1990-1995; Semangat 46 dan Pas)

d) YAM Tengku Datuk Seri Azlan ibni Sultan Abu Bakar of Pahang (Ahli Parlimen Jerantut 1999-kini dan Timbalan Menteri Pengangkutan 1999-2008; Semangat 46 dan Umno)

e) YAM Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail ibni Syed Putra Jamalullail dari Perlis (Ahli Parlimen Arau 2004-2008 dan Adun Pauh 2008-kini; Umno).

Masyarakat sivil di Malaysia telah berkembang secara signifikannya beberapa tahun kebelakangan ini dan saya sendiri memang telah bergiat aktif di dalam persekitaran sebegini lama sebelum Ayahanda saya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11. Di dalam ruang sebeginilah saya berhasrat untuk terus menyumbang bakti terutamanya menerusi Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) dan juga beberapa yayasan lain yang saya berkhidmat.


Dipetik dari : Sinar Harian