Nuffnang

Selasa, 22 Januari 2013

Krisis Air : SYABAS Jawab 15 Tuduhan MB Selangor

Berikut merupakan kenyataan rasmi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) berkaitan Krisis Air yang berlaku di Kuala Lumpur dan Gombak baru-baru ini :

Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju yang berlaku pada 29 Disember 2012, SYABAS telah dilemparkan dengan berbagai dakwaan dan tuduhan khususnya oleh Kerajaan Negeri Selangor sepanjang berlakunya gangguan bekalan air ini.


DAKWAAN 1
Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi kenyataan pada 9 Januari 2013 mendakwa SYABAS tidak menyelenggara sistem Variable Speed Drive (VSD) di rumah pam Wangsa Maju secara berkala (periodically preventive maintenance) kerana mendapati SYABAS tidak mempunyai sebarang kontrak penyelenggaraan berkala dengan pembekal VSD.

Dakwaan ini adalah tidak benar kerana, kerja-kerja penyelenggaraan di rumah pam ini dibuat secara berkala (sebulan sekali) yang dilakukan sendiri kakitangan SYABAS. Dalam hal ini, jika semasa kerja penyelenggaraan berkala dan kakitangan SYABAS mendapati terdapat keperluan mendapatkan khidmat pakar termasuk alat ganti, SYABAS akan melantik pihak pembuat dan pembekal VSD tersebut iaitu ABB Malaysia Sdn. Bhd. berdasarkan keperluan (case to case). Malah jadual penyelenggaraan ini juga dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

DAKWAAN 2
YAB Menteri Besar Selangor turut menyebut bahawa insiden pump tripped bukan disebabkan kegagalan VSD kerana ianya merupakan sistem pintar yang menerima maklumat dari luar seperti keadaan motor, pam, getaran, suhu dan lain-lain.

Dakwaan ini juga tidak benar kerana sistem VSD merupakan sebahagian daripada komponen penting di dalam sistem rumah pam ini, justeru insiden pump tripped juga mempunyai kaitan dengan operasi VSD. Sekiranya mana-mana komponen sistem mengalami kerosakan akibat sistem yang beroperasi melepasi kapasiti (overload), VSD tidak boleh dihidupkan.

DAKWAAN 3
YAB Menteri Besar Selangor turut menyatakan alat gantian pada sistem pam berkenaan boleh didapati dari China dengan menggunakan perkhidmatan courier dan bukan hanya dari Finland seperti yang didakwa SYABAS.

Ingin dinyatakan bahawa SYABAS telah dimaklumkan secara lisan oleh pembekal berkenaan bahawa alat ganti didapati dari Finland. Walaupun begitu isunya adalah berapa lama alat ganti dapat diterima setelah dipesan. Dalam kes ini, ada satu di antara alat pengganti mengambil masa 2 ½ bulan untuk diterima.

DAKWAAN 4
YAB Menteri Besar Selangor turut mendakwa SYABAS gagal mengenalpasti kerosakan pam-pam yang terdapat di rumah pam berkenaan termasuk mendakwa siasatan mereka mendapati pam Nombor 2 telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki.

Punca sebenar kegagalan rumah pam adalah disebabkan ianya beroperasi dalam keadaan overload dalam tempoh yang lama. Kerosakan sebenar yang berlaku pada sistem rumah pam disebabkan kerosakan pada komponen elektrik dan elektronik. SYABAS mempunyai bukti di mana terdapat dokumen yang merekodkan segala aktiviti di rumah pam, termasuklah kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan.

Salinan dokumen ini telah diserahkan kepada SPAN yang telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menjalankan pengauditan terhadap kerja penyelenggaraan rumah pam tersebut. Sementara itu, Pam No. 2 di rumah pam Wangsa Maju sering mengalami kerosakan pada sistem VSD.

Setiap kali berlaku kerosakan, kerja-kerja pembaikan dibuat oleh pihak ABB selaku pembuat/pembekal VSD ini kerana kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan oleh jurutera pakar dari syarikat tersebut. Namun begitu, ia tidak dapat bertahan lama apabila kerosakan berulang dan sistem pam tidak berada dalam keadaan stabil kerana beroperasi dalam keadaan overload.

Proses pembaikan yang berulang ini telah kerapkali berlaku dan telah mengambil masa yang lama. Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, rumah pam tersebut masih mengeluarkan air melebihi seperti biasa bagi menampung permintaan pengguna.

DAKWAAN 5
YAB Menteri Besar Selangor mendakwa bahawa sepanjang tahun 2012, hanya 18 hari sahaja pam pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari (JLH).

SYABAS menafikan dakwaan ini kerana SYABAS mempunyai rekod dan statistik yang menunjukkan bahawa pam-pam di Wangsa Maju telah beroperasi melepasi 200 JLH sebanyak 2,023 kali sepanjang tahun 2012 dan bukan 18 hari seperti didakwa menteri besar.

DAKWAAN 6
YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa bahawa kerajaan negeri sudah mengetahui masalah kerosakan rumah pam Wangsa Maju dan pernah menegur SYABAS lebih awal, namun tindakan tidak dibuat.

Dakwaan ini juga tidak benar kerana kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang teguran atau yang seumpamanya kepada SYABAS, sama ada bertulis ataupun lisan.

DAKWAAN 7
YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa bahawa permohonan SYABAS membangunkan sistem pengepaman tambahan baru di Wangsa Maju dibuat pada November tahun lepas dan disokong pada awal tahun ini.

Dakwaan ini tidak benar kerana cadangan pembangunan sistem pengepaman tambahan di Wangsa Maju telah dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan pada bulan Jun 2009 diikuti dengan cadangan yang sama kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada Januari 2010, namun tiada respon atau maklumbalas diterima sehingga bulan Mac 2012 apabila Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk meluluskan cadangan ini dan memberikan pinjaman kepada kerajaan negeri bagi membiayai projek pembinaan rumah pam tambahan ini yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Dari bulan Mac 2012 sehingga hari ini, pembangunan sistem pam tambahan ini oleh Kerajaan Negeri Selangor masih di tahap reka bentuk.

DAKWAAN 8
YAB Menteri Besar Selangor juga mendakwa SYABAS memberi alasan tidak cukup duit untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik tetapi rakyat Selangor tidak mahu kenaikan tarif air. Kerajaan negeri menurutnya, bersedia membaiki kerosakan rumah pam jika SYABAS tiada wang dan keupayaan.

SYABAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa SYABAS tidak mempunyai wang untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik. Ini adalah rekaan menteri besar sendiri. Sekiranya kerajaan negeri selaku pemegang saham 30% dalam SYABAS ingin membantu dengan menyediakan dana untuk penyelenggaraan alat-alat di rumah-rumah pam SYABAS, kami amat mengalu-alukannya.

DAKWAAN 9
Exco Selangor, YB Dr Xavier Jayakumar dalam kenyataannya di Sinar Harian mengatakan bahawa kerajaan negeri mengganggap kelalaian SYABAS merupakan pure negligence dan criminal in nature dan menganggap gangguan bekalan air merupakan tindakan sabotaj dan rekacipta oleh SYABAS bagi memburukkan imej Kerajaan Selangor. Menurutnya, SYABAS tidak mampu membekalkan air kepada rakyat dan berpaksi semata-mata atas keuntungan dengan menaikkan tarif dari semasa ke semasa.

Sementara itu Adun Teratai, YB Janice Lee, mendakwa isu air dimainkan media kawalan Barisan Nasional (BN) bagi memburukkan Kerajaan Selangor sedangkan ianya adalah kegagalan SYABAS. Gangguan bekalan air menurutnya adalah antara sabotaj UMNO-BN terhadap Kerajaan Negeri Selangor.

SYABAS menyangkal semua dakwaan di atas kerana -

= Kerosakan pada pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memenuhi permintaan bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya disenggara secara berjadual sepanjang masa.

= Isu kekurangan bekalan air terawat telah sekian lama dimaklumkan kepada kerajaan negeri dan diketahui umum serta menjadi tajuk perbincangan dalam beberapa tahun ini. Kerajaan negeri sendiri telah memperakui kesahihan perkara ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khushrin Munawi sejak bulan Julai 2012 dan juga cadangan membina loji air dengan teknologi membran dan mengoperasikan semula loji air Bukit Jelutong. Tidak timbul isu gangguan bekalan air ini adalah sabotaj dan rekacipta SYABAS.

= Isu kenaikan tarif yang diperuntukan dalam Perjanjian Konsesi SYABAS (walaupun sehingga kini kenaikan tarif masih ditangguhkan oleh kerajaan negeri) merupakan isu berasingan yang tidak berkaitan dengan kekurangan bekalan air terawat yang perlu ditangani oleh kerajaan negeri dengan menambah kapasiti loji rawatan air. SYABAS hanya pengagih bekalan air yang dibekalkan oleh operator-operator loji rawatan air yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.

= Isu SYABAS sengaja merekacipta krisis ini tidak timbul kerana tidak ada seorang pun yang waras akan tergamak melakukannya, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan kepentingan orang ramai. Ia juga tidak logik kerana SYABAS terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi menguruskan bekalan air alternatif kepada pengguna.

SYABAS juga mempunyai rekod dan statistik yang menyokong kenyataan SYABAS tentang kekurangan bekalan air terawat. SYABAS telah menghantar maklumat tersebut kepada kerajaan negeri menerusi audit yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan juga kepada wakil-wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Pengarah SYABAS.

DAKWAAN 10
YB Xavier juga mengatakan bahawa pembekalan dan agihan air adalah merupakan tanggungjawab SYABAS dan bukan kerajaan negeri seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Konsesi dan kerajaan negeri sedia jadi saksi kepada pengguna memfailkan tuntutan terhadap SYABAS.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa:

= Peranan dan tanggungjawab hakiki SYABAS yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi adalah mengagihkan air terawat kepada pengguna dan mengutip caj bekalan air daripada pengguna berdasarkan tarif digazetkan kerajaan.

= Air terawat ini dijual dan dibekalkan oleh operator loji yang telah dilantik sendiri oleh kerjaan negeri untuk merawat air termasuk SPLASH, Konsortium Abass dan Konsortium Air Selangor yang mana kerajaan negeri mempunyai saham di dalamnya. Oleh yang demikian, SYABAS tidak bertanggungjawab dalam menentukan atau meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

= Dari aspek penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti dan pembangunan baru sistem infrastruktur agihan air yang dikategorikan sebagai program CAPEX tertakluk kepada kelulusan SPAN yang merujuk kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Seperti telah diketahui umum, kelulusan sebahagian besar dari program CAPEX ini telah dibekukan oleh SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak tahun 2008. Ini bermakna kerajaan negeri telah menghalang SYABAS daripada membuat kerja kerja penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti, atau pembangunan projek-projek baru sistem infrastruktur agihan air ini.

= Bagi memastikan operasi berjalan seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi, kenaikan tarif air perlu diselaraskan berdasarkan kepada perjanjian konsesi namun perkara ini telah ditangguhkan oleh kerajaan negeri. SYABAS bagaimanapun kekal mengurus operasi tanpa kompromi terhadap kualiti perkhidmatan dan penyenggaraan infrastruktur sistem agihan air. Kekangan yang dihadapi dari pelarasan tarif hanya menyebabkan SYABAS terpaksa menangguhkan sebahagian pembayaran kos belian air dari operator loji.

= Adalah tidak wajar bagi kerajaan negeri yang memegang 30% ekuiti dan mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah SYABAS memberikan galakan kepada pengguna untuk memfailkan saman terhadap SYABAS sedangkan ketidakupayaan dan kekangan yang dihadapi oleh SYABAS disebabkan oleh halangan kerajaan negeri dari meluluskan projek-projek di bawah program penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti ataupembangunan baru (Program CAPEX) seperti dicadangkan oleh SYABAS.

DAKWAAN 11
YB Xavier juga mendakwa bahawa isu air berlaku disebabkan keangkuhan SYABAS dan SYABAS tidak menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendapatkan bantuan lori tangki dari PBT tetapi SYABAS meminta bantuan dari syarikat bekalan air daripada luar.

= SYABAS ingin menegaskan bahawa dalam mesyuarat harian Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau wakilnya, perkara ini telah dibincang dan dibentangkan. Oleh yang demikian, tidak timbul isu di mana SYABAS tidak meminta bantuan atau tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri. Kenyataan tersebut adalah tidak benar.

= Walaupun dalam mesyuarat yang diadakan setiap hari, SYABAS telah maklumkan kepada kerajaan negeri tentang bantuan yang diperlukan bagi meringankan masalah yang ditanggung pengguna, namun bantuan yang diterima tidak seperti yang diharapkan. Kerajaan negeri menerusi pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memulakan penghantaran bantuan 4 buah lori tangki hanya mulai 5 Januari 2013 iaitu selepas 6 hari kejadian berlaku.

Berikutnya pada 7 Januari 2013, 3 buah lori, 8 Januari 4 buah, 9 Januari 4 buah, 10 Januari 2 buah, 11 Januari 10 buah, 12 Januari 13 buah, 13 Januari 10 buah dan 14 Januari 2 buah lori. Penghantaran lori-lori tangki ini tidak tetap kerana ada hari-hari yang tiada lori dihantar.

Selain daripada itu, bantuan yang dihantar oleh kerajaan negeri juga tidak menyeluruh kerana tidak menyediakan sukarelawan dan petugas petugas untuk membantu mengangkat air ke rumah-rumah pengguna. Sebagai sebuah negeri yang besar seperti Selangor, sepatutnya lebih ramai petugas sukarelawan dan bantuan lori-lori tangki dapat disediakan.

Malahan sebahagian lori-lori yang digunakan juga didapati tidak menepati piawaian kualiti air yang ditetapkan dan tidak sesuai digunakan untuk membekalkan air. Oleh itu, lori-lori tersebut terpaksa dihantar semula untuk proses cucian dan selepas diuji, barulah air tersebut boleh digunakan.

DAKWAAN 12
Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraidah Kamaruddin, mendakwa SYABAS tidak mengambilkira perancangan jangka panjang dalam aspek penyenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan lebih efektif dan pengurusan berwibawa.

SYABAS menafikan dakwaan ini dan ianya tidak benar kerana program penyenggaraan berkala rumah pam ini adalah sebahagian daripada program penyenggaraan tahunan peralatan infrastruktur sistem agihan air terawat yang dimajukan pada awal tahun setiap tahun kepada SPAN untuk kelulusan seperti termaktub di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS.

Manakala laporan status kerja-kerja penyenggaraan dimajukan sekali dalam tempoh enam bulan kepada SPAN untuk pemantauannya. Bagi kerja kerja menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan pembangunan baru infrastruktur sistem agihan yang melibatkan program perbelanjaan modal (CAPEX), SYABAS telah dihalang daripada melaksanakannya apabila ianya dibekukan oleh SPAN atas arahan kerajaan negeri sejak bulan Julai 2008. SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja kerja kritikal sahaja serta penyelenggaraan rutin, itupun selepas mendapat kelulusan SPAN.

Dalam keadaan keadaan seperti ini, SYABAS seolah olah 'terikat tangannya' dan tidak banyak yang mampu dilakukan akibat daripada arahan pembekuan ini. Oleh itu, mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang adalah tuduhan yang tidak berasas dan tidak adil sama sekali.

DAKWAAN 13
YAB Menteri Besar Selangor turut mendakwa bahawa gangguan bekalan air membuktikan kegagalan projek penswastaan air kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten SYABAS menyangkal dakwaan ini dan bertegas bahawa gangguan bekalan air adalah disebabkan kegagalan rumah pam yang telah beroperasi secara overload dalam tempoh yang panjang disebabkan permintaan yang meningkat berterusan.

Kegagalan rumah pam berfungsi adalah berkait dengan permintaan yang meningkat sehingga menyebabkan rumah pam terpaksa beroperasi melebihi kadar kebiasaannya sementara menunggu bekalan air terawat tambahan yang belum disediakan oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri atas alasannya sendiri tidak mahu menerima hakikat yang disokong oleh fakta-fakta bahawa Selangor mengalami kekurangan dalam pengeluaran air terawat berbanding permintaan yang meningkat.

DAKWAAN 14
Dalam keadaan yang sama, Adun Teratai, YB Janice Lee mendakwa bahawa isu masalah air menunjukkan ketidakupayaan Puncak Niaga dan SYABAS mengendalikan pengurusan air kerana krisis ini bukanlah yang pertama kali berlaku di Selangor.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa menteri besar dan kerajaan negeri telah dimaklumkan semenjak tahun 2005 lagi bahawa permintaan air terawat di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat iaitu pada kadar 3.5% setiap tahun dan pengeluaran air dari kapasiti loji-loji yang sedia ada telah tidak mencukupi.

Sememangnya ada di antara 34 loji sedia ada telah beroperasi melepasi kapasiti rekabentuk. Keadaan bertambah buruk apabila rezab bekalan air yang tinggal pada masa ini adalah lebih kurang 1% sahaja. Kerajaan negeri bertanggungjawab menambah kapasiti rawatan air manakala di bawah Perjanjian Konsesi, SYABAS hanya dipertanggungjawabkan ke atas pengagihan air terawat kepada pengguna berdasarkan kuantiti dibekalkan oleh operator loji, syarikat konsesi dilantik kerajaan negeri bagi merawat dan membekal air kepada SYABAS.

Kerosakan pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya diselenggara secara berjadual sepanjang masa.

Keengganan kerajaan negeri meluluskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan kelewatan membangunkan sistem pam tambahan yang hanya diluluskan pada bulan Mac 2012 menyebabkan SYABAS terpaksa menguruskan rumah pam ini pada tahap overload untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

Selain itu, dakwaan terhadap Puncak Niaga adalah tidak adil kerana Puncak Niaga tidak terlibat dalam isu ini, disebaliknya membantu dalam mengoperasikan loji Sungai Langat pada tahap overload sehingga 520 JLH daripada biasa 470 JLH.

DAKWAAN 15
YB Zuraidah seperti disiarkan di Sinar Harian mendakwa bahawa SYABAS gagal menyediakan back-up bekalan air yang mencukupi kepada penduduk dan tidak mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah ini.

Dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana back-up bekalan air wujud dengan adanya kapasiti rezab bekalan air terawat yang mencukupi. Pada masa ini, rezab kapasiti bekalan hanya sekitar 1%, jauh lebih rendah daripada paras selesa industri bekalan air (20%).

Tanggungjawab bagi menyediakan rezab kapasiti bekalan air terawat yang mencukupi adalah kerajaan negeri, bukannya SYABAS. Situasi di kawasan Gombak dan Kuala Lumpur boleh di elakkan jika bekalan air terawat mempunyai rezab kapasiti yang mencukupi.

SYABAS telah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi. Namun dalam keadaan keadaan tertentu, SYABAS tidak dapat mengelak daripada berlaku masalah yang mengakibatkan SYABAS tidak dapat menjalankan obligasinya dengan berkesan jika terdapat pihak lain tidak menjalankan tanggungjawabnya.

Misalnya jika berlaku pencemaran sungai akibat tumpahan minyak dan loji loji rawatan terpaksa berhenti operasinya, SYABAS tidak dapat menyalurkan air kepada pengguna. Sebagai memenuhi tanggungjawabnya SYABAS membekalkan air menerusi lori lori tangki bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna. Namun demikian bukanlah tanggungjawab SYABAS membersihkan sungai dari tumpahan minyak atau memastikan sungai tidak tercemar. Ianya adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Sangat tidak adil meletakkan kesalahan ini kepada SYABAS kerana krisis air berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawabnya. Apatah lagi kerana kerajaan negeri memiliki 30% saham di dalam SYABAS tetapi membiarkan SYABAS berhadapan dengan segala kekangan tanpa menghulurkan sebarang bantuan, sebaliknya mencari kesalahan dan kelemahan SYABAS semata mata.

Semasa krisis ini berlaku, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning telah diaktifkan SYABAS pada 29 Disember 2012 jam 8:00 pagi. Pelan ERP ini yang beroperasi 24 x7 adalah sekretariat bertindak setempat bagi memantau dan mengurus bekalan bantuan air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air.

Bekalan air dihantar kepada pengguna bagi kawasan gangguan kali ini diberikan melalui lori-lori tangki (86 buah) dengan jumlah penghantaran sebanyak 2,891 trips (sehingga 12 tengah hari 12 Januari 2013) dan 287 tangki statik. Bagaimanapun, keupayaan pelan Tindakan Kecemasan adalah terhad kerana mana-mana bekalan air tidak dirancang, direkabentuk dan dibina untuk kegagalan (designed not to fail).


KESIMPULAN

Belum pernah terjadi sebuah kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat. Kerajaan negeri perlu memikirkan soal kesejahteraan rakyat, kebajikan rakyat dan meluluskan program-program yang dicadangkan SYABAS untuk kebaikan rakyat.

Sikap menyalahkan SYABAS yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa memberikan bantuan yang sewajarnya umpama ‘baling batu sembunyi tangan’. Tindakan kerajaan negeri menghalang program-program menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan menjalankan projek-projek baru sistem agihan bekalan air menerusi pembekuan Perbelanjaan Modal (CAPEX) sangat tidak wajar.

SYABAS berharap kerajaan negeri yang mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan menambah kapasiti bekalan air terawat dapat melihat perkara ini dengan lebih serius dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu ini.

SYABAS hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat operator loji rawatan air yang dilantik oleh kerajaan negeri sendiri.

Bawani: Pendidikan Percuma Atau Publisiti Murahan?

Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, semestinya tidak menjangkakan bahawa jemputan yang diterima beliau untuk menjadi moderator bagi satu forum di UUM beberapa hari lalu akan mengubah hidup beliau. Sharifah Zohra bukanlah salah seorang daripada panel bagi forum tersebut (Forum Wanita dan Politik), jadi, bukanlah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjawab soalan-soalan yang diberikan para peserta. Namun, seorang pelajar, Bawani, bertindak mengajukan soalan kepada Sharifah pada saat-saat akhir forum dan enggan 'berhenti bercakap'.

Tidak salah bagi sesiapa untuk mengesyaki bahawa walaupun Syarifah tidak menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku, Bawani mungkin telah membuat rancangan awal terhadap insiden tersebut. Masa yang dipilih oleh Bawani untuk mengajukan soalan adalah satu perkara. Namun, satu lagi perkara yang tidak boleh diterima adalah nada dan kelakuan Bawani terhadap Syarifah. Budaya timur tidak boleh menerima kelakuan buruk seperti itu, terutamanya kelakuan Bawani kepada seorang yang lebih berusia darinya.

Namun, Bawani hanyalah seorang pelajar, seorang wanita yang masih lagi muda yang masih lagi mentah, penuh dengan perkara yang mahu dilepaskan. dan sama seperti mana-mana golongan muda terpelajar, Bawani percaya bahawa dia adalah lebih arif berbanding orang lain, termasuklah, terutamanya, kerajaan dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, dan dalam kes ini, Sharifah.

Syarifah bagaimanapun, gagal untuk mengawal provokasi yang dibuat oleh Bawani. Penulis percaya bahawa Syarifah mungkin mampu mengawal pelajar tersebut jika beliau lebih bersedia. Sebagai moderator, Syarifah tidak bertanggungjawab untuk menjawab soalan, beliau bertanggungjawab terhadap masa, dan ketika itu, masa bagi forum tersebut telah tamat.

Kami faham bahawa bagi Sharifah, tindakan pelajar tersebut dalam melakukan provokasi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Atas sebab itulah beliau memberikan respon-respon yang tidak relevan. Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata.

Kita dapat lihat bagaimana Youtube mampu mengubah kehidupan seseorang; dalam masa sekelip mata, Syarifah dianggap sebagai seorang agen kerajaan yang tidak sensitif dan bodoh sementara Bawani dianggap sebagai seorang hero.

Tiba-tiba, insiden tersebut bertukar menjadi isu politik, lengkap dengan elemen-elemen perkauman, pegawai kerajaan yang tidak bertauliah dan juga mangsa yang berani.

Soalan yang diajukan oleh Bawani bukanlah berbentuk 'killer question'. Penulis pasti Sharifah pasti mampu menjawab persoalan tersebut jika beliau berada dalam situasi yang berlainan. Dengan segala fakta yang diberkan oleh bawani terhadap pendidikan percuma di beberapa negara, mungkin Bawani rasa bahawa dia adalah lebih besar daripada mana-mana kabinet kerajaan. Namun, seperti apa yang penulis katakan, Bawani adalah seorang anak muda yang belum matang dan naif. Memerintah sebuah negara dan memberikan pendidikan percuma bukanlah semudah ibu bapanya memberikan wang belanja kepada dia dan adik-adiknya.

Nampaknya, Bawani sebenarnya tidak begitu arif tentang isu ini. Bawani membandingkan Malaysia dengan negara-negara seperti Cuba, Argentina, dan Brazil berkenaan dengan pendidikan percuma. Mungkin dia tidak tahu bahawa untuk mendapatkan sistem pendidikan percuma, kos untuk perkara-perkara lain akan meningkat. Untuk memberikan pendidikan percuma, Argentina dan Cuba kekal sebagai negara miskin. Mereka tidak mampu menggunakan sebarang dana untuk memajukan sektor-sektor lain. Selain itu, pendidikan percuma juga tidak memberikan sebarang jaminan bahawa negara tidak akan dibelenggu masalah lain. Argentina sebagai contoh, akibat daripada kemiskinan, masalah rasuah adalah terlalu tinggi dan kemudiannya membawa kepada ketidakseimbangan dalam peluang pendidikan yang mana nisbah pelajar dari keluarga kaya dan golongan pelajar miskin untuk mendapat peluang untuk mendapatkan pendidikan tertiari adalan 9:1.

Dan hanya 10% pelajar-pelajar di Sri Lanka berpeluang untuk mendapatkan pendidikan tinggi, selebihnya hanya mampu mendapatkan pendidikan menengah. Brazil juga memberikan pendidikan percuma, namun, kadar cukai di negara tersebut adalah tinggi.

Hampir kesemua negara-negara maju tidak memberikan pendidikan percuma. Denmark sebagai contoh, walaupun memberikan pendidikan percuma, mereka terpaksa mengenakan kadar cukai yang amat tinggi kepada rakyat. Turki dan Malaysia pula adalah sama, pendidikan hanyalah percuma hingga ke sekolah menengah.

Cukai pendapatan di Finland mencecah kadar 50% berbanding dengan Malaysia pada kadar 26% dan rakyat Malaysia masih mampu menikmati subsidi bagi pendidikan tinggi dimana pelajar hanya perlu membayar 5% daripada kos keseluruhan pembelajaran

Jadi, Bawani, penulis mahu mencadangkan Bawani supaya membuat satu thesis tentang perkara ini dan berikan idea-idea bernas dalam memberikan pendidikan percuma tanpa perlu menaikkan kadar cukai dan memastikan kadar inflasi stabil. Jika Bawani berjaya, kami akan pastikan Bawani mendapat tempat di Kabinet. Dan hanya jika Bawani berjaya berbuat demikian, barulah Bawani layak digelar sebagai seorang hero.

Isnin, 21 Januari 2013

Maliki Kekal Terajui MBM

Mohammed Maliki
SUBANG JAYA – Ura-ura berlakunya pertandingan bagi merebut jawatan tertinggi dalam Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke-61 Majlis Belia Malaysia (MBM), ternyata tidak kesampaian apabila Jais Abdul Karim menarik diri daripada mencabar Presiden, Mohammed Maliki Mohammed Rapiee.

Dalam satu pertemuan, beliau menyatakan, keputusan tersebut didorong menjaga kepentingan organisasi. Jelasnya: “Atas dasar tersebut saya telah mengambil keputusan untuk menarik diri dari pertandingan merebut jawatan Presiden MBM. Saya tidak mahu berlaku ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’. Ianya langsung tidak menguntungkan mana-mana pihak”.

Jais Abdul Karim
“Permainan politik juga amat ketara dalam pemilihan ini. Politik kepartian sudah meresapi MBM. Ia wajar dibanteras segera bagi mengelakkan terjadi perkara yang lebih buruk lagi di masa akan datang,” katanya. 

Seramai 370 orang perwakilan dari 39 badan gabungan MBM menghadiri MPAT yang sepatutnya diadakan pada tahun lalu bagi memilih Ahli Jawatankuasa Kerja sesi 2012 hingga 2014.

Dari tinjauan yang dilakukan, pemilihan kali ini juga mendapat liputan meluas melalui media sosial antaranya blog, facebook dan twitter. Pelbagai akaun diwujudkan untuk berkempen dan menyerang lawan sehingga menyentuh hal peribadi.

Sepanduk dan poster juga hampir memenuhi ruang legar dewan persidangan yang terletak di aras 5 dan perkarangan Hotel Summit USJ Subang Jaya. Pelbagai kata-kata dimuatkan dalam sepanduk dan poster bagi memancing undi perwakilan.

Isnin, 14 Januari 2013

Penyokong Fanatik Pas #KL112 #HKR112

Gambar dibawah adalah merupakan antara penyokong FANATIK Pas, yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Kita perhatikan betul-betul wajahnya ye.



Apa Yang Dikejar Ketua AMK Ini? #HKR112 #KL112

Masih berkaitan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang menyusahkan majoriti penduduk Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu. Lihat gambar dibawah.

Apa sebenar yang dikejarnya ye?