Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Februari 2013

Pecat Nasha: Rakyat Gembira Usaha Najib Satukan Palestin, Kecuali PAS



Kunjungan Perdana Menteri ke Palestin baru-baru ini mendapat reaksi positif rakyat Malaysia. Ia juga mengukuhkan lagi pandangan luar terhadap Malaysia sebagai negara yang benar-benar serius dan tidak hanya beretorik dalam memperjuangkan keamanan dunia.

Biarpun kunjungan tersebut disambut sinis oleh pihak pembangkang, iaitu kononnya sebagai publisiti atau modal politik pilihanraya, tetapi yang penting, satu usaha ke arah keamanan telah pun berjaya dimulakan.

Mengambilkira penderitaan penduduk Palestin dan hakikat keganasan Israel yang berlarutan sehingga berdekad-dekad, menuduh kunjungan Perdana Menteri sebagai mencari publisiti murah membuktikan yang pihak pembangkang langsung tidak prihatin, malah lemas dalam politiking merebut kuasa.

Ini kerana kunjungan tersebut merupakan satu langkah berani di pihak Perdana Menteri dan isteri, yang nekad berkunjung ke ‘medan perang’, mengambil risiko ke atas keselamatan diri dan nyawa, demi menerima jemputan pihak Palestin yang bersungguh-sungguh meminta bantuan Malaysia untuk mencari titik kefahaman antara Hamas dan Fatah.

Hanya dengan perdamaian kedua pihak ini maka kekuatan akan dapat dicapai bagi mempertahankan negara dan rakyat Palestin dari keganasan dan pencerobohan rejim Israel.

Oleh itu, komitmen Dato’ Seri Najib untuk membantu saudara seagama, tidak wajar dilihat dari sudut politik semata-mata. Ia seharusnya dilihat sebagai isu umat Islam sejagat, isu global dan isu agama oleh semua umat Islam tanpa mengira negara atau bangsa dan jauh sekali parti politik.

Walaubagaimanapun, pandangan sinis pembangkang ke atas usaha menyatukan parti politik di Palestin sebenarnya tidaklah menghairankan. Ini kerana PAS, iaitu salah satu parti di dalam Pakatan Rakyat yang kononnya memperjuangkan Islam, cukup sinonim dengan perpecahan.

Bukan kita tidak tahu bahawa antara ‘kepantangan’ di dalam PAS ialah penyatuan ummah. Kita juga tahu ada penyokong PAS yang rela mati memerangi saudara seagama atas apa saja alasan demi untuk melihat partinya bertakhta di Putrajaya.

Oleh yang demikian, kita tidak hairan apabila PAS langsung tidak berkongsi harapan dan kebanggaan yang dirasai oleh rakyat Malaysia yang lainnya, atas usaha Perdana Menteri untuk menyatukan umat Islam di Palestin.


Sikap PAS yang amat memusuhi ‘penyatuan ummah’ ini terserlah dengan pemecatan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dari Majlis Syura Ulama yang diumumkan sejurus selepas beliau pulang dari Palestin mengiringi Perdana Menteri.

Terbuktilah sudah buat kesekian kalinya, bahawa bagi PAS, segala-galanya adalah politik, dan tiada yang lain selain politik dan politik semata-mata - termasuk nasib umat Islam Palestin. Justeru, tindakan Ustaz Nasha mengiringi Perdana Menteri ke Gaza, dianggap PAS sebagai tindakan membelot kepada parti.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Hadi Awang dalam Amanatnya yang melarang memisahkan agama dan politik iaitu; menyuruh umat Islam agar merangkumkan agama ke dalam politik sehingga politiklah yang menjadi panduan kepada agama, dan bukan sebaliknya.

Atas pegangan inilah maka kita melihat ketika umat Islam di Palestin diserang, dan umat Islam di seluruh dunia mendoakan keselamatan mereka, PAS pula berdoa agar UMNO K.O.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa bukan Perdana Menteri, tetapi PASlah yang menjadikan Palestin sebagai alat politik untuk mencari publisiti semata-mata dengan menggembar-gemburkan kisah kononnya mereka turut membantu serta menyebarkan gambar-gambar bendera parti mereka yang berkibar di sana. Namun, tiada pemimpin PAS yang berani ataupun mampu berbuat apa-apa untuk membantu Palestin secara bersungguh-sungguh.  Manakala, apabila ada pemimpin mereka yang berpeluang bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk berbuat demikian, seperti Ustaz Nasharuddin Mat Isa pula, dianggap sebagai membelot.

Apapun, kita bangga menjadi umat Islam warga Malaysia yang mana kerajaannya cukup kukuh untuk bersuara lantang dan negaranya cukup makmur untuk menghulurkan bantuan bagi memperjuangkan keamanan, terutama di negara Islam. Lebih dari itu, kita juga bangga mempunyai pemimpin yang berani, bijak dan ikhlas yang tetap berjaya membawa Malaysia ke tahap ini walaupun masyarakat diancam perpecahan akibat ada di antara kita yang termakan hasutan syaitan.

Khamis, 24 Januari 2013

Keberanian Najib, Kebaculan Nik Aziz



Kelmarin Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan anggota rombongannya berada di Semenanjung Gaza, Palestin bagi memenuhi jemputan rasmi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan undangan peribadi daripada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Jemputan dari Mahmoud Abbas itu disampaikan kepada Dato' Seri Najib pada 3 Disember 2012 melalui Timbalan Pesuruhjaya Hubungan Antarabangsa Al Fatah Palestin, Dr Abdullah M.I. Abdullah. Manakala undangan daripada Ismail Haniyeh diterima pada 11 Disember 2012.

Akhirnya 22 Januari 2013 sekitar 4.40 petang waktu Malaysia, Dato' Seri Najib dan anggota rombongannya tiba di Semenanjung Gaza, Palestin.

Buat julung kalinya lagu NegaraKu berkumandang di Palestin sebagai meraikan detik bersejarah itu, sesuatu yang agak membanggakan ramai rakyat Malaysia setelah berpuluh tahun negara ini menjadi rakan setia menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi keganasan Israel.

Tapi bagi segelintir penyokong pembangkang khususnya dari PAS dan PKR, mereka melihat keberanian PM melawat Palestin hanyalah satu propaganda politik untuk mencapai kelebihan sempena PRU 13. Sama ada dalam media sosial seperti facebook, twitter, portal mahupun di dunia nyata itulah yang mereka perkatakan.

Ada sebabnya mereka memfokuskan hal demikian, salah satunya bertujuan untuk menghalang perhatian umum daripada mengimbas kembali kenyataan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang pernah berikrar untuk menjamin dan menjaga keselamatan negara Israel.

Bagi sebahagian besar rakyat negara ini pula, mereka melihat langkah berani Dato' Seri Najib memijak bumi Palestin khususnya Semenanjung Gaza sebagai sejarah besar yang tidak mungkin dilupakan, lebih-lebih lagi baru sahaja 2 bulan yang lalu rakyat negara itu diancam kekejaman tentera Israel.

Lagipun keprihatinan Dato' Seri Najib dengan nasib umat Islam di wilayah bergolak sudah terbukti keikhlasannya. Dan ini bukanlah kali pertama Dato' Seri Najib sanggup berdepan dengan risiko kehilangan nyawa di wilayah yang sedang dilanda keganasan perang. 

Sekitar Disember 2009 dulu, PM juga pernah mengambil risiko yang sama apabila melawat Selatan Thailand bagi mengusahakan rundingan gencatan senjata diantara anggota pemisah Selatan Thai dengan Kerajaan Thailand, sekalipun tika itu letupan bom dan serangan hendap masih belum reda.

Sedangkan Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pun pernah mengakui ketakutannya untuk memijak bumi Selatan Thai kerana bimbang terkena tembakan. Nampak sangat kebaculannya. Memalukan.

PAS yang sering menanam semangat perjuangan kepada ahli dan penyokongnya untuk mengejar ganjaran mati syahid, sedar tak sedar rupa-rupanya pemimpin utamanya sendiri tak sanggup menempuh risiko demikian kerana takut mati syahid serta terlampau sayangkan pangkat dan darjat duniawi.

Sedangkan UMNO yang saban hari dituduh anti Islam dan tidak Islamik oleh PAS, namun para pemimpinnya tidak pula dilanda gundah atau ketakutan untuk menempuh cabaran besar kehilangan nyawa dan syahid tatkala membantu umat Islam di wilayah yang sedang bergolak. Inilah perbezaan nyata antara pemimpin UMNO dengan PAS.