Nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Dr Mahathir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dr Mahathir. Papar semua catatan

Isnin, 4 Februari 2013

Strategi Lagakan Tun M - Najib : Bukti PR Ketakutan

Walaupun puak pembangkang berterusan menghentam mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) namun, mereka tidak dapat menafikan yang ‘aura’ beliau begitu kuat dan masih menghantui mereka, dan juga musuh-musuhnya.

Biarpun beliau sudah bersara dan hanya menjadi pemerhati kepada perjalanan politik negara sambil sekali sekala memberi pandangan dan pendapat, namun pandangan beliau tetap dianggap sebagai pemantauan dan pendapat beliau dituduh sebagai arahan.

Tun Dr Mahathir adalah seorang yang berterus-terang dan rasanya tiada seorang pun yang mengenalinya secara langsung atau sekadar melalui media, yang dapat menafikannya. Apabila beliau merasakan masa sudah tiba bagi Tun Abdullah berundur, beliau menyatakannya tanpa selindung-selindung. Ini kerana beliau yang kita kenali, tidak terikat kepada budaya Melayu iaitu ‘pukul anak sindir menantu’ kerana beliau percaya kepada pentingnya berkata benar biarpun pahit.

Menyedari ‘aura’ Tun M mampu mempengaruhi perjalanan politik Malaysia, maka pembangkang cuba menukar ‘aura’ itu agar memberi keuntungan kepada mereka. Oleh itu, dalam pada mereka meneruskan kutukan dan cacian terhadap Tun M, mereka cuba membayangkan yang Tun M turut bersetuju dengan mereka berkenaan ‘kelemahan’ kerajaan BN dan Perdana Menteri. Harapan mereka agar aura Tun M akan dapat mempengaruhi rakyat untuk turut melihat kelemahan kerajaan BN.

Maka, dari situlah timbulnya kisah kononnya Tun M bersekongkol dengan Tan Sri Muhyiddin untuk menjatuhkan Dato’ Seri Najib yang digebangkan di Malaysia Chronicle.

Dan semalam, timbul pula kisah kononnya Tun M ‘menyuruh’ Dato’ Seri Najib meletak jawatan jika BN gagal menang besar dalam PRU kali ini. Penjelasan Tun M bahawa perletakan jawatan apabila gagal mencapai sasaran merupakan amalan biasa sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman iaitu bergantung kepada kehendak ahli, telah ‘diperkecilkan’ di dalam laporan media pembangkang. Dalam kenyataan yang sama juga, Tun M ada mengakui bahawa Dato’ Seri Najib mewarisi BN dalam keadaan lemah, tetapi pihak pembangkang telah membayangkan seolah-olah beliau berkata yang kerajaan Najib lemah.

Bayangan-bayangan dan kisah-kisah seperti ini dimainkan dengan giat di portal-portal pembangkang terutama yang berbahasa Inggeris di mana sasaran pembacanya ialah mereka-mereka yang lebih rasional. Ianya kelihatan semakin rancak apabila PRU semakin dekat.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah Tun M memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib. Beliau juga telah menyatakan bahawa beliau akan turun membantu secara sukarela sekiranya didapati ada keperluan untuk berbuat demikian.

Dan seperti yang kita tahu, jika Tun M merasakan yang Dato’ Seri Najib tidak layak maka beliau pasti tidak akan teragak-agak untuk menyatakannya secara terus-terang dan tidak akan sekali-kali berselindung di sebalik bahasa-bahasa manis sekadar untuk menyedapkan hati sesiapa kerana itulah sifat beliau, dan rakyat semua sudah memakluminya.

Dan inilah yang amat ditakuti oleh PR iaitu Tun M memberi sepenuh sokongan kepada Dato’ Seri Najib dan BN. Sedangkan, apa yang dapat dilihat kini ialah aura Dato’ Seri Najib seorang sahaja sudah cukup untuk menenggelamkan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hadi Awang. Sekiranya Tun M pula menambah lagi sinaran aura di belakang Dato’ Seri Najib, apalah daya pembangkang untuk melawan BN nanti.

Justeru, percubaan melaga-lagakan kedua-dua tokoh ini terus dilakukan walaupun setakat ini kelihatannya langsung tidak berjaya. Ini bukan sahaja kerana rakyat sudah mengenali sikap Tun M yang akan berterus terang tetapi lebih-lebih lagi ialah kerana rakyat juga sudah mula mengenali dan menyayangi Dato’ Seri Najib.

Oleh itu, pembangkang tidak perlulah bersusah payah menjatuhkan maruah sendiri dengan cuba meraih sokongan melalui aura Tun M. Nampak sangat, para pemimpin pembangkang tidak punya ketokohan sendiri untuk menambat hati rakyat agar meyakini dan menyayangi mereka, sehinggakan terpaksa menumpang ketokohan musuh ketat mereka pula.

Selasa, 29 Januari 2013

Kebijaksanaan Dr. Mahathir : Mengambil Semula Carcosa Seri Negara


Kejayaan merampas semula Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope, kemudiannya disusuli pula kejayaan Mahathir mengambilalih Carcosa Seri Negara yang telah diserahkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kepada British. Semuanya bermula pada 11 September 1982 apabila wakil Wanita UMNO, Rahmah Osman menyuarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-33.

Carcosa Seri Negara kembali ke tangan Malaysia pada 12 Mei 1984 dengan pertukaran sebidang tanah di Jalan Ampang sebagai Residensi dan Kedutaan Britain di Malaysia.
Satu lagi kisah yang wajar diperhalusi dan diperhatikan mengapa Amerika begitu berdendam dengan Mahathir dan berusaha menjatuhkannya menerusi Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang Malaysia seperti DAP.

PETRONAS merupakan antara syarikat minyak utama yang mendapat ‘keistimewaan’ di Sudan. Malah PETRONAS sebenarnya merupakan syarikat petroleum terbesar dan banyak mendapat projek di negara-negara Afrika berbanding syarikat-syarikat minyak dari Amerika Syarikat. Dan semuanya merujuk kepada kebijaksanaan dan keberanian Mahathir berhadapan dengan Amerika Syarikat.

Bagaimana boleh jadi begitu?

Tahun 1988, apabila Sudan mulai stabil dan hendak memajukan negara, negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat menawarkan bantuan untuk memajukan industri carigali minyak di negara tersebut memandangkan Sudan tidak mempunyai modal dan kepakaran sendiri. Amerika Syarikat membuat tawaran menerusi TEXAS OIL yang telah datang ke Sudan dan membuat kajian selama tiga bulan.

Atas helah Zionis dan bertujuan untuk melakukan penjajahan dan tipu daya, Texas Oil menyatakan, bumi Sudan tidak mempunyai minyak yang cukup meskipun Sudan yakin, simpanan minyak mereka cukup banyak dan cukup ekonomikal bagi tujuan pengeluaran.

Tiada negara lain yang berani ‘menentang’ Amerika Syarikat. Apatah lagi Amerika Syarikat telah memberikan isyarat agar urusan mereka dengan Sudan tidak dicampuri oleh negara-negara lain.

Namun, sekali lagi Dr. Mahathir menunjukkan kewibawaan dan kebijaksanaannya. Atas arahannya, PETRONAS masuk ke Sudan dan membuat tawaran selain melakukan kajian. Hasil daripada kajian yang dibuat oleh PETRONAS mendapati, simpanan minyak di Sudan adalah antara yang terbesar di dunia.

Apabila kapal-kapal dari Malaysia hendak berlabuh di Sudan, yAmerika Syarikat membuat sekatan di perairan antarabangsa yang bersempadan dengan Sudan. Isyaratnya ialah, seandainya kapal-kapal Malaysia melepasi sekatan tersebut, Malaysia telah mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat.

Walaupun CEO PETRONAS mahu membuat keputusan mengarahkan kapal-kapal Malaysia balik, namun Tun Dr. Mahathir dengan beraninya telah mengarahkan agar pelayaran diteruskan dan dia berjanji, sebarang risiko akan ditanggungnya. Malah dia sendiri akan menyelesaikan masalah dengan Amerika Syarikat.

Rupa-rupanya, Mahathir mempunyai agenda lain untuk memalukan dan menakut-nakutkan Amerika Syarikat. Mahathir menggunakan helah Tun Perak, Bendahara Kesultanan Melayu Melaka pada abad Ke-15 yang terkenal itu dengan berkunjung ke China dan menjadikan China sebagai rakan kongsi PETRONAS dalam projek minyak di Sudan. Syarikat minyak China telah diberikan tanggungjawab memasang paip.

Apabila Amerika Syarikat mengetahui perkara tersebut, kapal-kapal perangnya yang melakukan sekatan serta-merta diarahkan menggantung sekatan. Amerika Syarikat tidak berani berhadapan dan tidak mahu mengambil risiko berhadapan dengan China.

Selesai masalah dengan sekatan Amerika Syarikat, Tun Dr. Mahathir sekali lagi membuat perjanjian dengan Sudan yang dilihat lebih menguntungkan pada masa hadapan. Standard rundingan pada waktu itu adalah 70% keuntungan untuk syarikat dan 30% keuntungan untuk negara tersebut. Petronas bagaimanapun, telah meminda standard tersebut yang sudah tentu akan membuatkan syarikat-syarikat minyak dari Amerika Syarikat menggigit jari.

PETRONAS hanya mengambil 15% daripada keuntungan di Sudan dengan 85% yang lain dipulangkan kepada Sudan. Bagaimanapun, hanya 25% dari 85% keuntungan tersebut diberikan dalam bentuk kewangan, manakala bakinya, PETRONAS bertanggungjawab mendirikan sekolah, infrastruktur dan sebagainya.

Sebabnya, mudah… Tun Dr. Mahathir sangat sedar, kalau Amerika Syarikat tidak boleh dapat projek minyak di Sudan, mereka akan cuba menjual senjata pula agar Sudan kucar-kacir dan mereka akan dapat masuk menjajah negara itu dengan lebih mudah.

Tawaran yang dibuat oleh PETRONAS itu mendapat perhatian daripada negara-negara Afrika yang lain. Bermula dari itu, PETRONAS mendapat tawaran kerja sehingga menjadikan syarikat petroleum Malaysia itu menjadi syarikat minyak asing kedua terbesar dalam penguasaan kawasan di dunia.

Kehebatan yang ditunjukkan oleh Tun Dr. Mahathir itulah yang membuatkan banyak pihak di Barat terutama sekali yang berkepalakan Yahudi seperti George Soros, menaruh dendam yang cukup besar. Dendam mereka cuba ditunaikan oleh manusia seperti Anwar Ibrahim dan DAP yang diberikan tanggungjawab menghancurkan negara dengan apa cara sekalipun, termasuklah menyerang peribadi Tun Dr. Mahathir.



Dipetik dari FB Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad

Ahad, 27 Januari 2013

"Serangan Subuh"


Siapa kenal dia? Nama beliau ialah Margaret Thatcher. Sepanjang karier beliau, beliau dikejutkan dengan rancangan genius oleh mantan PM kita yang tercinta, Tun Dr Mahathir.

Peristiwa ini masih diingati oleh dunia dan dikenali dengan nama, "Serangan Subuh". Pada September 1981, Tun Dr Mahathir telah menghantar empat orang anak Melayu antaranya ialah Ku Li dan Ghaffar Baba.

Tun Dr Mahathir telah mengarahkan kajian yang begitu teliti dijalankan ke atas undang-undang pelaburan British. Rancangan Tun Dr Mahathir ialah untuk mendapat kembali tiga buah syarikat yang dahulunya milik Malaysia, tetapi telah dirampas oleh British.

Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope telah berjaya kembali kepada tangan anak Malaysia, dengan pembelian secara senyap oleh Malaysia ke atas saham British di London Stock Exchange pada waktu subuh tanpa disedari sesiapa.

Apa yang menariknya, kejayaan Tun membawa kembali 3 syarikat ini ke tangan anak Malaysia telah membawa pulangan 36 Bilion ditambah pula dengan tanah di dalam dan luar negara kepunyaan Guthrie.

Margeret Thatcher amat bengang dengan kejatuhan syarikat British yang berusia lebih 200 tahun ke tangan Malaysia (ladang Guthrie pun dahulunya milik Malaya). Beliau hanya tahu seminggu selepas peristiwa tersebut. Ianya jadi pengajaran yang amat berguna kepada PM Britain tu kerana sebelum ni dia amat bongkak kerana enggan menjual tanah Guthrie yang ada di negara kita semasa Malaysia menawarkan untuk membeli tanah tersebut.

Tapi akhirnya Tun dengan beraninya melaksanakan Dawn Raid Project sehingga tiada satu ekar pun tanah Guthrie di seluruh dunia yang tidak jatuh ke tangan Malaysia dan pengambilalihan itu sah di sisi undang-undang ekonomi antarabangsa walaupun kerajaan Britain membantah.

Akhbar-akhbar di seluruh dunia pada masa itu meletakkan pengambilalihan itu sebagai berita utama mereka dengan tajuk antaranya "Serbuan Menyingsing Subuh" dan "Serangan Malaysia ke atas Kota London" yang menceritakan tentang kejayaan Malaysia, sebuah negara kecil di Asia Tenggara yang berjaya menundukkan keegoan Britain dalam usaha mendapatkan semula beratus ribu ekar tanah yang dahulunya kepunyaan orang Melayu tetapi dimiliki British sejak zaman penjajahan.